Oleh Mohsin Abdullah
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Hrkh) - Sayang sekali MCA memilih untuk tidak " kow tim " dengan majoriti masyarakat Cina berhubung isu pengambil alihan Nanyang Publications.
Sebaliknya mereka " kow tow " kepada kehendak Perdana Menteri yang merestui rancangan mengawal Nanyang yang dikemudikan Presiden MCA Dato Seri Dr Ling Liong Sik.
Umum tahu "kow tim" ialah istilah Cina yang bermaksud pakat atau bersetuju tertakluk kepada bentuk ayat. " Kow tow " pula membawa erti tunduk atau akur atau ikut kemahuan seseorang.
Atau sujud. Hari ini 1,176 perwakilan MCA mengundi menyokong rancangan parti mengambil alih Nanyang Publications.Yang menentang hanya 1,019 .
Sekali gus MCA membelakangi hasrat rakyat khususnya masyarakat Cina yang yang rata rata tidak setuju dengan pengambil alihan itu atas dasar hak dan prinsip kebebabasan media, individu dan bangsa yang berwarga negarakan Malaysia.
Sejak rancangan MCA itu diumumkan majoriti masyarakat Cina menentang sehingga timbullah kumpulan yang dikenali sebagai Gang 8 dalam MCA sendiri yang turut membantah.
Gang 8 dianggotai beberapa pemimpin kanan MCA dan Menteri kabinet termasuk Dato Chua Jui Meng dan Dato Chan Kong Choy, diketuai Timbalan Presiden Dato Lim Ah Lek.
Mungkin penentangan ini akibat pergeseran Lim dengan Ling yang sememangnya bukan rahsia dan Nanyang hanya isu yang diambil untuk kepentingan politik mereka. Namun itu tuduhan yang dilemparkan oleh kumpulan Ling.
Bagi Lim dan rakan rakan , penentangan mereka ialah atas " cintakan MCA dan Barisan Nasional ". Mereka bimbang sokongan masyarakat Cina terhadap MCA dan BN akan merosot jika pengambil alihan Nanyang dikuatkuasakan.
Chua dipetik oleh agensi berita antarabangsa sebagai berkata tidak kurang daripad 80 peratus masyarakat Cina menentang rancangan ini . " Kami juga menerima nota bantahan daripada 500 kawan kawan lama kita', kata Chan .
"Kawan lama" disini bolehlah ditafsirkan sebagai penyokong kuat MCA samada individu atau persatuan. " Sejak bila kawan lama menjadi musuh kita ?", kata Chan.
"Apa yang perlu ialah hanya enam peratus masyarakat Cina beralih sokongan dan kerajaan kita ( BN ) akan tumbang seperti parti Kuomintang Taiwan ", kata Chua pula. Presiden Gerakan Dato Seri Lim Kheng Yaik menyedari hakikat ini.
Semalam beliau mengingatkan perwakilan MCA supaya " mengambil kira bantahan masyarakat Cina apabila kamu mengundi kelak ". Dan semalam juga pergerakan Pemuda MCA mengadakan mesyuarat luar biasanya sendiri dan meluluskan resolusi membantah rancangan pengambil alihan Nanyang Publications.
Resolusi itu cuba diserahkan oleh Ketua Pemuda Dato Ong Tee Keat kepada Ling semalam tetapi ditolak oleh Presiden parti atas alasan "mesyuarat kamu tidak sah".
Ling sendiri diejek dan ditunjukkan isyarat lucah oleh ahli parti ketika beliau tiba di Wisma MCA pagi tadi manalaka Gang 8 disambut dengan tepukan gemuruh.Malah mereka dijulang hingga ke pintu dewan mesyuarat.
Namun apabila keputusan pengundian diumumkan jelas Ling yang muncul pemenang meski pun bantahan nampak cukup kuat dan kemarahan terhadap beliau sendiri begitu membara.
Mengapa agaknya 1176 perwakilan MCA memilih untuk menyokong rancangan pengambil alihan itu walaupun tahu ia hanya akan menyemarakkan lagi kemarahan masyarakat Cina ? Mungkin kata kata keras Dr Mahathir semalam ada kaitan.
Ketika beliau berucap pada pertangguhan Perhimpunan Agung UMNO Dr Mahathir membidas Nanyang Publications yang dituduhnya "alat pembangkang". Nanyang dituduh memainkan isu perkauman dan menimbulkan kebencian masyarakat Cina terhadap BN dan beliau sendiri khususnya.
Oleh itu kata Dr Mahathir adalah wajar Nanyang dikawal oleh MCA,komponen BN, " sama seperti Utusan yang dimiliki UMNO". Dan beliau tidak berhenti disitu.Dr Mahathir terus memberi amaran lantang "jika kamu main isu perkauman.... ".
Beliau tidak menghabiskan ayat itu tetapi perwakilan UMNO sambut dengan teriakan " Tangkap" dan " ISA ". Mungkin amaran itu menakutkan perwakilan MCA ketika mereka mengundi hari ini.
Mungkin juga penentangan terhadap rancangan pengambil alihan ini akan dilihat sebgai penentangan terhadap Dr Mahathir. Dan mereka bimbang dilabel " anti Mahathir ".
Jika kemungkinan kedua itu benar maka kesimpulannya ialah Gang 8, Pemuda MCA dan 1,019 perwakilan yang mengundi menolak rancangan pengambil alihan Nanyang "menentang Dr Mahathir".
Begitu juga dengan Lim Kheng Yaik yang jelas mahu "bantahan masyarat Cina diambil kira". Gerakan sememangnya pada awal lagi mahu MCA membatalkan hasrat mengawal Nanyang. Berdsarkan kemungkinan itu juga kedudukan Lim,Chua, Ong, Chan dalam kerajaan perlu diteliti semula oleh Perdana Menteri.
Proses pengundian hari ini disifatkan oleh Ling sebagai pemutus kemelut Nanyang ini. " Kita selesaikan ini once and for all di mesyuarat luar biasa ", kata Ling ketika mengumumkan keputusan mengadakan mesyuarat itu minggu lalu.
Persoalannya sekarang adakah isu ini telah selesai " once and for all" ? Apatah lagi MCA jelas berpecah dan Ling "menang" dengan kelebihan 157 undi sahaja. " Walaupun kecil, menang tetap menang.
Saya amat gembira", kata Ling pada sidang medianya petang ini. Tidak boleh dinafikan luka semakin parah antara kumpulan Ling dan Gang 8. Banyak perkataan pedas telah diperkatakan ketika kedua dua kumpulan ini " berkempen" sebelum ini. Dan luka seperti itu tidak mudah sembuh.
Hampir pasti " perang " ini akan berlanjutan hingga ke pemilihan pimpinan MCA tahun depan.Hampir pasti juga Lim akan mencabar Ling untuk jawatan Presiden. Lebih besar daripada itu ialah keputusan MCA berhubung isu Nanyang ini mendukacitakan masyarakat Cina.
Pelbagai persatuan dan kumpulan serta individu yang menentang pengambil alihan Nanyang pasti meneruskan penentangan mereka. Dan kesimpulan terbaik dibuat oleh Lim Ah Lek pada sidang medianya lewat petang ini: "Kini terpulanglah kepada masyarakat Cina sendiri membuat keputusan mereka".