Oleh : Aman Rais
Siapakah ‘haprak’ di negara ini. Bagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sesiapa yang menentang beliau, sesiapa yang menentang UMNO, sesiapa yang mahukan perubahan adalah ‘haprak’.
Oleh itu lebih 60 peratus orang Melayu yang menolak UMNO dalam pilihanraya umum 1999 lalu adalah ‘haprak’. Kesimpulannya jika anda tidak mahu tergolong dalam golongan ‘haprak’, maka bodeklah Dr Mahathir, sokonglah UMNO, akur pada segala tindak tanduk kerajaan walaupun ia jelas sesuatu yang salah serta pangkahlah Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.
Apa sebenarnya makna ‘haprak’ ini hanya Presiden UMNO itu sahaja yang tahu. Dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka tidak ada istilah ‘haprak’ tetapi orang-orang UMNO sangat tahu ertinya, jika tidak masakan mereka bertepuk tangan apabila ketua mereka menyebutnya.
Dari tinjauan rambang yang dibuat, ‘haprak’ kononnya adalah loghat Utara yang bermakna ‘paling teruk’, tidak guna sesen pun atau bangsat, tolol dan lain-lain lagi yang menggambarkan penghinaan.
Kroni kerajaan
Apabila Dr Mahathir sanggup menggunakan perkataan itu di Perhimpunan Agung UMNO yang penuh ‘glamour’ itu, ia sebenarnya menggambarkan betapa marah dan kecewanya beliau terhadap majoriti rakyat yang semakin bijak dan kritis mindanya sekarang.
Dan apabila lebih 2,000 perwakilan UMNO dan ribuan lagi pemerhati di luar dewan ketawa berdekah-dekah mendengar ‘lelucon’ Presiden mereka itu, sebenarnya mereka mentertawakan diri mereka sendiri.
Tidak sedarkah ahli-ahli UMNO bahawa Dr Mahathir dalam ucapannya itu, marahkan orang Melayu yang mempunyai mentaliti subsidi. Beliau mengingatkan orang Melayu terutamanya ahli-ahli UMNO dan para kroni kerajaan bahawa sudah sampai masanya untuk berdikari.
Dr Mahathir tidak mahu ahli-ahli UMNO terus dibelenggu dengan politik wang, bersifat manja dan meminta-minta bantuan apabila menghadapi masalah. Sebaliknya beliau mahu orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO supaya berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan dan dirinya.
Sebenarnya inilah yang dimaksud dengan ‘haprak’ dalam negara ini sekarang. Golongan yang minta di ‘bailout’. oleh kerajaan bila syarikat menghadapi masalah kewangan. Ahli-ahli dan pemimpin UMNO inilah yang ‘haprak’kerana terus-menerus merebut projek, kontrak, konsesi balak, saham dan peluang-peluang perniagaan dan lot-lot kedai serta rumah murah hingga memijak hak rakyat miskin.
Ketawalah sekuat-kuatnya, tepuk tangan sepuas-puasnya tanpa menyedari air di dulang yang ditepuk mercik ke muka sendiri.
Sebelum menyimpulkan majoriti rakyat negara ini sebagai ‘haprak’, Presiden UMNO itu seperti biasa beliau menyalahkan orang lain antaranya - orang asing, IMF, Bank Dunia, penyangak matawang dan PAS serta para penyokong reformasi sebagai punca kepada kelemahan dan kesilapan pentadbirannya.
Ayat al-Quran jadi saluran
Beliau juga memberi amaran kepada pemimpin dan ahli-ahli UMNO supaya membuang budaya rasuah dan politik wang jika tidak mahu parti itu reput bagi mengalih perhatian ahli-ahli parti daripada menyalahkan dirinya sebagai punca kelemahan UMNO sekarang.
Upacara perasmian sekali lagi dijadikan medan untuk menegakkan ego beliau dan untuk memberitahu dunia bahawa rakyat jelata yang sebahagian besarnya adalah ‘haprak’ masih memerlukan kepimpinannya.
Ucapan utama Presiden yang kali ini diselitkan dengan ayat al-Quran menjadi saluran untuk menghentam musuh-musuh politik UMNO tanpa menyebut langsung program-program konstruktif untuk membangunkan orang Melayu.
Begitulah ahli-ahli UMNO setahun sekali terus dibuai dengan retorik lapuk Presidennya yang sentiasa dihantui oleh tuntutan reformasi dan kebangkitan rakyat.
Retorik lapuk ini akan diulas dan diulang pula oleh para ‘haprak’ dalam perbahasan selama empat hari ini dengan diselang-seli oleh pantun jenaka, kutukan dan tepuk sorak dan ‘standing ovation’ untuk menyedapkan hati para pemimpin yang duduk di pentas utama.
Untuk menjadikan perhimpunan ini lebih dramatik, mungkin Presidennya akan menangis semasa menyampaikan ucapan penangguhannya nanti.
Jika begini caranya perhimpunan agung UMNO ini berlangsung, ia akan berakhir sebagai satu perhimpunan yang ‘haprak’ juga. Ia akan menjadi satu pesta membeli-belah, pesta makan tanggung dan lawatan percuma setahun sekali ke ibukota.
Jangan lupa, tahun depan kita akan berpesta lagi!
..........................................................
Petikan Malaysiakini.com