Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


PENDIDIKAN DALAM KEHIDUPAN ISLAM

Kebanyakan Institut Pengajian tinggi Awam(IPTA) sesi 2001/02 akan dimulakan pada penghujung bulan Mei ini. Masalah yang terbaru dalam dunia pendidikan kita adalah berkenaan program francais yang dibuat oleh IPTA dengan kolej swasta atau yang dikenali sebagai Institut Pengajian Tinggi Swasta(IPTS). Beberapa pihak misalnya Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) dan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya(PMUM) mempertikaikan dan membantah tindakan mempawahkan (francais) pelajar Pusat Asassi Sains UM kepada IPTS. Ia dianggap penganiayaan ke atas pelajar. Ini adalah kerana jumlah pelajar yang ditempatkan di kampus utama IPTA tidak ramai. Kebanyakannya diletakkan di kolej swasta yang kurang diyakini keupayaannya dan tinggi yurannya. Ada keraguan terhadap keupayaan kolej swasta untuk menyediakan tempat pembelajaran, makmal sains yang lengkap, perpustakaan, pengajar terlatih dan berpengalaman serta penginapan yang sesuai dan selesa. Selain daripada itu, yuran yang dikenakan juga tinggi sehingga ada yang menyatakan ingin keluar daripada universiti dan tidak dapat menyahut tawaran kerana tidak mampu untuk menanggung yuran pengajian yang semakin meningkat.

Pihak yang bertanggungjawab memberikan alasan bahawa program francais ini dilakukan bertujuan menambah bilangan tempat pelajar, lebih-lebih lagi penghantaran pelajar ke luar negara dikurangkan. Ini dikatakan berpunca dari kemelesetan ekonomi yang sedang melanda kita sekarang. Walhal kemelesetan ekonomi juga adalah kesan-kesan (symptoms) dari satu masalah yang mendasar iaitu perlaksanaan sistem kapitalis kufr yang jika dilaksanakan sudah pasti akan menunjukkan kebusukkannya.

Pandangan Islam terhadap Pendidikan Berbayar

Sistem pendidikan yang ada menyebabkan yuran terlalu tinggi dan boleh dikatakan 'ajaib'. Ada yuran pengajian, yuran perpustakaan, yuran kesihatan, yuran sukan, bayaran nota, yuran peperiksaan dan berbagai lagi. Masyarakat yang berpendapatan rendah (akibat dihisap habis-habisan oleh sistem kapitalis) terpaksa menyerah diri dan menerima bahawa mereka tidak mampu memberikan pendidikan sempurna kepada anak mereka kerana tingginya perbelanjaan pendidikan pada hari ini. Memang sudah menjadi kelaziman sebuah negara kapitalis akan wujud dua golongan iaitu antara yang berkemampuan mendapatkan pendidikan dan ada yang akan tewas serta tidak mampu mendapatkan pendidikan akibat dari tingginya kos hidup, golongan miskin gagal untuk bersaing di pasaran. Maka, akan terwujudnya golongan yang mundur pendidikannya akibat dari kurikulm pendidikan moden yang dilaksanakan di sekolah-sekolah, institut-institut pengajian tinggi, dan lembaga-lembaga pendidikan yang ada di seluruh negeri-negeri Islam.

Kurikulum pendidikan yang dilaksanakan di negeri-negeri Islam sekarang ini didasari oleh konsep-konsep pemikiran kapitalisme, yang memisahkan agama dari kehidupan. Lebih parah lagi, ia telah menjauhkan umat Islam dari tsaqafahnya dan membuang ruh/daya cipta dari jiwa umat Islam, sehingga keadaannya sama seperti di zaman Jahiliyah. Keadaan seperti ini memerlukan suatu pemikiran dan penyelasaian secara menyeluruh dan sungguh-sungguh dari Khilafah Islamiyah pada ketika ia muncul kembali di dunia. Sejarah telah membuktikan bahawa Islam sejak awalnya telah berusaha membuang taraf yang hina (kejahilan) ini dari ummat Islam yang mulia ini, dengan cara memastikan setiap Muslim menuntut ilmu dan belajar. Rasulullah telah menerapkan suatu sistem yang terbaik dalam menangani hal ini. Beliau mendorong ummat Islam supaya menuntut ilmu dan membenteras buta huruf pada permulaan berdirinya Daulah Islam di Madinah, iaitu setiap tawanan Perang Badar dimestikan mengajar sepuluh orang kaum Muslimin sebagai tebusannya.

