Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Masjid dan Politik

MASJID DAN POLITIK

MASJID DAN POLITIK

Tulisan

Ustaz Mohd. Asri b. Zainul Abidin

moasriz@tm.net

 

Masjid adalah pusat kekuatan umat Islam sejak hari mula Islam itu bangkit membawa obornya untuk menerangi manusia sejagat. Dari masjidlah, lahirnya tokoh-tokoh besar Islam pada zaman kegemilangannya. Dari masjidlah dibina umat dan kekuatannya. Dari masjidlah umat Islam mengenai hakikat Islam sehingga mereka dapat menjadi umat yang kuat dan berprinsip lalu menyebarkan Islam ke seluruh alam.

 

Ketika tulisan ini ditulis, pihak kerajaan negara ini cuba mengawal masjid-masjid di seluruh negara dengan alasan jika masjid diberikan kebebasan akan menjadi punca umat Islam tidak menyokong parti pemerintah atau kononnya ramainya umat Islam tidak menyokong parti kerajaan yang ada disebabkan masjid-masjid disalahgunakan. Fokus kerajaan dalam hal ini ialah kelas-kelas atau kuliah-kuliah  agama di masjid. Hal ini adalah besar dan bahaya jika dirujuk kepada kenyataan al-Quran. Saya akan menyebut beberapa asas perbincangan mengenai isu ini.

 

Meruntuhkan Masjid

Di dalam Islam, pemerintah Islam yang sebenar berhak menjaga masjid dari dicemari bahkan itu adalah kewajipannya. Pemerintah mempunyai hak memastikan masjid tidak dirosakkan fungsinya. Ini seperti menghalang ajaran yang menyanggah kitab Allah dan sunnah RasulNya s.a.w. atau menghalang golongan yang jahil dari mengajar di masjid.

 Namun yang menjadi persoalan apakah fungsi masjid pada pandangan pemerintah yang ada dan apakah pula fungsi masjid pada pandangan Islam?. Apakah perkara yang diistilah sebagai mencemarkan masjid pada nilaian para pemimpin yang ada dibandingkan dengan timbangan kitab Allah dan Sunnah RasulNya?.

 

Apa yang jelas, kawalan yang hendak dikenakan oleh kerajaan sekarang terhadap masjid di seluruh negara adalah lebih cenderung kepada kepentingan politik bukan untuk kepentingan Islam dan umatnya. Nampaknya, apa yang diistilah sebagai mencemari masjid ialah apa sahaja yang bertentang dengan selera pimpinan negara. Hal ini bukannya menjaga kepentingan Islam sebaliknya menjaga kepentingan parti dan individu bahkan kemunkaran itu sendiri. Ini sebenarnya usaha memandulkan masjid dan cubaan memenjarakannya. Bahkan al-Quran mengistilahkannya cubaan menghalang, merobohkan atau meruntuhkan masjid. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 114:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ مَنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ أَنْ يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ وَسَعَى فِي خَرَابِهَا أُوْلَئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَنْ يَدْخُلُوهَا إِلا خَائِفِينَ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ(114)

Maksudnya:

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan orang yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.

 

Kata al-Qadhi Abu Bakr Ibn al-`Arabi dalam tafsirnya, Ahkam al-Quran: “Merobohkan masjid ialah menghilangkan fungsinya dan menghalang muslimin untuk melahirkan syiar dan kesatuan pendirian mereka” [1]

Kata al-Imam as-Syaukani dalam Fath al-Qadirفتح القدير   pula: “Yang dimaksudkan dengan menghalang masjid-masjid Allah untuk disebut nama Allah dalamnya ialah menghalang sesiapa mendatanginya untuk solat, tilawah, zikir dan pengajian. Sementara maksud  berusaha merobohkannya ialah berusaha untuk membinasakannya dan merosakkan bangunannya. Ianya boleh juga membawa maksud mematikan fungsinya berkaitan ketaatan kepada Allah yang ditetapkan untuknya...ianya juga merangkumi setiap perkara yang menghalang tujuan pembinaan masjid, seperti mempelajari ilmu dan mengajarkannya, duduk iktikaf dan menunggu solat” [2]

Usaha-usaha menghalang para guru mengajar di masjid-masjid di negara ini kecuali apa yang memenuhi selera pemerintah dan kehendak kerajaan adalah termasuk dalam erti kata menghalang masjid dan berusaha merobohkannya secara maknawi. Ini adalah hasrat buruk politik sedangkan masjid sepatutnya  dimasuki ke dalamnya bersuasanakan takutkan Allah seperti dinyatakan ayat tadi, bukan takut dan tunduk kepada kehendak manusia. Sekiranya kawalan akan dikenakan kepada masjid maka hendaklah dijadilah al-Quran dan as-Sunnah sebagai garis panduan kawalan tersebut bukannya selera politik mana-mana parti.

 

Bahkan tindakan mengawal masjid, akan memecah belah umat dan menjadikan masjid berpisah dari masyarakat.

