Pengenalan
Tokoh reformis Islam terkemuka, Ibn Taimiyyah di dalam karyanya, as-Siyasah as-Syariyyah menyebutkan :
"Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan berdiri agama kecuali dengan (kekuasaan) itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang daripada yang mungkar, membela orang teraniaya, melakukan jihad, malaksanakan hudud dan berlaku adil dalam memutuskan hukuman, semuanya itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepemimpinan".
Sekularisma membawa maksud memisahkan hal dunia dan hal akhirat. Iaitu urusan agama adalah satu urusan yang tidak ada kena mengena dengan urusan dunia. Contohnya, urusan agama hanya perlu apabila ada perkahwinan atau kematian. Tetapi dalam urusan seperti perniagaan atau pekerjaan, agama diketepikan. Ini amat jelas di negara-negara barat.
Pengerusi Persatuan Pekerja Islam Kelantan (PPIK), Wan Nik Wan Yusof Ngah berkata, perkataan sekularisma adalah merujuk kepada aliran pemikiran yang berteraskan keduniaan dan material.
Mengikut buku tulisan Ghazali Darusalam, bertajuk 'Dakwah Islam dan Ideologi Barat' menjelaskan perkataan sekularima berasal dari bahasa Latin, Saeculum ertinya satu zaman (enage) yang juga merujuk masa dan tempat.
Saccularis bermaksud hubungan dengan sesuatu masa tertentu. Manakala seculum bererti hal-hal yang berhubung dengan zaman sekarang sedangkan agama merupakan perkara yang berkaitan hari kemudian.
David Martin dalam 'The Religions and The Secularism' menjelaskan sekularisme berasal dari istilah Latin - Saeculum yang bererti generasi atau masa yang merangkumi dua aspek iaitu;
- Keagamaan dan kebudayaan bagi mengurangkan institusi gereja dalam segala hal dan pengurangan perhatian dalam soal-soal agama.
- Pemikiran dan sikap masyarakat yang terarah kepada hal-hal keduniaan semata-mata.
Sejarah Sekularisma
Fahaman Sekularisma bermula di Eropah satelah berlaku perebutan kuasa di antara pemerintah dengan pihak paderi Kristian. Untuk mengekalkan kuasa, pihak gereja melakukan dua penyelewengan iaitu
- Memperkenalkan ‘ Kuasa Mengampun ( sesuatu yang tak pernah di ajar oleh Nabi Isa A.S.) ‘iaitu dengan kuasa ini rakyat terpaksa tunduk kepada paderi-paderi kerana mereka boleh mengampunkan segala dosa bagi mewakili Jesus.
- Mewujudkan Mahkamah Tentera.
Menyedari hakikat ini maka timbullah satu gerakan reformasi di Eropah untuk memisahkan antara agama dan pemerintahan yang di ketuai oleh Martin.
Dalam perang salib yang memakan masa selama hampir 100 tahun, orang kristian tidak pernah menang walaupun mereka mempunyai senjata yang canggih berbanding dengan tentera islam pimpinan Salahuddin al-Ayubi. Akhirnya dalam masa pemerintahan Raja Louis di Perancis, pihak gereja telah mengambil satu resolusi untuk mengubah strategi iaitu tidak lagi berperang secara fizikal tetapi melalui perang saraf( serangan pemikiran ). Bermula dengan ini maka serangan idea sekularisma iaitu ‘ agama suku, politik suku’ berjalan lancar.
Negara umat Islam yang paling ke hadapan menerapkan fahaman sekular ialah Turki iaitu apabila ditumbangkan kerajaan Uthmaniah yang berpegang dengan Islam sebagai dasar negara tetapi kerajaan itu menjadi lemah kerana tidak beramal dengannya di saat akhir. Mereka yang menumbangkan kerajaan Uthmaniah di Turki melakukan dakyah memburukkan Islam yang kononnya menjadi penyebab kepada kelemahan kerajaan itu, bukannya kerana meninggalkan Islam. Kamal Atartuk yang sebenarnya musuh Islam itu terus menolak Islam dan menukarkannya kepada pemerintahan sekular di Turki pada 26 haribulan Rejab tahun Hijrah 1342 bersamaan 3 haribulan Mac tahun 1924 Masihi.