Oleh kerana itu, dalam Khilafah Islamiyyah tidak akan muncul kemunduran pendidikan (kebodohan) di kalangan umatnya, sebab Allah SWT mewajibkan kepada setiap Muslim untuk menuntut ilmu dan mencari bekalan untuk dirinya dengan berbagai jenis ilmu pengetahuan untuk keperluan hidupnya serta keperluan hidup ummatnya. Rasulullah SAW bersabda:

"Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim" dalam hadis lain dikatakan:

"Jadilah kamu sebagai orang yang alim atau orang yang menuntut ilmu atau sebagai orang yang mendengarkan (ilmu) atau yang cinta (terhadap ilmu) akan tetapi janganlah kalian menjadi orang yang kelima (orang yang bodoh) nanti kalian akan binasa."

Atas dasar ini, negara wajib menyempurnakan bahagian pendidikannya melalui sistem pendidikan yang percuma untuk semua rakyatnya. Ilmu pengetahuan termasuk keperluan asas manusia. Oleh itu ia merupakan kewajiban negara. Sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya termasuk tanda-tanda datrangnya hari Kiamat adalah hilangnya ilmu dan meluasnya kebodohan."

Hadits ini menunjukkan bahawa dengan hilangnya ilmu pengetahuan, umur dunia semakin mendekati akhirnya. Ini merupakan isyarat bahawa ilmu itu suatu yang penting, kerana ilmu adalah keperluan asas manusia. Ilmu yang dimaksudkan dalam hadits ini adalah ilmu Islam. Ilmu Islam mempunyai kedududkan yang penting untuk memahami agama. Begitu juga ilmu pengetahuan yang lain kerana ada persamaan iaitu diperlukan dalam kehidupan.

Dalil yang menunjukkan bahawa pendidikan adalah percuma menjadi tanggungjawab Khilafah Islamiyyah adalah berdasarkan Ijma' Sahabat yang memberikan gaji kepada para pengajar dari Baitul Maal dengan jumlah yang tertentu. Diriwayatkan dari Ibnu Abi Syaibah, dari Sadaqoh ad-Dimasyqi, dari al-Wadl-iah bin Atha; bahawasanya ada tiga orang guru di Madinah yang mengajar anak-anak, dan Khalifah Umar bin al-Khathab memberi gaji lima belas dinar (~63.75g emas) setiap bulan. Dan Rasulullah SAW telah menentukan hukum tebusan tawanan Perang Badar adalah berbentuk kemestian mengajarkan sepuluh orang Muslim. Ini membuktikan bahawa masalah pendidikan adalah tanggungjawab negara, kerana ia menyangkut perkara yang menjadi hajat hidup rakyat yang utama (vital), berbentuk menangani masalah kebodohan dan pembenterasan buta huruf. Adapun dalil syara' yang menjadi dasar bahawa negara mempunyai kewajiban memelihara, mengatur dan melindungi urusan rakyat, adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

Seorang imam(pemimpin) adalah bagaikan pengembala, dan ia akan dipertanggungjawabkan atas gembalaannya." (H.R. Ahmad, Syaikhan, Tirmidzi, Abu Dawud, dari Ibnu Umar).

Pendidikan adalah keperluan asas bagi umat. Pendidikan bukan hanya sebagai keperluan sampingan, kerana tanpa pendidikan martabat manusia tidak akan mulia. Dengan demikian negara wajib memenuhi keperluan asas rakyatnya melalui pendidikan ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh setiap individu dalam setiap bidang kehidupanSelagi perkara itu menjadi keperluan asas rakyatnya, maka negara wajib membuka dan membangunkan sekolah rendah, sekolah menengah ataupun pengajian tinggi dalam jumlah yang mencukupi sesuai dengan jumlah rakyat yang akan belajar, tidak kira kanak-kanak ataupun orang dewasa yang buta huruf. Kesemuanya bertujuan untuk meningkatkan martabat ummat serta mewujudkan kemajuan madani dan moral.

