PERTAMA sekali kita ucapkan tahniah dan syabas kepada Hishammuddin Tun Hussein kerana melancarkan program 'Pemuda Masuk Kampung' baru-baru ini. Walaupun wujud episod dan siri kelemahan teknikal pada permulaannya, namun kita seharusnya melihat segala aspek kelemahan itu perlu diperbaiki lagi dari semasa ke semasa. Tidaklah manis jika dicerca atau dipolitikkan hanya kerana kesilapan kecil. Sekiranya ada usaha bagi mengkaji segala aspek kelemahan dan wujud sikap memperbaharui amalan, maka setiap projek kita akan berjaya. Tulisan ini sekadar melihat secara rawak beberapa aspek kelemahan dan saranan utama yang difikirkan perlu untuk menjayakan semula program-program seperti ini di masa depan.
Mengapa Kurang Berkesan?
Tulisan ini menyimpulkan dua faktor yang menyebabkan ia kurang berkesan. Pertama, ia diorientasikan kepada agenda politik kepartian semata-mata. Kedua, kebanyakan exco pemuda Umno sendiri kurang berpengalaman dengan perjalanan serta halatuju program tersebut.
Bagi menjayakan program-program seperti ini, ia sepatutnya dibuka penyertaannya secara lebih meluas di kalangan belia dan pemuda. Dengan cara ini, penyertaan tidak hanya terhad kepada beberapa orang exco pemuda Umno bahkan lebih ramai lagi dapat berkecimpung bagi menjayakan program tersebut. Di samping itu, segala pengalaman daripada projek 'Baktisiswa' oleh mahasiswa-mahasiswa universiti akan dapat dipindahkan kepada kelompok belia bagi menjayakan Program Masuk Kampung.
Pemuda Masuk Kampung adalah agenda kerajaan. Adalah baik sekali jika program ini dijadikan agenda kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan supaya penglibatan belia dapat diterjemahkan secara menyeluruh. Sebenarnya, program ini bukanlah perkara baru.
Kisah Saidina Umar r.a masuk ke kampung-kampung di waktu malam untuk melihat sendiri masalah umat patut diteladani. Begitu juga dengan sikap yang ditunjukkan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah yang menangkap pencuri di malam hari ketika zaman penyamun berleluasa sangat wajar dijadikan renungan. Kedua-dua tokoh negarawan ini telah menunjukkan satu persamaan dalam menjalankan peranan 'khalifah'; masuk kampung bagi menyiasat sendiri masalah umat.
Dengan sebab itu sangat baiklah program Pemuda Masuk Kampung ini dijadikan agenda kerajaan dan bukanlah program parti sahaja. Tambahan pula, Hishamuddin memegang Kementerian Belia dan Sukan yang sangat sinonim dengan pergerakan belia dan pemuda.
Kementerian Belia dan Pembangunan
Kita sebenarnya tertanya-tanya dengan hubungan belia serta peranan mereka dengan sukan. Apakah program membangunkan sahsiah mereka ini selama-lamanya akan diorientasikan dengan aktiviti sukan semata-mata. Kita melihat nama itu membentuk segala halatuju dan gerak kerja kementerian dalam apa-apa jua pmgram. Sekiranya disempitkan dengan istilah sukan, maka tidak berkembanglah peranan belia negara. Tidakkah peranan belia negara ini sangat sinonim dengan pembangunan? Justeru, tulisan ini ingin mencadangkan agar nama Kementerian Belia dan Sukan itu diubah kepada Kementerian Belia dan Pembangunan.
Perluaskan Takrif Pembangunan
Istilah pembangunan itu sendiri adalah bersifat universal. Apabila kita mengatakan istilah pembangunan itu perlu diperluaskan, maka hendaklah dibiarkan sahaja istilah pembangunan itu tergantung tanpa apa-apa imbuhan istilah selepas istilah pembangunan tersebut. Sebagai contoh, tidak perlu lagi diletakkan nama Kementerian Belia dan Pembangunan Sukan. Memadai dengan nama Kementerian Belia dan Pembangunan.
Ini kerana, kita lebih bebas untuk menakrifkan peranan belia dalam konteks pembangunan. Pembangunan itu boleh jadi pembangunan sukan. Justeru, tidaklah hilang fungsi dan peranan belia dalam bidang sukan. Boleh juga pembangunan itu ditakrifkan sebagai pembangunan masyarakat, pembangunan insan, pembangunan usahawan, pembangunan pertahanan, pembangunan teknologi, dan pembangunan alam.
Jika kita meninjau kementerian lain yang mempunyai hubungkait istilah pembangunan, kita melihat segala kegiatannya sangat kecil. Ini kerana, istilah pembangunan itu telah pun diletakkan istilah yang lain selepasnya. Umpamanya, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga yang mementingkan aspek pembangunan wanita semata-mata. Ini menyebabkan skop pembangunan menjadi lebih kecil. Itu belum termasuk dalam perbincangan kita mengenai fungsi Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Dengan pertukaran nama ini, kita dapat mengadaptasikan peranan belia negara dalam hubungan kerjasama dengan mana-mana kementerian yang telah ditakrif sebagai pembangunan. Misalnya, Kementerian Pembangunan Masyarakat akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Pembangunan dalam program masuk ke kampung-kampung seperti sebelum ini.
Kita tidak perlu menciplak lagi nama-nama kementerian untuk disesuaikan dengan negara-negara maju. Kita perlu sedar bahawa negara-negara yang sedang membangun perlulah berupaya mengorak langkah selaras dengan tujuan pembangunan mengikut ramuan dan acuan yang digubah sesuai dengan citarasanya sendiri.
Soalnya, mengapakah nama Kementerian Belia dan Pembangunan ini sangat penting? Kerana nama akan menunjukkan sifat dan kekuatan. Lantaran itulah bila Nujum Pak Belalang ditanya tentang rahsia kekuatan Hang Tuah, beliau menjawab, kekuatan itu ada pada huruf 'ta'. Kalau diganti huruf 'ta' dengan huruf 'ba', maka jadilah Hang Buah. Justeru, hilanglah kekuatan Hang Tuah kerana tiada seorang pun merasa gentar dan mengenal orang yang bernama Hang Buah.
Soalnya, mengapakah nama 'Kementerian Belia dan Pembangunan' ini sangat penting? Kerana peranan belia dengan agenda pembangunan adalah ibarat isi dengan kuku. Dan jangan dilupakan bahawa negara kita masih tersenarai dalam kelompok Negara-Negara Membangun. Siapa lagi yang diharapkan untuk membangunkan negara kita jika bukan golongan belia!
Oleh Ali Bukhari Bin Amir