Oleh : Aman Rais
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad merepek lagi. Kali ini ia membuatkan seluruh negara ketawa. Menyedari usia lanjut Mahathir, lawak terbaru itu tidak menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat yang rasional dan berfikiran terbuka.
Beliau merumuskan, orang Cina dan India enggan menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana takut anak mereka bertukar menjadi orang Islam dan Melayu.
Kalau kenyataan seperti itu datang dari mulut George Soros atau Lee Kuan Yew atau minda wartawan asing, ia tidak mengejutkan.
Selama ini tidak pernah sesiapa menuduh sekolah kebangsaan menjalankan kegiatan menukar agama atau bangsa pelajar bukan Islam dan bukan Melayu. Orang Cina, India, Sikh atau keturunan lain tidak mempersoalkan kredibiliti sekolah-sekolah kebangsaan walau ia terletak di Kelantan atau Terengganu.
Kalau sekolah-sekolah agama rakyat atau sekolah pondok dituduh menjalankan kegiatan seperti itu, mungkin ia boleh diterima akal. Tetapi tuduhan Dr Mahathir itu dibuat terhadap sekolah kebangsaan - subjek agama Islam hanya diajar seminggu sekali atau beberapa jam sahaja.
Tidak pernah timbul kebimbangan rakyat negara ini terhadap gejala itu, bagaimana Dr Mahathir boleh membuat kesimpulannya? Siapakah yang memberikan maklum balas itu kepadanya? Apakah ukuran yang digunakannya?
Kita pernah mendengar kenyataan seperti ini 30 atau 40 tahun lalu: “Kalau orang Melayu belajar di sekolah orang putih (maksudnya aliran Inggeris), nanti mereka menjadi seorang Kristian.” Orang Melayu-Islam waktu itu sangat bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah aliran Inggeris akibat tanggapan sempit itu.
Tetapi semua itu sudah berlalu. Malaysia kini dalam era teknologi maklumat. Kita sudah memasuki alaf baru. Malangnya masih ada pemimpin negara berfikiran kolot yang menganggap ‘masuk sekolah aliran Melayu nanti seseorang bertukar menjadi Islam.’
Kalau benar tuduhan yang dibuat oleh Dr Mahathir itu, suatu ketika dulu pernah menjawat Menteri Pelajaran, hal ini satu perkara yang sangat malang. Usaha wajar dilakukan untuk mengikis tanggapan itu serta-merta.
Omongan kosong
Kerajaan Barisan Nasional perlulah bertindak serius untuk menghapuskan kegiatan yang didakwa oleh Perdana Menteri itu kerana kita tidak mahu pihak-pihak tertentu menyalahgunakan prasarana sekolah untuk kepentingan agama dan politik peribadi.
Kita mahu semua jenis sekolah, sama ada kebangsaan atau jenis kebangsaan, menjadi tempat selesa untuk semua kaum menimba ilmu. Menteri Pendidikan dan timbalannya perlulah bertindak segera untuk mengesahkan tuduhan Dr Mahathir itu.
Bagaimanapun amat malang kalau kata-kata itu hanya omongan kosong. Jika kenyataan itu tidak mempunyai asas kukuh, kesimpulannya itu boleh dianggap sebagai satu fitnah.
Ia juga boleh dianggap satu kenyataan yang memperlekahkan kebijaksanaan orang bukan Islam dan bukan Melayu.
Penduduk bukan Islam dan bukan Melayu di negara ini sedar apa yang berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan. Anak-anak mereka tidak pernah dipaksa mengikuti kelas agama. Sebaliknya anak mereka diajar pendidikan moral.
Pelajar bukan Melayu tidak pernah diajar supaya ‘menjadi’ Melayu. Mereka bebas mengamalkan bahasa, budaya dan pemikiran kaum masing-masing.
Inilah realitinya tetapi Dr Mahathir cuba membawa cerita baru. Dongeng baru ini mungkin satu lagi momokan untuk menakutkan orang bukan Melayu terhadap Islam.
Amat menyedihkan. Dalam keadaan orang Melayu bercakap mengenai perpaduan dan semua kaum ingin memupuk perpaduan nasional, ada lagi manusia yang mengeluarkan kenyataan yang berunsur perkauman dan keagamaan yang sensitif.
Nampaknya, isu perpaduan kaum akan terus menjadi alat politik bagi golongan terdesak yang sudah kehabisan modal.
...............................................
Petikan Malaysiakini.com