Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Tengku Mahmud Mansor, Malek Munip persoal keputusan

KUALA LUMPUR, Ahad – Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, dan bekas Ketua Umno Bahagian Muar, Abdul Malek Munip, mempersoalkan keputusan Lembaga Disiplin parti yang mendapati mereka terbabit dalam amalan politik wang.

Dr Tengku Mahmud yang diberi amaran selepas didapati bersalah, menyatakan kesediaannya untuk membawa kes itu ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan sekiranya tidak diberi laluan untuk membuat rayuan.

Abdul Malek yang dilucutkan jawatan dan digantung hak memilih, dipilih dan dilantik dalam parti selama enam tahun, pula menegaskan beliau tidak akan membuat rayuan, sebaliknya bercadang menyebarkan kes itu kepada semua ketua bahagian kerana menganggap keputusan Lembaga Disiplin itu aneh.

Selain Abdul Malek, Ketua Bahagian Umno Tanjung Aru, Datuk Yahaya Lampung dan empat lagi pemimpin bahagian turut dilucutkan jawatan, manakala sembilan yang lain, termasuk Dr Tengku Mahmud cuma diberi amaran.

Dr Tengku Mahmud yang ditemui pemberita di Rumah Umno Negeri di Kuala Terengganu hari ini, berkata beliau akan berpuas hati jika rayuannya diberi perhatian dan disiasat semula, walaupun keputusan jawatankuasa penilai selepas itu masih mengekalkan tindakan awal.

“Saya sedar dan akan menerima keputusan disingkirkan sebagai ahli Umno demi mencari kebenaran,” katanya.

Dr Tengku Mahmud berkata, beliau tidak puas hati dengan keputusan Lembaga Disiplin yang didakwa dibuat hanya berdasarkan laporan orang yang tidak mempunyai latar belakang politik yang baik.

Beliau juga mendakwa keputusan berasaskan tiga tuduhan dalam satu majlis pada 13 April 2001 itu, tidak mempunyai asas kukuh.

“Saya pada masa itu sudah menang Ketua Umno Bahagian Setiu tanpa bertanding. Sudah tidak timbul soal kempen atau politik wang,” katanya sambil menegaskan keputusan Lembaga Disiplin boleh menjejaskan karier politik dan rekod khidmatnya selama lebih 26 tahun dalam Umno.

Di Muar, Abdul Malik menganggap proses pengadilan yang dilakukan Lembaga Disiplin Umno sebagai aneh dan keputusan dibuat sewenang-wenangnya.

“Saya tidak salah, sebab tak buat, nak merayu buat apa. Bentuk tuduhan itu amat longgar. Tuduhan itu adalah kepada orang ketiga, yang mengaku tidak bagi duit dan tiada arahan.

“Pada saya, Lembaga Disiplin tidak tahu apa nak buat, mereka mungkin orang lama, tetapi yang terbukti buat keputusan sewenang-wenang ketika mengadili kes saya.

“Dari segi politik dan demi kepentingan Umno yang mengatasi kepentingan individu, saya akur terhadap apa jua keputusan yang dibuat Lembaga Disiplin.

“Namun, pengalaman pahit melalui proses untuk dihakimi lembaga ini menyebabkan amat sukar menyakini bahawa tidak wujud permainan memutar belit fakta sebenar semata-mata untuk kepentingan golongan tertentu,” katanya.

Abdul Malik didakwa atas lima tuduhan politik wang yang diberikan kepada empat ketua cawangan menerusi setiausaha atau isterinya.

Beliau berkata, semua pihak harus sedar inilah kali pertama Umno mewujudkan Lembaga Disiplin untuk menangani politik wang dan pada peringkat permulaan tentu wujud kelemahan dalam proses melaksanakan tanggungjawab itu.

“Namun, hakikat ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka melakukan kesilapan sama ada sengaja atau tidak, yang boleh menjejaskan tanggapan umum terhadap niat suci Presiden untuk membanteras politik wang.

“Saya mengesyaki wujudnya permainan kerana saya dipanggil dua kali. Kali pertama, saya dijatuhkan hukuman tanpa peluang mengemukakan bukti dan saksi selepas diperdengarkan tuduhan.

“Lepas itu, saya membuat rayuan supaya dibicarakan semula dan dibenarkan, tetapi hukuman yang dikenakan dikekalkan, tanpa mengambil kira saksi dan bukti yang dikemukakan.

“Kalah menang dalam pertandingan tidak jadi hal kepada saya, tetapi bila dituduh main politik wang hingga pada peringkat ini, ia amat mengaibkan saya. Seolah-olah saya main politik wang terburuk dalam tanah air,” katanya.

Abdul Malik berkata, beliau bukan tokoh korporat yang mempunyai sumber kewangan yang banyak, malah ramai di kalangan penduduk kawasan Muar menuduhnya sebagai lokek.

“Ketika orang sibuk memperkatakan mengenai politik wang, saya nak main politik wang buat apa. Saya tak ada duit, kalau saya bayar dua tiga ketua cawangan, saya kena bayar yang lain, saya tidak mampu,” katanya.

Abdul Malik berkata, cawangan yang mendakwa menerima wang itu adalah yang dibatalkan mesyuarat dan diarah bersidang semula oleh beliau sebelum ini kerana melanggar peraturan, termasuk mengadakan persidangan dengan dipengerusikan ketua cawangan sendiri.

Katanya, ada antara penama yang disebut sebagai penerima wang sogokan itu adalah bekas ketua kampung yang dipecatnya daripada Jawatankuasa Bahagian Umno Muar.

“Saya bukan saja meragui, tetapi menolak dari segi prinsip keadilan yang dilaksanakan Lembaga Disiplin. Saya terima apa juga keputusannya, tetapi saya tolak cara pengadilan yang dibuat.

“Untuk pelihara maruah, saya bercadang nak sebarkan (kesnya) kepada semua ketua bahagian seluruh negara untuk menunjukkan betapa anehnya keputusan dibuat tanpa saksi dan kehadiran orang yang membuat dakwaan,” katanya.

Abdul Malik bagaimanapun, meminta semua penyokongnya menerima keputusan Lembaga Disiplin demi kepentingan Umno.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Jun 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com