Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


UiTM Mencemarkan Namanya Sendiri.

Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) telah bertindak zalim menyingkirkan pelajarnya, Rafzan Ramli atas tuduhan menyertai perhimpunan menentang penahanan ISA. Beliau telah dituduh mencemarkan nama baik universiti dengan menyertai sebuah perhimpunan menentang kezaliman ISA yang membenarkan hukuman tanpa bicara. Beliau dituduh mencemarkan nama UiTM melalui tindakan beliau itu. Hukuman itu dijatuhkan sebelum tamat tempoh dua minggu yang diberikan bagi beliau menyediakan pembelaan. Beliau tidak dibenarkan melihat bukti dan kenyataan polis terhadap dirinya. Rakan-rakannya, peguam malah ibu-bapanya cuba dihalang dari menghadiri penghukuman saudara Rafzan. Malah pembelaan yang adil telah dinafikan ke atasnya.

Bagi Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia tindakan beliau adalah selaras dengan nilai-nilai murni yang seharusnya ditanamkan oleh para pendidik iaitu memperjuangkan kebenaran serta menyatakan tentangan terhadap kezaliman. Beliau belum lagi dikenakan pertuduhan di mahkamah apatah lagi didapati bersalah. Sebaliknya tindakan UiTM yang tidak bertamaddun menghalang dari suatu perbicaraan yang adil dan seterusnya menjatuhkan hukuman yang zalim merupakan suatu tindakan mencemar nama UiTM baik di kaca mata masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

UiTM perlu sedar bahawa ia merupakan institusi yang didirikan di atas nama Amanah Rakyat. UiTM harus bertindak adil dalam segala bidang bagi melambangkan kehendak rakyat, bukan sekadar menjalankan kehendak politik pemerintah. Terdapat pandangan yang berbeza-beza mengenai kegunaan ISA dan tindakan saudara Rafzan menyuarakan penentangannya terhadap kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan adalah haknya yang terjamin di bawah Perlembagaan maka tindakan UiTM yang melulu inilah sebenar-benarnya mencemarkan nama institusi tersebut.

APPRM menyokong penuh tindakan saudara Rafzan memperjuangkan hak asasinya dan berharap mahkamah serta SUHAKAM akan dapat memastikan bahawa kezaliman UiTM tidak diteruskan. Hak saudara Rafzan untuk meneruskan pelajarannya mestilah dikembalikan.

Muhammad Ali Syed Hussein
Biro Pelajar
Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 23 Jun 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com