Kenyataan YB Senator Rosli Mat Hassan dalam Berita Harian (Rabu, 20 Jun 2001, m/s 17) yang mendesak YAB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Terengganu dan YB Dato’ Senara Muda Mazlan Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya menghentikan dakwaan bahawa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah sebuah pertubuhan haram menggambarkan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan oleh orang yang buta perlembagaan.
Kenyataan Rosli, yang juga Ketua UMNO bahagian Dungun bahawa beliau bimbang sekiranya PAS mengharamkan JKKK bererti Kerajaan Pusat juga haram, sekadar menampakkan kecetekkan pengetahuan yang ada pada beliau, sekaligus menzahirkan agenda murahan beliau untuk meraih publisiti dengan cara berkokok bagi pihak UMNO Terengganu yang kehabisan modal.
Paling kurang, kenyataan YAB Tuan Guru Menteri Besar dan YB Dato’ Setiausaha Kerajaan adalah berdasarkan undang-undang sedia ada yang diterima pakai oleh semua pihak, bukannya percakapan semborono yang tidak berpaksi kepada sebarang fakta yang dipengaruhi oleh sentimen politik murahan tanpa bersandar kepada sebarang kebenaran.
Sebagai seorang pimpinan UMNO, Rosli sepatutnya mengetahui dasar-dasar yang terkandung dalam Panduan Perkhidmatan Ketua-ketua Kampung dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Negeri Terengganu, yang dikeluarkan sendiri oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sewaktu memerintah Terengganu dahulu. Pekeliling SUK.TR.100/73/48-(27) yang yang berkuatkuasa 1 Julai 1994 ini sewajarnya diteliti terlebih dahulu oleh Rosli sebelum membuat kenyataan murahan tersebut.
Dalam pekeliling yang diterima pakai oleh UMNO sebelum ini menyebut;
1. Dalam Perkara A.(KETUA KAMPUNG), No 2.(Cara Perlantikan), fasa a) mengatakan; “Ketua Kampung/Pengerusi JKKK dilantik oleh YAB Menteri Besar.” Fasa d) mengatakan; “Tempoh perkhidmatan boleh dilanjutkan dengan perakuan daripada Pegawai daerah.” Manakala dalam perkara yang sama, No 7.(Penamatan Perkhidmatan) mengatakan; “Yang Amat Berhormat Menteri Besar berkuasa dalam keadaan dan ketika mana juapun menamatkan perkhidmatan Ketua Kampung/Pengerusi JKKK jika difikirkan ianya tidak layak memegang jawatannya. Ini adalah dengan perakuan daripada pegawai daerah.”
2. Dalam Perkara B.(AHLI-AHLI JAWATANKUASA KEMAJUAN DAN KESELAMATAN KAMPUNG), No 1.(Syarat-syarat Perlantikan), fasa a) dan juga No 2.(Penamatan Perkhidmatan) menggunapakai undang-undang yang sama sepertimana Ketua Kampung/pengerusi JKKK di atas.
Berdasarkan Pekeliling dan Buku Panduan ini, Rosli sepatutnya menyedari beberapa perkara;
1. Kuasa melantik Ketua kampung/Pengerusi JKKK dan Ahli JKKK terletak dibawah bidang kuasa Kerajaan Tempatan (Kerajaan Negeri) yang dipertanggungjawab terus kepada YAB Menteri Besar atau mana-mana exco yang dilantik.
2. Kerajaan Negeri yang diperintah oleh PAS tidak pernah melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua kampung/Pengerusi JKKK yang sedia sewaktu Kerajaan BN serta tidak pernah melantik Pengerusi JKKK atau ahli JKKK yang baru. Sebaliknya Kerajaan Negeri melalui bidang kuasa yang ada padanya telah melantik Pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) dan Ahli JSR untuk membantu Kerajaan Tempatan melicin dan melancar pentadbirannya.
Bersandarkan kepada fakta-fakta ini, maka sewajarnya Rosli mengetahui bahawa JKKK yang ditubuhkan oleh UMNO dan Kerajaan Persekutuan di Negeri Terengganu adalah tidak mengikut lunas undang-undang yang diterima pakai dalam sistem kerajaan berpersekutuan di negara kita. Maka dengan itu JKK yang ditubuhkan ini adalah sebuah pertubuhan yang tidak bertepatan dengan perlembagaan negara atau dengan kata lain PERTUBUHAN HARAM. Oleh itu sewajarnya beliau berhati-hati dan bercermat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, terutamanya perkara yang beliau sendiri tidak maklumi.
Mohd Yusri Ibrahim
Pejabat Menteri Besar Terengganu.
...............................................
Petikan Badan Perhubungan Pas Terengganu
http://www.parti-pas.org/terengganu/200601senatorrosli.htm