Pemimpin masyarakat peringkat bawahan seperti Ketua
Kampung, Ketua Anak Negeri dan JKKK di kampung-kampung
di Sabah menjadi cemas terutama mereka yang terlibat
secara langsung dengan kegiatan melindungi, membantu
warga asing dan PTI (pendatang tanpa izin) bagi
mendapatkan dokumen warganegara seperti IC, tapak
tanah membina rumah, menyokong permohonan warga asing
yang ingin mendapatkan dokumen sah, menyembunyikan PTI
dan sebagainya.
Pengarah PPKP Sabah/Labuan, Datuk Abdul Talib Harun
menegaskan, sikap seumpama itu bukan sahaja
menyeleweng daripada tanggungjawab sebagai pemimpin
masyarakat, malah menjejaskan usaha kerajaan
persekutuan dalam menangani masalah kehadiran
pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini. (Petikan
dari Utusan Borneo, 27.6.2001, muka surat 3).
Manakala Sabah Times 23.6.2001 dalam muka surat 1,
tajuk besar "Pecat Mereka". Ini adalah ekoran
terbongkarnya cerita ada ketua kampung di Kudat, Sabah
yang terlibat membantu rakyat asing atau warga asing
mendapatkan kad pengenalan.
Ekoran kejadian ini, tiga ketua kampung telah
ditangkap di Banggi, Kudat. Kerana membantu rakyat
asing untuk memohon kad pengenalan. Ketua Polis Daerah
Kudat, DSP Abdul Majid Mahmud berkata, mereka juga
menjumpai borang pendaftaran, yang disahkan oleh
ketua-ketua kampung ini dan kad pengenalan kepunyaan
orang lain. (Petikan dari Sabah Times, 23.6.2001, m.s.
1).
Kita mempersoalkan kenapa pemimpin masyarakat dibawah
saja dikenakan tindakan? Kenapa tidak mereka yang
lebih atas seperti pemimpin politik,
pegawai/kakitangan kerajaan yang terlibat secara
langsung serta agen asing diambil tindakan lebih tegas
dan keras. Sebab setengah pemimpin masyarakat
dikampung-kampung ini ada yang tidak tahu langsung
peraturan dan juga undang-undang negara terutama
berkaitan kerakyatan warga asing yang mahu menetap di
kampung-kampung. Orang kampung mudah saja dikaburi
mata mereka, apa lagi warga asing yang datang berjumpa
mereka itu yang lebih berpengetahuan dan tahu
selok-belok, ditambah pula dengan habuan RM kaburlah
mata ketua kampung itu.
Jadi dalam soal ini, pemimpin politik, pegawai dan
kakitangan kerajaan hendaklah turun ke padang untuk
menjelaskan dan menyedarkan pemimpin masyarakat di
kampung-kampung tentang peraturan dan undang-undang
yang berkaitan langsung denga bidang tugas mereka.
Memang tandatangan atau sokongan ketua kampung, ketua
anak negeri dan juga pengerusi JKKK cukup mahal, apa
lagi bila wujudnya jaringan politik dengan YB. Inilah
suasananya sekarang. Selalunya pegawai/kakitangan
kerajaan tidak banyak soal apabila ada tandatangan KK,
Pengerusi JKKK serta ditambah lagi dengan sokongan YB
atau orang politik, sebahagian pegawai/kakitangan
kerajaan menjadi kabur mata, hilang pertimbangan,
undang-undang yang ada ditangan menjadi hilang, kerana
pengaruh politik, lebih-lebih lagi bila ada habuan RM
dan sebagainya.
Apabila Ketua Kampung (KK), Ketua Anak Negeri (KAN)
dan Pengerusi JKKK yang terbukti salah, adalah wajar
dikenakan tindakan. Maka pemimpin politik dan
pegawai/kakitangan kerajaan yang terlibat membantu,
menyokong dan apa juga kerja melindungi warga
asing/PTI di Sabah sama ada untuk mendapatkan IC,
tapak tanah, bekerja, mengajar dan lain-lain tanpa
mengikut peraturan da undang-undang negara ini, adalah
wajar diambil tindakan yang sama sepertimana ketua
kampung dan pengerusi JKKK itu.
Sebab amalan mereka itu adalah satu jenayah,
pengkhianatan kepada rakyat, kerajaan dan negara.
Lebih dahsyat satu pencabulan kepada kedaulatan rakyat
dan undang-undang negara ini.
Sebenarnya, isu ini tidaklah begitu sukar untuk
diatasi sekiranya semua pihak menjunjung undang-undang
dan peraturan negara. Ketepikan kepentingan diri, wang
ringgit, kebendaan serta tanamkan semangat jati diri
bangsa ke dalam diri kita semua. Kemudian ikutilah
segala peraturan dan sistem pentadbiran yang sedia
ada. Selain itu, pemimpin masyarakat hendaklah
sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan sebagai satu
kekuatan diri. Kerana tanpa ilmu pengetahuan dan
pengalaman kita tidak akan mampu untuk mengurus tadbir
masyarakat dengan lebih baik dan teratur.
Akhirnya, kita mengharapkan episod IC palsu, pengundi
hantu dan warga asing/PTI mudah mendapat peluang untuk
menetap di Sabah tidak akan berulang lagi. Di sinilah
pentingnya kerjasama dari puncak hingga ke akar umbi
dilaksanakan secara lebih tersusun bagi membendung
kemasukan warga asing, membendung talibarut atau agen
yang sudah tahu lubuk mudah mereka memperkenalkan
kawan, keluarga dan rakan mendapat IC, peluang
berniaga, peluang menetap, mengajar dan sebagainya
khususnya di Sabah.
Sekian, pemimpin politik Sabah, pegawai/kakitangan
kerajaan, polis, Imigresen, pemimpin masyarakat di
kampung-kampung dan lain-lain, marilah kita sedari
dari sekarang akan bahayanya amalan melindungi,
membantu dan menyokong warga asing/PTI mendapatkan
apa-apa jua seperti IC, tempat tinggal dan sebagainya,
kepada keselamatan, keharmonian dan kedaulatan rakyat,
negeri dan negara ini. Daulatkanlah
undang-undang/perlembagaan negara, kuatkanlah jati
diri bangsa ini dan cintailah Malaysia.
Ibn Sabah,
28.6.2001M.