Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


PRM ALU-ALU KEPUTUSAN KEADILAN

Bagi pihak Parti Rakyat Malaysia (PRM), saya mengalu-alukan dengan gembira keputusan bijak yang telah diambil oleh Parti keADILan Nasional (keADILan) dalam Persidangan Agung yang telah diadakan semalam (Ahad 24hb Jun 2001). Keputusan itu bersejarah dan mempunyai pengertian besar bagi memulakan langkah yang boleh mengubah wajah politik negara pada masa akan datang, Insha Allah.

Keputusan untuk mewujudkan satu wadah baru politik bernama Parti Keadilan Rakyat Malaysia melalui percantuman di antara PRM dengan keADILan telah diperolehi dengan majoriti yang jelas. Hampir 64 peratus daripada perwakilan yang mengundi menyetujui resolusi yang dikemukakan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk percantuman kedua-dua parti itu. (Pihak pemerintah telah menafikan hak mereka yang ditahan di bawah ISA, yang menyokong percantuman, untuk mengundi). Seterusnya, hampir 63 peratus perwakilan telah memberikan mandat kepada MPT untuk melaksanakan proses percantuman itu.

Sungguhpun undi yang diperolehi untuk membuat pindaan perlembagaan keADILan bagi mempercepat proses percantuman itu kurang sedikit daripada yang diperlukan, kami bersetuju dengan Presiden keADILan, Dr Wan Azizah Ismail, bahawa ini cuma soal teknikal yang bukan merupakan masalah besar. Kami yakin pihak keADILan akan dapat menyelesaikannya dalam mesyuarat agung yang akan diadakan beberapa bulan lagi.

Pada 15hb Julai 2001 ini PRM akan mengadakan Kongres Nasional ke-34. Perbincangan percantuman untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat Malaysia akan merupakan agenda terpenting kongres. Kongres kali ini akan menegaskan semula keputusan kongres lalu, yang telah bersetuju pada prinsipnya dengan percantuman ini. Selain itu kongres juga akan membincangkan segala keputusan bersama yang telah dicapai di antara jawatankuasa perundingan PRM dengan keADILan. Sudah tentu kami akan mengambil kira keputusan yang telah dibuat oleh Mesyuarat Agung keADILan, yang akan disampaikan secara rasmi kepada PRM tidak lama lagi.

Sebagaimana lazimnya, kongres PRM merupakan badan tertinggi yang membuat keputusan muktamad dalam segala hal yang melibatkan parti. Apabila keputusan kongres tercapai sudah tentulah ia perlu dipatuhi oleh semua anggota parti. Tetapi ini tidak bererti parti akan menafikan hak demokrasi anggota untuk menyatakan pendapat serta pendirian mereka.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM

25hb Jun 2001






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Jun 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com