Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kumpulan politik kolot akan tewas: Musa

‘Ein Azmi

Pertentangan golongan yang membawa kesedaran baru dengan kuasa politik kerajaan sekarang sebagai “pertarungan” antara peradaban baru dan lama, kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

“Mana-mana kumpulan politik yang masih kolot, iaitu enggan menerima hakikat perubahan dan kesedaran ini pasti akan kecundang dalam peradaban baru,” kata Tan Sri Musa Hitam lagi, berucap merasmikan ‘Kongres Peradaban Malaysia’ di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi tadi.

“Keadaan ini jelas kelihatan dengan kemunculan generasi yang mendukung perubahan dan kesedaran baru yang begitu berani menentang elit politik yang dominan.”

Tambahnya, mereka yang mendukung perubahan dan kesedaran baru pada waktu ini tidak harus ditentang atau dicap sebagai “anti-nasional.”

“Generasi ini tidak seharusnya ditentang, malahan kepemimpinan negara harus mendekati mereka dan menyesuaikan diri dengan tanda-tanda ketamadunan negara kita sendiri,” kata Musa.

“Generasi ini tidak lagi terpengaruh terhadap fahaman politik yang dianggap mereka sebagai sempit yang sering dijelmakan dalam bentuk perkauman dan keagamaan.”

Beliau berkata sesebuah negara atau masyarakat boleh dianggap bertamadun atau sebaliknya apabila diukur mengikut amalan demokrasi dan hak asasi manusia di negara itu.

Kemurnian demokrasi

“Cabaran utama kepada (kita) semua adalah memastikan kemekaran dan kemurnian demokrasi dalam peradaban pada abad ke-21. Pengalaman di Malaysia sejak akhir-akhir ini menunjukkan bahawa rakyat semakin peka kepada demokrasi dan hak asasi manusia,” katanya.

“Rakyat lebih bijak dan berani membuat keputusan politik kerana kejayaan kerajaan sendiri dalam bidang pendidikan dan adanya (kemudahan) alat-alat komunikasi canggih seperti komputer, telefon bimbit, teknologi maklumat dan Internet tanpa bergantung pada media (arus) perdana semata-mata.”

Dalam sidang media selepas itu, Musa menjelaskan idea-idea generasi muda kini bukan bersifat negatif tetapi kebanyakannya positif.

“Apa yang (dianggap) negatif sebenarnya adalah positif untuk membina (negara),” katanya.

“Saya tidak percaya generasi muda menghancur-leburkan masyarakat kita, (tuduhan bahawa bahawa mereka) jahat pun (hanya) dari segi takrifan arus perdana politik (kerajaan) dalam negara.”

Musa turut melahirkan kebimbangan terhadap golongan yang mempunyai pangkat dan jawatan tetapi memisahkan diri daripada idea-idea baru.

Kongres peradaban itu selama tiga hari dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Seramai 12 tokoh pemikir tempatan akan membentangkan kertas kerja. Kongres itu bertujuan antaranya meletakkan persuratan Melayu dan agama sebagai teras peradaban Malaysia pada abad ke-21.

.....................................................
Petikan Malaysiakini.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 12 Jun 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com