Oleh: Wartawan Detikdaily
Buku kumpulan sajak-sajak reformasi karya Dinsman yang ditunggu-tunggu sekian lama kini telahpun berada di pasaran. Secara rasminya buku yang didedikasikan kepada seniman agung negara Usman Awang ini, akan dilancarkan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Fadzil Noor, pada Selasa 26 Jun 2001, 9.00 malam, bertempat di Markas Tarbiyah Taman Melewar, Kuala Lumpur.
Majlis pelancaran buku puisi ini akan diisi juga dengan acara pembacaan puisi oleh beberapa orang penyair terkenal selain Dinsman sendiri, seperti Dr Shafie Bakar, Faizal Tehrani (penulis novel Perempuan Politikus Melayu), Shukri Abdullah, Pak Salleh Bakar dan Razali Endun.
Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad juga akan hadir dan berucap, disamping penerbit akhbar bebas Ahmad Lutfi Othman. Manakala kartunis Zunar akan bertindak selaku pengacara. Seorang tokoh pimpinan reformasi, mungkin Gobalakrishnan (yang baru dibebaskan dari tahanan ISA) akan dijemput berbicara mengenai isu-isu semasa.
Sementara itu pihak penerbit buku ini, Penerbitan Pemuda, menyatakan mereka bersedia menguruskan pembacaan puisi oleh Dinsman, sebagai promosi buku ini, di mana-mana saja sekiranya ada pihak yang berminat.
Mereka bolehlah menghubungi Penerbitan Pemuda melalui telefon 03-40230175 atau 019-3432056 (Zabidi), atau Fax 03-40243531, atau e-mail zabidi_detik@hotmail.com.