Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


SAMPAI BILA HENDAK BERPELUK-TUBUH ?

Nama Azman Marjohan tidaklah begitu “glamour” seperti Ezam Mohd. Noor atau Tian Chua. Mungkin tidak ramai ahli-ahli BA di luar Teluk Intan yang mengenali beliau sehingga 30 Mei yang baru lalu namun penangkapan Timbalan Ketua Pemuda KeAdilan Bahagian Teluk Intan tersebut pada pagi 29 Mei lepas merupakan satu mesej yang jelas bahawa Kerajaan Barisan Nasional akan tetap menghambat pemimpin-pemimpin BA walaupun apa pandangan rakyat ataupun para hakim. Jika tidak ISA, akta-akta lain seperti Akta Hasutan di dalam kes Saudara Azman akan digunakan. Jika tidak pemimpin nasional, pemimpin-pemimpin akar-umbi seperti pemimpin Keadilan itu akan turut menjadi sasaran. Tidak ada siapapun yang selamat !

Muktamar PAS yang baru lalu telah meluluskan usul yang mengecam ISA sebagai satu akta zalim yang mesti dihapuskan. Presiden PAS di dalam ucapan dasar beliau dan para perwakilan yang membahaskan ucapan dasar tersebut telah berkali-kali mengutuk akta yang kerap digunakan untuk menyelamatkan UMNO dan Barisan Nasional apabila gagal berhujjah secara rasional dengan lawan-lawan mereka.

Walau bagaimanapun kutukan dan kecaman di peringkat nasional seperti di Muktamar PAS itu tidak bermakna jika tidak disambut di peringkat akar-umbi. Tidak ada gunanya Presiden PAS atau perwakilan-perwakilan Muktamar yang baru lalu berucap berapi-api sekiranya di peringkat akar-umbi keadaannya begitu dingin seperti tidak ada apa-apa yang telah berlaku.

Berapa banyak kain rentang telah dinaikkan ? Berapa banyak ceramah umum atau majlis taklimat sama ada “halal” atau “haram” telah dianjurkan ? Berapa ribu risalah telah dicetak dan diedar ? Berapa banyak tandatangan telah dikumpul ?

Apakah yang ditunggu oleh kita ? Adakah kita menunggu sehingga Dato’ Fadzil Noor atau Dato’ Seri Wan Azizah datang ke rumah kita barulah hendak melakukan sesuatu ? Atau adakah kita hendak menunggu sehingga saudara-mara atau rakan-rakan kita ditangkap sebelum hendak bertindak ?

Selagi di peringkat akar-umbi masih membisu, selagi itulah UMNO dan Barisan Nasional akan terus menggila. Sama ada sedar atau tidak, selagi kita berpeluk-tubuh, selagi itulah kita meredhai kezaliman yang dilakukan oleh Dr. Mahathir dan kuncu-kuncunya.

Ingat, setiap warga BA mempunyai peranan masing-masing, jika pemimpin anda berpeluk-tubuh maka terpulanglah kepada akar-umbi untuk melakukan sesuatu !

Pemantau
2 Jun 2001






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 4 Jun 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com