Syeikh Al Islam terakhir di Turki, Syeikh Mustafa Sobri memberi amaran kepada umat Islam di seluruh dunia, bahawa sekularisme adalah jalan ringkas untuk menjadi murtad, kerana dengannya menyebabkan orang Islam menafikan syariat Islam yang berkait dengan politik, ekonomi, undang- undang dan lain-lain meskipun mereka masih bersembahyang, berpuasa dan mengerjakan haji. Amaran ini disokong oleh seluruh ulama Islam yang mu'tabar di masa itu di antaranya Syeikh al Azhar Syeikh Muhammad al Khudri Husin dan lain-lain. Tetapi amaran ini tidak diendahkan, dan mungkin tidak sampai kepada umat Islam seluruhnya kerana dihalang oleh penjajah dan konco-konco mereka yang dikuatkan oleh ulama upahan yang sentiasa mengejar (kepentingan) dunia.
Titik permulaan sekularisma di Malaysia ialah pada 20 Januari 1874. Ia adalah tarikh penting dimana Perjajian Pangkor dimenterai antara British dan Sultan Perak. Perjanjian ini telah memaksa sultan untuk menerima seorang residen atau pun 'so-called' seorang penasihat yang mana menyebabkan kuasa sultan berkurangan. Residen akan bertanggung jawab dari segi politik, ekonomi dan sosial manakala sultan hanya memainkan peranan dalam hal keagamaan dan adat istiadat. Ia merupakan biji benih yang pertama bagi fahaman sekular.
Fahaman ini akhirnya tumbuh dengan subur dan menghasilkan buah yang banyak dan kesannya masih terasa pada hari ini. Contohnya, pada hari ini kita masih mendapati Menteri Besar dan Mufti di dalam sebuah negeri. Menteri menguruskan hal-hal politik, ekonomi dan sosial manakala Mufti hanya dalam hal keagamaan. Ini menunjukkan seolah-olah islam tidak mempunyai peranan dalam hal-hal politik, ekonomi dan sosial. Bukan sahaja di peringkat tertinggi, malah sampai ke akar umbi. Di sebuah kampung contohnya, kita masih mendapati seorang Ketua Kampung dan seorang Tok Imam. Contoh yang lain ialah kewujudan dua jenis mahkamah iaitu mahkamah majistret dan mahkamah syariah. Kewujudan dua mahkamah ini membayangkan seolah-olah undang-undang islam itu tidak lengkap.
Jelaslah bahawa sekularisma telah banyak mengaburi prinsip kesyumulan Islam. Islam adalah agama yang lengkap. Ia memberi garis panduan bukan sahaja di masjid, tetapi juga di pasar, bukan sahaja di madrasah, tetapi sampai ke mahkamah dan bukan sahaja dari rumahtangga, tetapi sampai ke tengah-tengah masyarakat.
Masalah ini bukan mudah ditangani. Hanya dengan sebuah pemerintahan Islam yang sebenar sahaja yang meletakkan Al Quran dan Sunnah sebagai tunjak pemerintahan negara yang dapat menghapuskan sekularisma.
Dasar-dasar Sekularisma dalam pemerintahan
Dasar-dasar sekularisma dalam pemerintahan yang akan dibincangkan ini hanya berpusat di persekitaran negara kita, Malaysia masa kini. Fokus yang akan dibincangkan mengikut beberapa aspek.
Politik
Malaysia hari ini diperintah oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam sistem demokrasi berparlimen iaitu ditentukan setiap 5 tahun sekali dalam pilihanraya. Sekali lagi dalam pilihanraya yang ke-10 ( November 1999 ) UMNO/Barisan Nasional telah diberi mandat oleh rakyat Malaysia untuk menerajui negara ini dibawah pimpinan Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamed sebagai Perdana Menteri. Kalau kita lihat senario hari ini ucapan Perdana Menteri menonjolkan lagi pegangan sekularisma dalam pemerintahannya. Bagi membuktikan kebenaran ini, marilah kita renung ucapannya
- " Hanya yang diperlukan ialah bersyukur kepada Tuhan. Nikmat dan rezeki yang kita dapati bukan daripada orang yang menyampaikannya. Jika tidak orang itu, orang lain yang akan menyampaikan. Jadi kita juga tidak perlu berterima kasih kepada Nabi Muhammad S.A.W. Jika tidak Nabi Muhammad, orang lain yang akan diutuskan untuk menyampaikan agama Islam. Oleh itu tidak perlulah kita mengagung-agungkan Nabi Muhammad. Memadailah dengan bersyukur kepada ALLAH S.W.T. sahaja ". Petikan dari Berita Harian/ Utusan Malaysia 11 Mei 2000. ( Ucapan Dasar Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamed )
- " Jika Hudud dilaksanakan di negeri Kelantan, ramailah nanti orang Islam yang akan kena potong tangan, maka ia tidak boleh dilaksanakan. Jika berzina kena rejam, maka habislah batu-batu di tepi jalan ".
