Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Lambang ego seorang Presiden

PERHIMPUNAN Agung Umno sudah berakhir pada Sabtu, 23 Jun 2001 lalu dengan pelbagai kisah, manis dan pahit, termasuk cerita keangkuhan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir mengakui dia mempunyai ego. Ego yang maha tinggi dan maha dahsyat.

Setelah menghina orang-orang Melayu dalam Umno kerana disifatkan sebagai mudah lupa, Dr. Mahathir meminta mereka (ahli-ahli Umno) supaya menjadi seorang yang taat kepada perintah dan titahnya, perintah seorang maharaja, lagaknya.

Maka bertepuklah perwakilan berjumlah hampir 2,000 orang. Diminta bangun, mereka bangun. Diminta berikrar, mereka tidak berikrara tetapi yang nyata mereka bertepuk seperti Ahli-ahli MT bertepuk di atas pentas.

Di sebelah Dr. Mahathir, duduk Tan Sri Khalil Yaakob yang menunggu siasatan polis terhadap penyelewengan yang didakwa berlaku ketika dia menjadi Menteri Besar Pahang.

Ketika Persidangan Akhbar, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor duduk sebaris dengan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Umno, sedangkan sepatutnya, berdiri di sisi sahaja, atas sifatnya sebagai "setiausaha kerja" yang bukan bertaraf Ahli MT Umno.

Inilah (Tengku Adnan) gambaran kaduk naik junjung.

Perhimpunan Agung Umno dijadikan medan menyerang Pas dan keADILan habis-habisan. Memfitnah lagi bekas pemimpin Umno, walaupun sudah banyak berjasa kepada parti itu.

Mengapa tidak dijadikan perhimpunan ini sebagai medan untuk bermuhasabah diri masing-masing? Betullah orang Melayu memang mudah lupa, tetapi Melayu Umno sebenarnya yang mudah lupa. Mereka lupa parti mereka sakit. Mereka lupa mereka dilanda krisis kepimpinan. Mereka lupa parti mereka tidak mempunyai Bendahari, setelah Tun Daim Zainuddin melarikan diri dari tugas yang diserahkan kepadanya.

Para perwakilan semua terlupa, di depannya ada seorang Perdana Menteri yang mempunyai cukup banyak kuasa, banyak jawatan dan besar egonya. Dialah Menteri Kewangan dan dialah Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas. Dia juga adalah kepala kepada usaha menyerang Pas yang kononnya tidak berguna langsung kepada bangsa Melayu di negara ini.

Langkahnya memulakan serangan disambut para pemidato yang dungu dan bodoh. Medan yang mereka berada sepatutnya menegur kepimpinan, peluang yang datang sekali setahun.

Kesimpulan yang boleh dibuat sebaik sahaja selesai perhimpunan ini ialah menyaksikan seorang diktator mencari pengaruh yang semakin menghilang. Kerisauan melanda kerana pilihan raya kecil Likas akan sampai bila-bila masa. Pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak juga akan sampai bila-bila masa.

Seperti yang dulu-dulu, dia berjanji akan memberi peluang timbalannya menjadi penggantinya. Dan jika orang Melayu tidak mudah lupa, setiap kali dia mengumumkan timbalannya menjadi penggantinya, dia akan memulakan serangan secara halus menjatuhkan timbalannya dengan pelbagai cara.

Para perwakilan sebenarnya ditipu. Dr. Mahathir tidak mahu pembahas memukul mereka yang berada di atas pentas dan memesongkan tumpuan kepada Pas sebagai sasaran. Sepatutnya, di depan orang ramai, serangan kepada pembangkang dibuat dan bukan di depan perwakilan Umno yang memang tentunya penyokong sendiri.

Maka semua belalang dan lipas tertawa dengan sandiwara pemidato Umno yang diarahkan oleh Dr. Mahathir Mohamad.

- Ummu Natasya






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 24 Jun 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com