Dalam pengajian peringkat tinggi, harus dibezakan antara pengetahuan dasar (daruriyyat) dan pengetahuan pelengkap(kamaliyyat). Pengetahuan dasar mesti diadakan dan diajarkan di peringkat tinggi sama sepereti di peringkat rendah dan menengah. Pengetahuan ini amat bermanfaat dan dapat menghindarkan manusia dari kesulitan dan kepayahan. Pengetahuan dasar itu termasuklah ilmu kedoktoran, kejuruteraan(mekanikal, elektrik, awam), astronomi, sosial politik, teknologi dan sejenisnya yang mutlak diperlukan dalam kehidupan. Oleh kerana itu Islam mengharuskan pembelajaran ilmu-ilmu seperti ini, yang mempunyai tujuan yang suci murni. Manakala pengetahuan yang bersifat pelengkap, boleh diadakan apabila negara mempunyai peralatan dan kemampuan untuk melakukannya.

Jelaslah bahawa Khilafah Islamiyyah membuka pintu pendidikan seluas-luasnya bagi seluruh rakyat tanpa perlu dibayar se'sen' pun, menurut kemampuan dan kelengkapan yang dimiliki negara ketika itu. Mengajarkan ilmu pengetahuan yang menjadi keperluan dalam kehidupan manusia termasuk masalah mashalih asasiyah(keperluan asas). Wajib hukumnya bagi negara menbina, membangun dan melengkapkan segala sarana dan prasarana untuk melicinkan pengajaran ilmu-ilmu tersebut di setiap peringkat pendidikan.

Ciri Pendidikan Kapitalis

Apa yang dibincangkan tadi adalah salah satu ciri-ciri yang dapat terlihat dalam sistem pendidikan modern sekarang ini dan apakah pandangan Islam terhadapnya serta hukum tanggugjawab negara dalam memberikan pendidikan kapada rakyatnya. Selain daripada itu, ada lagi ciri-ciri yang khas yang ada pada sistem pendidikan kapitalis antaranya adalah seperti sukarnya mendapatkan tawaran pendidikan seperti yang telah berlaku baru-baru ini dan heboh diperkatakan semasa pengambilan pelajar, adanya pembatasan orang yang tertentu dengan keadaan yang tertentu untuk mendapatkan pendidikan, kurikulum yang sentiasa berubah-ubah, pemisahan antara ilmu agama dengan ilmu-ilmu umum(keduniaan) sehingga tertumpu kepada materialistik. Yang hanya berfikir keuntungan semata-mata, akhirnya menjadi 'manusia binatang'. Yang sanggup menindas dan memperguna orang-orang yang tak berdaya dan lemah serta rendah taraf pendidikannya untuk kepentingan dan keuntungan peribadi menggunakan kebijaksanaannya yang layak digelar 'Penjenayah Intelektual'.

Kurikulum pendidikan modern dibina dengan garis panduan Barat

Barat telah awal-awal lagi sejak penjajahan telah menumpukan kepada bidang pendidkan sebagai persediaan sebelum memberikan kemerdekaan kepada negeri-negeri Islam ini supaya dapat mengukuhkan kedudukan tetap sebagai penjajahan selama-lamanya tetapi dalam bentuk yang baru. Pihak Barat telah menetapkan program pendidikan dan konsep pengajaran di atas dua landasan , iaitu:

i) Pemisahan Agama dari Kehidupan

ii) Menjadikan Keperibadian Barat sebagai ikutan.

Kurikulum pendidikan modern yang jalankan di negeri-negeri Islam dibina dengan kaedah "Trial and error" dan landasan pemikiran Barat yang sekular. Cara membangun sistem dibuat dengan mengikut keaddaan. Apabila timbul masalah, maka barulah difikirkan bagaimana untuk menyelesaikannya tanpa satu garis panduan yang tetap (mengikut akal manusia). Yang menjadi mangsa adalah pelajar muslim, menjadi bahan ujikaji suatu sistem yang tidak dapat dipastikan kebenarannya dan keberkesannannya dalam mernjamin kesejahteraan ummat. Memamng pendidikan modern boleh memberikan pengetahuan dan ilmu tetapi gagal dalam mempersiapkan kader-kader yang diperlukan ummat. Para pelajar menjadi orang yang bersandar dan merujuk kepada Barat dalam semua aspek kehidupan. Jadi kita tidak heran jika ada orang terpelajar negeri-negeri Islam yang mengatur sistem pendidikan atas dasar sekular dan berkelakuan seperti mereka(Barat). Dan ada yang menjadi penentang untuk mewujudkan Daulah Islamiyyah atau perjuangan menerapkan syari'at Islam dalam politik negara. Ini semua kerana ketidakfahaman terhadap tujuan pendidikan dan ciri manusia yang akan dibentuk dari pendidikan.

