Harapan yang besar diletakkan oleh rakyat agar Barisan
Alternatif dapat menawan Selangor di dalam tahun 2004.
Selepas Terengganu di tahun 1999 maka Kedah, Pahang
dan Selangor dijangka jatuh ke tangan Barisan
Alternatif dalam tahun tersebut.
Tidak dapat dinafikan gerak kerja untuk menawan
Selangor ini bergantung kepada PAS yang menjadi
tunggak Barisan Alternatif di negeri itu. Kalau mantap
PAS maka mantaplah usaha-usaha untuk menumbangkan
Barisan Nasional. Tetapi jika PAS di negeri itu
kucar-kacir maka kucar-kacirlah juga Barisan
Alternatif.
Walau bagaimanapun perkembangan terakhir yang
didengari adalah tidak menyedapkan. Mungkin tidak
kritikal seperti UMNO tetapi perlu perhatian semua.
Pimpinan PAS di negeri tersebut mestilah memastikan
budaya UMNO tidak menyerap ke dalam PAS.
Sejak tercetusnya Reformasi maka PAS dibanjiri oleh
ramai ahli-ahli baru yang datang dari pelbagai
latar-belakang. Yang UMNO dengan budaya UMNO, yang JIM
dengan budaya JIM, yang ABIM dengan budaya ABIM dan
yang IRC dengan budaya IRC. Penyerapan idea-idea baru
adalah tidak salah malah dapat mengukuhkan PAS tetapi
amatlah malang jika yang masuk itu adalah
“opportunist-opportunist”.Para “opportunist” yang
nampak Barisan Alternatif akan menang dan terus
memasuki PAS supaya mereka tidak ketinggalan. Dan PAS
Selangor yang paling ramai menerima ahli baru sedang
merasakan kepanasan akibat dari elemen-elemen ini.
Walaupun tidak terdapat politik wang seperti UMNO
tetapi lobi-melobi didakwa sudah berlaku. Yang sedih
sekali dakwaan ini bukan sahaja di peringkat Kawasan
malah ketika Presiden PAS hendak melantik Pesuruhjaya
Selangor yang baru terdapat dakwaan bahawa telah
berlaku melobi dengan menggunakan tokoh korporat
hingga ke luar negara supaya “orang mereka” dilantik.
Kita tidak tahu sama ada dakwaan ini benar atau tidak
tetapi nampaknya tidak mencapai kejayaan.
Tetapi menurut satu sumber, lobi-melobi untuk
jawatan-jawatan lain sedang berlaku. PAS Pusat perlu
melakukan sesuatu kerana jika perkara yang sedemikan
diteruskan maka hasrat PAS dan Barisan Alternatif
untuk menawan Selangor akan tersungkur di tengah
jalan.
Pastikan tidak ada lagi mereka yang merasakan kelompok
mereka sebagai kelompok elit atau “qiyadatul sulbi”
yang lebih dari orang lain dan dengan itu berhak
menentukan hala-tuju PAS Selangor. Budaya ini telah
dinyahkan dari PAS dalam tahun-tahun 80-an apabila PAS
Selangor diresapi oleh IRC. Tetapi nampaknya ia hendak
dihidupkan kembali. PAS di Selangor adalah milik
ahli-ahlinya. Tidak sepatutnya ada golongan intelek,
profesional atau korporat yang merasakan diri mereka
lebih mulia dari ahli-ahli yang tidak mempunyai
kelulusan tinggi. Tidak sepatutnya mereka yang baru
terjun ke dalam perjuangan PAS tetapi mempunyai
kelulusan tinggi memperlekehkan orang-orang lama
kerana sudah terdapat mereka yang baru terjun dari
perjuangan di kampus yang sanggup menidakkan sumbangan
pemimpin-pemimpin lama.
Sumbangan diperlukan dari semua untuk menumbangkan
Barisan Nasional, sama ada dari seorang lulusan Ph. D
ataupun dari seorang buruh kasar.
Marilah kita kembali kepada perjuangan asal kita.
Hidupkan semula semangat bersyura.
Black Flag 1422