Saya merasa terpanggil untuk mengulas mengenai pencerobohan internet yang
khabarnya sedang berlangsung di salah sebuah laman web reformasi popular serta
ancaman dari penceroboh itu tehadap beberapa laman reformasi lain.
Beberapa email menggesa kami bertindak untuk samada mengambil alih laman
berkenaan dari tangan penceroboh ataupun menyerang balas laman-laman pihak yang
mendokong perjuangan petualang pemerintah.
Isu ini bagi saya dikira agak lapuk kerana beberapa waktu dulu kita turut
digemparkan dengan kehilangan misteri laman-laman reformasi kecuali laman yang
sedang berlaku pencerobohan sekarang ini.. Laman Mahazalimtwo.
Terlebih dahulu sebelum peristiwa kehilangan tersebut, beberapa kejadian
pencerobohan yang berulang-ulang berlaku samada di pihak BA ataupun BN di tapak
yang sama. Saya juga telah menyarankan melalui tulisan-tulisan di internet atau
pun secara terus melalui email kepada beberapa pengendali laman-laman web
berkenaan tentang isu keselamatan dan langkah-langkah pertahanan menghadapi
masalah pencerobohan ini.
Malang sekali hanya setelah peristiwa-peristiwa pencerobohan dan kehilangan
misteri laman web BA di tapak sama berlaku, cuma beberapa kerat dari Webmaster
mengambil langkah memindahkan operasi ke tapak lain.
Isu di tapak Tripod yang saya maksudkan tadi bukanlah hanya berkisar terhadap
soal keselamatan tetapi sekarang ini soal polisi dan pendirian mereka. Adalah
tidak logik sistem pelayan mereka memadamkan akaun-akaun pengguna secara
terpilih. Sistem pengaturcaraan tidak boleh membaca untuk memahami kandungan
sesuatu laman web dan kemudiannya mengelaskan mereka sebagai objek untuk dipadam
tanpa disediakan satu senarai rujukan oleh pengaturcara mereka.
Yang menjadi persoalan dalam soal tersebut siapakah yang menyedia atau
mencadangkan keyword, checklist atau banlist kepada sistem komputer untuk
mengelaskan sesuatu laman web dalam kategori untuk dipadamkan? Dalam hal ini
saya berpendapat pengurusan Tripod telah dipengaruhi oleh faktor luaran untuk
memasukkan senarai rujukan laman web tertentu untuk dipadamkan secara automatik
oleh sistem mereka.
Berbalik kepada soal pencerobohan dan isu keselamatan di tapak penyedia
berkenaan, nampaknya pihak pengurusan mereka telah berbuat sesuatu untuk
meningkatkan perisai dengan menambah satu lagi item pengenalan diri dan membuang
keseluruhan sistem lama mereka. Bagaimanapun penceroboh masih berpeluang
menembusi sistem mereka melalui CGI attack ataupun FTP yang mana username telah
pun diketahui berdasarkan URL laman sasaran. Penceroboh hanya perlu meneka
password sahaja untuk memasuki sistem mangsa. Sistem sebegini adalah 50 peratus
lebih mudah untuk ditewaskan berbanding sistem yang menggunakan username yang
berbeza dengan URL.
Saya juga ingin menyentuh mengenai anonymity para Webmaster reformasi
memandangkan terdapat kecenderungan sesetengah daripada mereka kini mula membuat
duit melalui iklan-iklan di laman mereka. Iklan yang dimaksudkan ini adalah
iklan yang selain daripada ISP mereka. Iklan-iklan ini membayar dengan kadar
tertentu kepada Webmaster berdasarkan jumlah 'click' pelayar ke atas iklan
berkenaan di laman mereka.
Pembayaran ini biasanya dibuat setahun sekali ataupun sebulan sekali melalui cek
ke alamat atau akaun Webmaster. Ini bermakna Webmaster perlu mendaftar dengan
nama, alamat dan pengenalan diri yang tepat bagi membolehkan bayaran dibuat
kepada mereka dengan betul.
Membuat duit dengan iklan-iklan ini adalah tidak salah dan secara teorinya boleh
membantu menampung kos penerbitan sesebuah laman web. Yang menjadi persoalan
ialah faktor pendedahan identiti Webmaster melalui iklan ini. Keberanian
beberapa Webmaster mengambil risiko ini menimbulkan persoalan sedangkan
kebanyakkan Webmaster Underground seperti webmaster laman-laman reformasi sedaya
upaya mengelakkan identiti mereka terdedah.
Bagaimanapun soal ini terpulang kepada individu samada untuk mendedahkan dirinya
ataupun tidak berdasarkan kemampuan mereka menghadapi tekanan pemerintah. Saya
cuma ingin mengingatkan para webmaster lain untuk memikirkan persoalan ini
apatah lagi dengan pindaan Akta Cetakan yang meliputi Internet yang bakal
dikuatkuasakan nanti. Ia akan mengundang bencana kepada para Webmaster Reformasi
yang agresif dan radikal sekiranya mereka secara tidak sengaja atau dengan
sengaja mendedahkan identiti mereka melalui program iklan internet ini.
Sebaik-baiknya segala kos yang dikeluarkan samada wang ringgit, masa, tenaga dan
sebagainya itu dianggap sedekah ataupun Jihad ke jalan Allah tanpa perlu
mengutip balik melalui iklan.
Ancaman dari Lord Xidius itu hendaklah diambil kira walaupun pada pandangan saya
ia bukanlah seorang penceroboh berbakat yang sebenar. Dalam dunia internet yang
tidak bersempadan ini, sesiapa sahaja boleh membuat ancaman dan kalau bukan hari
ini, mungkin esok kita tertewas dengan orang lain yang tidak pernah mengancam
kita.
Xenophoria
..::: http://www.hackerzparadize.f2s.com :::..