Strategi Pendidikan Islam

Kurikulum adalah dasar pendidikan yang menjadi landasan dalam penyampaian ilmu pengetahuan, manakala tujuan kurikulum pendidikan adalah untuk membekalkan akal dengan pemikiran-pemikiran yang sihat. Oleh kerana pengetahuan dapat membentuk pemikiran dan jiwa seseorang Muslim, maka sudah tentu pengetahuan dasar (tsaqafah) wajib berdasarkan aqidah Islam. Tujuan pendidikan Islam adalah untuk membentuk syakhsiyyah(keperibadian) Islam dan memberi bekalan kepadanya semua jenis ilmu dan pengetahuan yang bersangkutan dengan kehidupan. Oleh kerana itu sistem dan cara(metode) pendidikan yang dapat membawa seseorang kepada tujuan ini, boleh digunakan asalkan sistem pendidikan itu mampu mewujudkan syakhsiyyah Islam dan memberinya modal pengetahuan yang secukupnya, maka sistem itu dapat diambil.

Berikut adalah garis panduan untuk sistem yang dapat digunakan untuk membawa kepada merealisasikan tujuan tersebut :

1. Kurikulum pendidikan berlandaskan aqidah Islamiyyah. Mata pelajaran serta metodologi penyampaian pelajaran seluruhnya disusun tanpa adanya penyimpangan dalam pendidikan sedikitpun dari asas tersebut.

2. Strategi pendidikan adalah membentuk cara berfikir dan cara berjiwa Islami. Seluruh matapelajaran disusun berdasarkan strategi ini.

3. Tujuan pendidikan adalah membentuk keperibadian Islam serta membekalkan kepadanya berbagai ilmu dan pengetahuan yang berhubungan dengan kehidupan. Cara penyampaian pelajaran dirancang untuk merealisasikan pencapaian tujuan tersebut. Setiap metodologi yang tidak berorientasikan kepada tujuan tersebut dilarang.

4. Penyampaian pelajaran untuk ilmu-ilmu gunaan dan yang sejenisnya seperti matematik mesti dipisahkan dengan ilmu-ilmu kebudayaan. Ilmu-ilmu gunaan diajarkan menurut keperluan dan tidak terikat denagn peringkat pendidikan tertentu. Ilmu-ilmu kebudayaan diberikan mulai dari peringkat dasar sehingga ke peringkat aliyah sesuai dengan rencana pendidikan yang tidak bertentangan denagn konsep dan hukum Islam. Di peringkat pengajian tinggi ilmu kebudayaaan boleh diajarkan secara kukuh seperti ilmu pengetahuan yang lainnya, dengan syarat tidak akan mengakibatkan adanya penyimpangan dari segi strategi dan tujuan pendidikan.

5. Kebudayaan Islam mesti diajarkan di semua peringkat pendidikan. Untuk peringkat pengajian tinggi hendaklah diadakan berbagai jurusan dalam berbagai cabang ilmu Islam, disamping jurusan lainnya seperti perubatan, teknikal, kejuruteraan, komputer, geografi dan sebagainya.

6. Ilmu kesenian dapat dikategorikan sebagai ilmu pengetahuan , seperti perdagangan, ekonomi dan pertanian yang boleh dipelajari tanpa terikat batasan atau syarat tertentu; dan dapat boleh juga dikatrgorikan sebagai suatu kebudayaan apabila telah dipengaruhi oleh pandangan hidup tertentu seperti seni lukis dan ukiran yang tidak boleh dipelajari apabila bertentangan dengan pandangan Islam.

7. Program pendidikan apapun tidak dibolehkan selain program pendidikan yang telah ditetapkan oleh negara.Tidak dilarang untuk mendirikan sekolah swasta selama mengikuti progran pendidikan negara dan berdasarkan kurikulum pendidikkan yang ditatapkan serta mengikuti strategidan tujuan pendidkan dengan syarat bukan sekolah asing( dari negara lain).

