Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


PAS-Umno baik anjur gotong-royong Melayu!

Oleh : Aman Rais

Perjumpaan perpaduan Melayu - benarkah ia mempunyai agenda Melayu atau sekadar untuk kepentingan pemimpin tertentu sahaja? Kalau benar untuk manfaat orang Melayu, mengapa desakan untuk merealisasikannya hanya berkobar-kobar di peringkat para pemimpin sahaja sedangkan orang Melayu di peringkat akar umbi memandangnya dengan sinis?

Malah mengapa Umno sahaja yang terhegeh-hegeh mahu menjayakannya sedangkan PAS pula bermain tarik tali sama ada untuk bertemu dan bermuzakarah.

Adakah orang Melayu akan mendapat faedah daripada perjumpaan politik yang bertopengkan perpaduan Melayu ini atau sekadar mereka bakal dijadikan buah catur untuk kepentingan politik peribadi? Inilah yang dibicarakan oleh orang Melayu - mereka tidak mahu isu Melayu dijadikan alat pihak tertentu. Mereka bimbang perpaduan yang dicari tetapi perpecahan yang pula yang mendatang.

Orang Melayu juga mempertikaikan tema perjumpaan ini kerana realitinya orang Melayu tidak berpecah. Apa yang berlaku hanyalah perbezaan ideologi dan pendapat; bukannya satu perkara baru. Selera politik orang Melayu sedang berubah - itu sahaja yang sedang berlaku.

Dalam keghairahan untuk mengeksploitasi isu perpaduan Melayu, PAS yang merupakan parti Islam terbesar negara ini telah meletakkan tiga syarat untuk dipenuhi oleh Umno sebelum kedua-dua pihak duduk berunding. Umno yang merupakan parti sekular Melayu teragung di dunia pula menunjukkan sikap tolak-ansur yang tinggi dan bersungguh-sungguh mahu merealisasikan perjumpaan itu.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad memberikan jaminan bahawa tuntutan PAS itu akan diteliti dan bersedia untuk mewujudkan suasana yang selesa bagi membolehkan perjumpaan itu dijayakan. Tolak-ansurnya itu memeranjatkan banyak pihak kerana tiada siapa menjangkakan beliau sanggup ‘membuang egonya’ sebegitu jauh.

PAS-Umno sama-sama tersepit

Perjumpaan ini dianggap oleh kedua-dua pihak sebagai sangat penting untuk dijadikan pentas bagi mempromosikan agenda politik masing-masing. Oleh itu kedua-dua pihak mempunyai strategi tersendiri untuk menjayakan dan menggagalkannya.

Umno sebagai pihak yang menghulurkan salam perpaduan kini tersepit untuk menunjukkan keikhlasannya. PAS pula tertekan dengan sikap toleransi tinggi yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir.

Pemerhati politik melihat langkah PAS meletakkan syarat untuk perjumpaan itu sebagai strategi untuk menggagalkan muzakarah ini dan sekali gus boleh menghimpit Umno sebagai pihak yang tewas dan tidak ikhlas.

Umno pula dilihat sebagai pihak desprado dan seboleh-bolehnya mahu perjumpaan ini dilaksanakan segera dengan harapan untuk menunjukkan kepada orang Melayu bahawa ia benar-benar mahu menyelamatkan bangsanya.

Kini kedua-dua pihak berada dalam dilema. Hendak dibatalkan begitu sahaja, risiko politiknya sangat besar. Kedua-dua pihak akan menerima tempiasnya - sama ada positif atau negatif.

Bagi Umno, jika menerima tuntutan-tuntutan PAS itu, ia akan dilihat sebagai Orang Kena Tuduh (OKT) yang mengakui melakukan jenayah. Selain itu, ia akan dianggap lemah kerana tunduk pada tuntutan-tuntutan PAS.

Jika menolak tuntutan-tuntutan itu dan muzakarah gagal di tengah jalan, Umno pula akan dilihat sebagai tidak ikhlas dan hanya bersandiwara. Malah Umno dan Dr Mahathir akan dianggap sebagai pihak yang melebarkan lagi perpecahan orang Melayu.

PAS juga akan dianggap sebagai tidak Islamik jika terus menekankan pada syarat-syaratnya hingga menyebabkan pertemuan itu gagal. PAS juga boleh dicop sebagai angkuh kerana berasa dirinya sudah kuat.

Gotong-royong di Masjid Negara?

Oleh itu cadangan perjumpaan perpaduan Melayu ini sebenarnya telah memerangkap kedua-dua pihak. Umno termasuk jeratnya sendiri dan PAS pula sengaja memasuki perangkap itu dengan harapan dapat melepasinya dan keluar sebagai hero orang Melayu.

Walaupun kedua-dua parti sejak dari awal lagi memandang perpaduan Melayu daripada dua premis yang berlainan, namun pemimpin dua parti itu tetap ingin mencuba. Umno melihat perpecahan Melayu sudah terbahagi empat - golongan yang menyokong Umno, PAS, Keadilan dan Badan Bertindak Melayu (BBM).

PAS pula berpendirian perpecahan Melayu tidak wujud tetapi apa yang berlaku ialah peralihan sokongan daripada Umno kepadanya dan Parti Keadilan Nasional. Premis yang berbeza ini menyukarkan pertemuan antara kedua-dua parti itu.

Kini setelah dua kali jawatankuasa teknikal kedua-dua parti bertemu, pemimpin-pemimpin mereka saling kata-mengata dan tuduh-menuduh untuk menegakkan benang basah masing-masing.

Perbezaan pendapat yang wujud dalam jawatankuasa teknikal ini menunjukkan tanda-tanda bahawa pertemuan yang dirancang itu akan menemui kegagalan.

Jika pertemuan ini gagal, ahli-ahli PAS dan para penyokong Barisan Alternatif akan bersorak riang, manakala ahli-ahli Umno akan kecewa kerana jerat yang pasang tidak terbingkas.

Sepatutnya tiada siapa perlu berasa hampa jika muzakarah ini tidak terlaksana kerana apa yang digembar-gemburkan sekarang tidak lebih daripada omong kosong untuk memenuhi cita-cita peribadi pemimpin tertentu.

Orang Melayu tidak memerlukan pertemuan politik untuk menyatupadukan mereka. Satu majlis gotong-royong membersihkan Masjid Negara yang disertai oleh semua pemimpin parti politik Melayu dan ahli-ahlinya mungkin lebih berkesan daripada satu majlis politik yang dihadiri di tengah-tengah seribu satu macam kecurigaan.

...................................................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com