- " Al-Quran perlu ditafsir semula ‘.
- " Ada sesiapa tengok janggut Nabi Muhammad panjang mana, Nabi simpan janggut kerana pada masa tu pisau cukur tak’da ". Petikan Ucapan Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamed dalam perjumpaan dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri
- " Jika tidak ada Qiamullail dan kuliah subuh. Tak tahulah saya kalau kita tidak ada Qiamullail, kita tidak islamkah?.Tengok, tidak hadir Qiamullail tetapi dia sedang belajar matematik , engineering but they serve islam ". Petikan ucapan Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamed pada ‘ Majlis Perjumpaan Y.A.B. Perdana Menteri dengan Para Akademik IPTA’ pada 17 mei 2001 di Dewan Taklimat, Bangunan Perdana Putra, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
Jadi jelaslah bagi kita menilai sejauh mana pegangan Perdana Menteri Malaysia dalam mengamal fahaman sekularisma dalam pemerintahannya.
UMNO dikatakan parti dominan orang melayu ( beragama Islam ) tetapi mereka ini tidak sensitif tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan Agama Islam. Mengapa dikatakan begitu ?. Dalam setiap perhimpunan Agung, ahli-ahli Umno tidak berani menegur pemimpin mereka walaupun ucapan seperti diatas dengan jelas boleh merosakkan akidah tetapi mereka hanya mampu mendiamkan diri atau ada juga dikalangan mereka mempertahankan ucapan tersebut.
Berbeza dengan isu ‘ 17 Perkara Tuntutan Suqui ‘ – Lampiran A. Ahli-ahli UMNO telah bangkit dan mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan Persatuan Cina menyatakan bantahan mereka kerana isu tersebut menyentuh kewibawaan orang melayu. Jadi disini jelas kita lihat perbezaan sikap ahli-ahli UMNO berhubung soal Agama Islam yang di permainkan dengan isu ‘ Tuntutan Suqui ‘. Sikap ini selaras dengan definasi
‘ Sekularisma ‘. Di sini bolehlah dirumuskan bahawa memang pemerintahan hari ini
( UMNO/ BN ) mengamal perjuangan kebangsaan dengan mengenepikan perjuangan Islam.
Perundangan
Perlembagaan Malaysia telah dipersetujui di London pada Mac 1956, Kerajaan British telah melantik sebuah Suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Reid seorang ahli Majlis Privy British untuk merangka satu Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu. Jawatankuasa Kerja Suruhanjaya Perlembagaan yang dianggotai oleh Tuanku Abdul Rahman, Sir Col.H.M. Lee, Dr. Ismail, Tun Abdul Razak dan empat wakil Raja-raja Melayu, pengerusinya adalah Lord Reid berjaya dibentuk untuk menggubal undang-undang Tanah Melayu
( Malaysia ).
Undang-Undang inilah digunapakai oleh negara Malaysia yang merdeka hingga kini dengan sedikit sebanyak pengubahsuaian. Prinsip ‘ Politik suku dan Agama suku‘ masih diamalkan maka wujudlah dua sistem penghakiman iaitu
1. Mahkamah Civil
Mahkamah ini hanya menyentuh hal-hal selain daripada yang berkaitan dengan Agama Islam.
2. Mahkamah Syariah
Mahkamah ini hanya membicarakan hal-hal bekenaan dengan Agama Islam.
Prinsip ini dengan jelas menunjukkan ianya fahaman ‘ Skularisma ‘. Awal tahun 1999 satu perkara pelik telah berlaku dalam sistem penghakiman Malaysia. Kes yang akan kita bincang ini, melibatkan satu perubahan besar telah berlaku di negara kita iaitu
‘ Pertuduhan Liwat Oleh Dato’ Seri Anwar bin Dato’ Ibrahim dengan bekas pemandu peribadi beliau, Azizan Abu Bakar ‘ dan hakim yang mengendalikan kes ini bukannya seorang yang beragama Islam. Saksi yang ditampilkan hanya keterangan Azizan Abu Bakar sebagaimana yang dimaklumkan dalam Mahkamah Syariah di Melaka bahawa Azizan mengaku dia telah melakukan zina. Bolehkah Azizan menjadi saksi mengikut Hukum Hudud ?. Kalau kita kaji dari segi pertuduhan, jelaslah kepada kita bahawa pertuduhan ini melibatkan hal-hal berkaitan dengan agama sepatutnya dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Dalam kes tersebut jelas menggambarkan perlembagaan negara kita adalah undang –undang sekularisma bukannya mengikut Undang-undang Islam ( Hukum Hudud ) yang berasaskan Al-Quran, Hadis, Ijimak dan Qias.
