Assalamualaikum W.w. dan Salam Sejahtera kepada semua
pejuang reformasi,
Sekali lagi dalam usaha kita memastikan perjuangan
reformasi berterusan melalui cabang perjuangan siber,
Laman Reformasi Mahazalimtwo telah dicerobohi.
Bagaimana ianya boleh berlaku merupakan satu persoalan
yang masih bermain dalam fikiran saya. Segala usaha
untuk memastikan Laman Reformasi ini terus beroperasi
sedang dilaksanakan demi menjayakan tuntutan reformasi
dan demi memastikan Saudara Anwar Ibrahim dapat
kembali di sisi masyarakat bagi terus menegakkan
keadilan di negara yang tercinta.
Saudara,
UMNO sudah terdesak. Pelbagai usaha sedang diambil
bagi memastikan pejuang-pejuang reformasi di kerat dan
di patah-patahkan. Penangkapan 10 orang di bawah Akta
ISA menampakkan sikap terdesaknya mereka. Usaha mereka
akan tidak berhenti setakat itu sahaja. Peranan
rakan-rakan Webmaster harus juga mereka tumpaskan demi
memegang kepada sistem korup yang mereka dokong.
Mereka mahu menumpaskan kita dan membunuh tuntutan
REFORMASI yang saban hari semakin kuat dan semakin
memuncak. Usaha ini merangkumi segala bentuk ancaman
kepada pejuang reformasi, kepada pengendali laman web
dan kepimpinan BA. Apa pun ancaman yang dibuat
terhadap Laman Reformasi namun mereka gagal
mengurangkan sedikit pun semangat juang saya dan
begitu juga rakan-rakan Laman Pro-Reformasi yang
lain,Insyallah.
Sifat cemburu mekanisma UMNO dan penyokong mereka
semakin berterusan. Mereka harus sedar mengapa
laman-laman mereka tidak mendapat sambutan kerana apa
yang mereka tahu mengenai Teknologi Maklumat? Apa yang
mereka tahu hanyalah mengira duit keuntungan hasil
rompakan harta rakyat!
Perjuangan pasti di teruskan dan mereka yang mungkin
dibayar untuk terus menghancurkan perjuangan suci
menuntut keadilan akan menerima padah suatu hari
nanti. Kalau tidak balasan dunia maka ALLAH SWT pasti
akan menunaikan janjinya kepada umat manusia dengan
balasan sebaik-baiknya bagi yang menuruti NYA dan
seazab-azabnya bagi perbuatan mungkar mereka di dunia
ini.
Saudara,
Spekulasi dan kabar angin senantiasa melanda apabila
insiden-insiden seperti ini berlaku. Saya hanya
berserah kepada ALLAH SWT bagi menilai keikhlasan saya
berjuang menuntut perubahan dan pembebasan Saudara
Anwar Ibrahim. Tidak dinafikan bahawa banyak cercaan
dan tohmahan kali ini dilemparkan kepada saya
termasuklah yang paling teruk iaiut saya telah
berpaling tadah. Seribu-satu teori telah wujud dan
tersebar di laman-laman web, mailing list dan
forum-forum. Saya hanya mampu memohon agar antara kita
yang gemar membuat tuduhan serta tohmahan yang tidak
berasas mengenai Laman Reformasi diberi petunjuk oleh
ALLAH SWT serta dijauhi mereka dari amalan fitnah yang
menjadi budaya pemerintah kita
sekarang ini.
Saudara,
Saya pasti akan kembali . Saya pasti akan meneruskan
perjuangan demi menuntut REFORMASI sehingga ukuran
kemenangan yakni pembebasan Saudara Anwar Ibrahim
tercapai. Laman Reformasi akan terus bertindak
menuntut Mahathir Mohamad dan kuncu-kuncu
konspiratornya beredar dari terus menerajui negara
ini. Negara ini adalah milik rakyat dan bukan milik
mereka yang korup dan gila kuasa demi agenda
tersendiri.
Saudara,
Perjuangan ini akan terus di pikul oleh saya
sungguhpun pengorbanan ini terlalu kecil berbanding
dengan pengorbanan rakan-rakan lain seperti Datuk Seri
Anwar Ibrahim, Saudara Ezam Mohd Noor dan mereka yang
lain yang sedang merengkok dalam cengkaman ISA. Saya
berjanji atas nama perjuangan, atas kalimah Islam yang
saya pegang, atas nama REFORMASI, LAMAN REFORMASI akan
bangkit meneruskan perjuangan.
Ingatlah setiap kali kami diancam maka setiap kali
itulah kami bangkit dengan semangat baru dengan nekad
baru yang lebih padu. Ingat...... if it doesn't kill
me it will only make me stronger. AWAS KALIAN!
REFORMASI-REFORMASI-REFORMASI!