Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Presiden kuat Umno lemah

‘Semakin Umno berpaut pada sejarah, semakin hampir Umno menjadi sejarah’

Oleh OTHMAN MUDA

KUALA LUMPUR: Presiden Umno semakin memperkukuhkan kedudukannya dalam parti, di saat Umno sendiri berterusan lemah dan tidak berdaya untuk melakukan usaha peremajaan bagi memulihkan imej parti.

Pensyarah kanan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohamad Agus Yusoff membuat kesimpulan itu merujuk persidangan agung Umno yang lalu, khususnya ucapan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

“Dr Mahathir gagal memberikan panduan untuk perwakilan Umno menentukan halatuju parti yang lebih fokus dan terarah. Beliau juga tidak menyentuh isu-isu yang selama ini dibincangkan di peringkat akar umbi, misalnya isu kronisme dan perletakan jawatan Daim,” tambahnya.

Gesaan supaya pemimpin Umno turun ke bawah, kata Dr Agus, tidak dapat menyelesaikan kemelut yang dihadapi Umno sekarang, jika isu-isu besar tadi tidak diberikan penjelasan sewajarnya, dengan disusuli tindakan pro-aktif merawatinya.

“Jelas, Umno belum berjumpa ramuan untuk menyembuhkan penyakit yang dihidapinya selama ini,” tegasnya, ketika dihubungi wakil Cabaran.

Seorang lagi saintis politik UKM, Prof P Ramasamy berkata, orang Melayu hari ini jauh lebih yakin berbanding dulu dan mereka tidak lagi memerlukan pelindung seperti Umno sebagaimana sebelumnya.

Kata Ramasamy, Mahathir “cukup kecewa dan marah” kerana orang Melayu semakin ramai meninggalkan Umno tapi ucapannya didapati seolah-olah mahu memburukkan lagi keadaan.

“Semakin Umno cuba berpaut pada sejarah, semakin hampir Umno menjadi sejarah,” katanya.

Untuk pulih menjadi parti politik yang relevan semula, apa yang diperlukan Umno bukanlah perubahan terhadap politik dalaman, tapi kesanggupan untuk membuang paradigma yang berakar-umbikan perkauman dan hegemoni Melayu, kata Ramasamy.

“Parti-parti politik Melayu yang menentang Umno mungkin tidak sepenuhnya membuang aspek-aspek hegemoni Melayu ini, tapi apa yang pasti, mereka semua menolak corak pemerintahan berdasarkan kaum dan etnik.

“Di saat semakin ramai orang Melayu golongan kelas pertengahan menghendaki politik yang lebih progresif, Umno masih kekal dengan cara lamanya dan ini bertentangan dengan kehendak intelektual; dan ini belum termasuk kesan yang ditinggalkan akibat pemaksaan model ini ke atas masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia ini.

“Untuk menjadi relevan dalam politik pada masa depan, Umno perlu melihat dari sudut yang lebih luas berhubung tuntutan rakyat terhadap hak-hak demokratik dan budaya: corak politik Umno bertentangan dengan kebangkitan politik yang memberi harapan kepada hak-hak demokrasi, sosial dan ekonomi,” jelasnya.

Robert Broadfoot dari Perunding Risiko Politik dan Ekonomi di Hong Kong pula berkata, terdapat spekulasi bahawa Mahathir kini cuba menjauhkan dirinya daripada beberapa polisi yang kontroversi dan berusaha mendapatkan sokongan masyarakat Melayu kelas pertengahan.

“Tapi nampaknya dia terus menyerang, bukannya menggunakan peluang untuk merapatkan hubungan dengan mereka ini. Saya tidak fikir dia berjaya mendapat semula sokongan orang Melayu kelas pertengahan,” kata Broadfoot.

“Ucapan retoriknya tidak menyembuhkan luka masyarakat Melayu, malah sebaliknya menyisihkan mereka.

“Saya rasa nada ucapan Dr Mahathir tidak kena dengan generasi muda,” katanya.

Sementara itu ramai penganalisis bersetuju bahawa retorik yang diucapkan berbeza dengan realiti Malaysia yang mengharapkan kehadiran pelabur-pelabur asing dan juga pelancong.

Mahathir telah memberikan gambaran yang salah tentang Malaysia terutama di saat China menjadi pesaing yang semakin kuat dalam mendapatkan pelaburan asing, tambah Broadfoot.

“Malaysia tidak melakukan apa yang sepatutnya untuk membetulkan kedudukannya … melainkan menjerit pada dunia,” katanya lagi.

..........................................
(Dipetik dari berita utama muka depan akhbar tablod CABARAN, keluaran 1 Julai 2001. CABARAN akan terbit seminggu sekali bermula 1 Julai depan. Isu terbaru boleh didapati di pasaran).






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 28 Jun 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com