Oleh kerana sistem perundangan negara ini masih lagi mengekalkan undang-undang penjajah maka banyak kelemahan yang ada dalam setiap perbicaraan di Mahkamah terutama Mahkamah Sivil. Tanggal 13 Mei 2001, ADUN Hulu Kelang, Saudara Azmin Ali telah dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan kerana ‘ Dikata membuat keterangan palsu dalam mahkamah’. Perkataan ‘ Terima kasih kepada Polis ‘ dihujung surat rasmi dijadikan bukti oleh pendakwa raya.
Sehari sebelum 14 April 2001 seramai 10 ahli Parti Keadilan Nasional telah ditangkap dibawah ISA ( Akta Keselamatan Dalam Negeri) dimana mereka ditahan tanpa dibicarakan dalam mahkamah. Mengikut Undang-Undang Islam tiada orang yang ditangkap tanpa dibicarakan.
Akta ini diwujudkan pada tahun 1960 sebagai penerusan kepada Peraturan Darurat yang tidak lagi digunapakai apabila darurat tamat pada tahun yang sama. Pewujudan ISA amat kritikal bagi menjamin kuasa pemerintah kerana penamatan darurat bererti pemerintah tidak lagi mempunyai kuasa khas yang membenarkan penahanan tanpa bicara.
Ketika ISA hendak diwujudkan pada tahun 1960, Kerajaan Perikatan memberi janji bahawa ISA tidak akan digunakan sewenang-wenangnya. Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri dalam ucapan di Parlimen pada 21 Jun 1960 memberi jaminan bahawa ISA tidak akan disalahgunakan tetapi pemimpin hari ini menggunakannya tanpa perlu memberi sebarang alasan atau penjelasan tentang orang yang didakwa dibawah ISA.
Dalam ISA, peruntukan yang membolehkan keputusan menteri dicabar di mahkamah melalui satu semakan kehakiman ( Judicial Review ) dihapuskan melalui pindaan pada tahun 1989. Pindaan ISA ini menjadikan keputusan Menteri Dalam Negeri adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan. Hanya aspek teknikal penahanan sahaja boleh dipersoal di mahkamah melalui pengemukaan writ habeas corpus.
Ini bermakna kuasa dipusatkan kepada pemerintah atau cabang eksekutif. Pemusatan kuasa sebegini jelas mencabul Doktrin Pemisahan Kuasa yang menuntut agar cabang legisletif, eksekutif dan kehakiman dipisahkan.
ISLAM menentang pemusatan kuasa kerana ia memungkinkan penyalahgunaan dan penganiayaan. Di dalam tradisi islam, khalifah boleh ditegur dan tidak ada sebarang keputusan pemerintah yang tidak boleh dicabar atau dipertikaikan.
Malah ketika di zaman Rasulullah, apabila para sahabat mempunyai pandangan yang berbeza dengan Rasulullah mereka akan bertanya samada kata-kata Rasulullah itu adalah wahyu IILAHI atau pandangan Baginda. Sekiranya ia hanya pandangan Rasulullah mereka mungkin akan mengemukakan pandangan yang berbeza. Rasulullah menerima baik perbezaan pandangan ini.
Bagaimana pandangan seorang menteri tidak boleh disanggah sedangkan Rasulullah sendiri terbuka menerima perbezaan pandangan. Apakah menteri lebih bijaksana dari Rasulullah?.
Di dalam syariat Islam tidak ada istilah tahanan politik. Sebarang penahanan atau hukuman ke rakyat mesti ada perbuatan jenayah. Pemberotakan ( Bughah ) termasuk dalam hudud. Ia dikendalikan sebagai kes jenayah dengan prosedur dan peraturan ketat.
Di dalam mengendalikan urusan jenayah, Islam sentiasa memberi perhatian yang berat dan teliti. Ini kerana seseorang itu sentiasa dianggap bersih dari sebarang kesalahan atau dosa sehingga dia dibuktikan bersalah. Rasulullah bersabda " Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah ( suci )’.
Kes 10 orang ahli Parti Keadilan yang ditahan di bawah ISA, tuduhan tidak boleh bersifat umum seperti " Kamu mengancam keselamatan negara ". Dalam Islam tuduhan ini harus disokong oleh bukti-bukti sah, misalnya melalui saksi yang adil atau keterangan pakar. Bukti-bukti ini mestilah sahih.