8. Mengajarkan perkara yang diperlukan manusia dalam kehidupannya merupakan kewajiban bagi setiap individu, samada lelai ataupun wanita. Program wajib belajar dilaksanakan ke atas seluruh rakyat pada peringkat rendah dan menengah. Negara wajib menjamin pendidikan bagi seluruh warga dengan percuma denagn kemudahan sebaik mungkin.

9. Negara menyediakan perpustakaan, makmal dan peralatan-peralatan ilmu pengetahuan yang lain, disamping institut,, universiti untuk memberikan peluang bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran dalam berbagai cabang pengetahuan seperti fiqh, ushul fiqh, hadits dan tafsir termasuk di bidang teologi dan ideologi, perubatan, teknikal dan sains, penemuan dan rekaan terbaru sehingga terwujud di dalam ummat sekelompok besar mujtahidin dan ahli sains.

10. Tidak boleh memberikan hak istimewa dalm mengarang buku-buku pendidikan untuk semua peringkat. Tidak dibolehkan seseorang itu samada pengarang ataupun bukan mempunyai hak cipta dan terbit(copy right), apabila sebuah buku telah dicetak dan diterbitkan. Jika masih berbentuk pemikiran yang dimiliki seseorang dan belum dicetak ataupun diedarkan, maka seseorang boleh mengambil/mendapatkan pampasan kerana memberikan khidmat pada masyarakat seperti mendapatkan gaji dalam mengajar.

Itulah sistem pendidikan yang pernah dibuat dan seharusnya dilaksanakan untuk ummat. Sistem pendidikan Islam ini, apabila dilaksanakan akan membawa kepada kegemilangan Islam di bidang pemerintahan, sosial dan teknologi. Ini dibuktikan dalam sejarah dimana ramai tokoh-tokoh Islam yang menjumpai penemuan baru dan juga ramainya mujtahid yang mampu menyelasaikan semua permasalahan hidup yang dihasilkan dari didikan di zaman kegemilangan pemerintahan Islam Khilafah, sedangkan pada masa yang sama bangsa Barat masih dibelengu zaman kegelapan dan terbelakang.

Allah SWT telah menentukan sistem pemerintahan dalam Islam. Syariat menuntut adanya wadah yang berupa daulah. Daulah ini adalah Khilafah yang merupakan sisten pemerintahan yang memiliki satu pemimpin sahaja di seluruh dunia, iaitu seorang Khalifah. Ia memimpin ummat Islam di seluruh muka bumi ini tanpa batasan sempadan, bangsa, bahasa, dan suku kaum. Pemerintahannya ditaati oleh kaum muslimin seluruh dunia. Tugasnya adalah menjalankan syariat Islam, memelihara kesejahteraan rakyatnya termasuk di dalamnya melayan keperluan rakyatnya terhadap pendidikan sehingga peringkat tertinggi. Tanpa dibezakan tua ataupun muda, rakyat diberi peluang mendapatkan pendidikan setingi-tingginya tanpa bayaran sedikit pun kerana pembiayaan yuran dan kemudahan ditanggung oleh negara. Pengajar diberi gaji yang cukup besar. Kemudahan makmal dan bengkel pengkajian sains dan teknologi. Perpustakaan di setiap tempat didirikan. Asrama bagi pelajar disediakan sehingga semua keperluannya terpenuh dan selesa. Kemudahan apa sahaja yang diperlukan oleh pelajar akan disediakan oleh negara Khilafah.

Itulah sebahagian dari rahsia kejayaan Daulah khilafah Islamiyyah selama berabad-abad. Pendidikan yang sangat ditekankan oleh pemerintahan Khilafah terhadap rakyatnya bukan hanya sekadar melaung-laungkan slogan tetapi dimudahkan dengan sistem pendidikan dan cukup kelengkapannya. Dalam keadaan seperti ini, rakyat akan beramai-ramai pergi belajar mencari ilmu setinggi-tingginya tanpa adanya keluhan tidak boleh mendapatkan pendidikan yang sempurna kerana tidak mampu mnembayar perbelanjaan yang tinggi.

Dr Abu Abbas Hamzah
Malaysia
18.03.2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.bizaddress.net/ dan Email : dppkd@hotmail.com