Ikrar atau pengakuan yang diperolehi melalui paksaan tidak boleh diterima pakai. Jika tahanan didera, mahkamah wajib membela tahanan dan bertindak ke atas pihak berkuasa yang terlibat sebagaimana yang berlaku ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada malam 20 September 1998 di dalam sel nombor 8 mengakibatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menerima hukuman penjara 2 bulan. Kalau diteliti kes ini hukuman yang patut diterima adalah lebih berat daripada itu.
Pendidikan
Dalam sistem pendidikan, Malaysia masih lagi mengamalkan sistem peninggalan penjajah. Ini kerana pendidikan berasaskan ilmu Sains dan sekarang ini Sistem Maklumat ( IT ) diberi keutamaan berbanding dengan ilmu agama. Peringkat sekolah menengah matapelajaran agama Islam hanyalah subjek pilihan.
Perdana Menteri pernah berkata kalau kita hanya pandai dalam ilmu agama sampai bila kita boleh setanding dengan negara maju sebab itu penting kita mempelajari ilmu sains. Betul, dalam Islam menuntut ilmu adalah wajib. Mengikut sejarah, orang Islamlah yang menguasai kesemua bidang ilmu sebelum kejatuhan Kerajaan Islam Sepanyol.
Apa yang berlaku di Malaysia mempelajari agama Islam diperlekehkan. Terdapat dua jenis sekolah di negara ini iaitu
- Sekolah Menengah Kebangsaan.
- Sekolah Menengah Agama.
Persoalannya, mengapa perlu ada dua sistem persekolahan ?. Inilah bibit-bibit skularisma dalam sistem pendidikan. Kita tengok diperingkat pra-sekolah ( Kanak-kanak 5-6 tahun ) yang belajar di kelas TADIKA ( Kelolaan KEMAS / UMNO ). Apa yang dipelajari hanya tertumpu kepada hiburan dan sedikit bacaan doa untuk makan. Semenjak diperingkat ini pemikiran kanak-kanak diracun dengan fahaman sekularisma.
Kesan Skularisma Dalam Pemerintahan
- Jabatan Agama Islam diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
- Ketidakseragaman dalam pentadbiran pejabat agama negeri-negeri di Malaysia
- Fahaman Sekularisma memperalatkan Ulama’.
- Badan Kehakiman diperalatkan oleh pemerintah. Meraka tidak lagi bebas dalam menjalankan tanggungjawapnya demi untuk menegakkan keadilan.
- Kebebasan menyatakan kebenaran disekat.
- Media cetak dan media elektronik dikawal penerbitannya oleh pemerintah.
- Hak rakyat untuk berhimpun secara aman mengikut peruntukkan perlembagaan dihalang.
- Sekularisma tidak ingin melihat Agama Islam menguasai bidang-bidang politik, ekonomi dan kemasyarakatan.
- Sekularisma telah mewujudkan dua sistem pemerintahan iaitu Ketua Agama dan Ketua Negara.
- Hiburan berbentuk maksiat bermaharajalela.
- Amalan Kronisme, Nepotisme dan Rasuah dalam kerajaaan tak dapat dibendung.
- Kecenderungan tentang Agama Islam memuaskan terutama di kalangan remaja-remaja.
Kesimpulan
Setelah memahami sejarah dan fahaman Skularisma ini, maka adalah menjadi tanggungjawap kita untuk menegakkan Islam di Malaysia. Mari kita lihat dan renungi dua peristiwa yang amat mengaibkan umat Islam dewasa ini.
- Peristiwa yang berlaku negara Turki.
Seorang ahli parlimen wanita tidak dibenarkan memasukki parlimen kerana menutup aurat ( Pakai Tudung ). Beliau telah dihukum dan dibuang kerakyatan.
- Pemencatan Mufti Selangor.
Seorang Mufti telah dipecat kerana menyokong tindakan yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) ke atas tangkapan 3 orang ratu cantik Melayu Islam yang sedang memperagakan tubuhnya di khalayak ramai menurut enakmen yang telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar ketika itu Y.A.B. Dato’ Abu Hassan.
Selagi negara kita tidak meletakkan Agama Islam sebagai asas dalam sistem pemerintahan maka selagi itulah fahaman Skularisma akan berterusan bertapak dalam jiwa setiap penduduk negara ini.
Awas! Jangan kita jadikan Malaysia seperti Turki.
"Negara Kita Tanggungjawap Kita".
.....................................................................
Cetatan : Bojeng Jetat adalah Webmaster laman Bojeng Jetat, sila lihat link di bawah.