 

Fungsi Sebenar Masjid

Hendaklah difahami dengan jelas bahawa  Islam adalah agama yang syumul. Bila disebut peranan masjid ialah menyebar, memaham dan mempertahankan Islam maka Islam yang dimaksudkan ialah Islam yang syumul, merangkumi semua bidang termasuklah ibadah khususiyah, politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain yang berpandu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Apabila masjid itu adalah lambang kepada Islam maka fungsinya  adalah seluas fungsi Islam itu sendiri. Apa sahaja yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah diajar di masjid tanpa mengira sama ada ianya bersesuaian dengan kehendak golongan tertentu atau tidak. Sama ada selera kerajaan yang ada atau mana-mana pihak. Fungsi masjid bukan nya seperti gereja dan kuil yang mewakili agama yang sempit dan terhad. Masjid mewakili agama yang syumul dan luas iaitu Islam maka kerjanya juga besar dan luas. Kata as-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Dengan menunaikan solat berjemaah di masjid sebanyak lima kali sehari, menjadikan masjid suatu tempat yang penting di dalam Islam dan kehidupan muslimin. Masjid bukannya tempat bertapa untuk golongan pendeta (yang mengasingkan diri beribadat), atau sudut untuk golongan menganggur, bukan juga tempat ibadat golongan darwis (ahli pertapaan). Di dalam Islam tiada pendetaan atau pertapaan. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abu Zar: “Kewajiban kepadamu adalah jihad kerana ianya adalah pertapaan umatku (Ibn Hibban dan al-Hakim)”

 

Al-Qaradawi juga menyebut: “Masjid Nabi itu adalah madrasah dakwah, demikian juga ianya adalah pejabat Negara Islam. Padanya Nabi memberikan kerja pada yang menganggur, ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting untuk umat, bertemu dengan para diplomat asing, mengatur tentera di medan perang juga menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian[3]

Kata seorang tokoh Islam yang terkenal di masa ini, Dr. `Imad ad-Din Khalil dalam karyanya Dirasah fi as-Sirah ketika mengulas tentang fungsi masjid yang di asaskan oleh Rasulullah s.a.w.: “Masjid bukannya tempat ibadat dan solat semata-mata, bahkan kedudukannya sama seperti kedudukan Islam itu sendiri, mencukupi dalam berbagai sudut ad-din, politik dan kemasyarakatan”[4]

 

Ini bermaksud apa sahaja yang diperkatakan oleh Islam, yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah boleh diperkatakan di masjid tanpa perlu mengambil kira selera pemerintah atau sesiapa. Apa yang penting ianya benar pada pertimbangan hukam-hakam syarak dan kaedah-kaedahnya. Seperti mana luasnya tajuk yang dibincangkan oleh Islam maka demikian juga luasnya pengajaran di masjid. Yang penting mereka dipandu perasaan gerun dan takut kepada Allah bukannya kepada pemerintah atau sesiapa. Apatah lagi pada zaman pemerintah meninggalkan sebahagian besar ajaran-ajaran Islam. Firman Allah dalam Surah al-Jin ayat 18:

وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا(18)

 

Maksudnya: "Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.

Tokoh ulama al-Azhar, al-Marhum as-Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah, menyebut dalam kitabnya as-Sirah an-   Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa as-Sunnah  السيرة النبوية في ضوء الكتاب والسنة   “Demikian itu Masjid Nabawi (di zaman Rasulullah s.a.w.) itu telah memberikan khidmat agama, ilmu, kemasyarakatan dan politik. Maka hendaklah diingati tentang kedudukan masjid di dalam Islam seperti mana yang kami sebutkan” [5]

 

Seorang ulama besar,  al-Marhum as-syeikh Dr. Mustafa as-Siba`i dalam kitabnya menyebut pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi masjid dengan katanya: “Apabila Rasulullah s.a.w. sampai ke Madinah, maka kerjanya yang pertama ialah membina padanya masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid di dalam Islam …apatah lagi bagi masjid itu mesej kemasyarakatan dan keruhanian yang besar kedudukan dalam kehidupan muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka. Sejarah masjid di dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka. Pada masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidaklah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah s.a.w). yang bertempat di Masjid Nabawi. Keistimewaan lain bagi masjid di dalam Islam ialah setiap minggu dilaungkan kalimat yang benar menerusi lidah khatibnya, padanya dibantahi kemunkaran dan diseru yang makruf, atau seruan kepada kebaikan, atau mengingatkan yang lalai, atau dakwah kepada kesatuan, atau bantahan terhadap yang zalim dan amaran kepada yang thaghut…Jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita,  jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemunkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah”[6]

 

Segala peranan-peranan besar masjid seperti yang disebutkan oleh tokoh-tokoh di atas akan musnah jika masjid dikongkong oleh selera golongan politik yang tidak berpandukan kepada hidayah Allah. Bahkan tindakan menghalang masjid, adalah tindakan untuk menjadikan masjid sebagai kelab parti yang berkuasa yang sukatan pengajian, program dan peranannya adalah berpandukan nafsu dan selera orang politik semata. Sedangkan masjid adalah rumah Allah bukan rumah sesiapa, maka sukatan masjid adalah sukatan al-Quran dan as-Sunnah.

 

Khatib-khatib sepatutnya berkhutbah dengan khutbah yang membangunkan umat bukan sekadar membaca teks-teks yang longlai, tidak ber ‘ruh’ dan bertenaga. Mereka bukan pembaca berita di TV atau perakam suara tetapi mereka mesti berkhutbah dengan semangat membangunkan umat, menyeru yang makruf dan mencegah kemunkaran. Para penceramah dan guru mestilah menyampai ajaran Islam yang syumul bukan sekadar membaca kitab dengan tajuk-tajuk yang layu dan takut pula untuk menegur kemunkaran dan penyelewengan.

 

Hikmah Dalam Dakwah

Di samping itu, dinasihati juga terhadap para penceramah dan pengajar yang menyampaikan pengajaran di masjid mengggunakan uslub dan bahasa yang baik dalam dakwah sesuai dengan ketinggian masjid dan ajaran al-Quran. Firman Allah dalam Surah Fussilat ayat 33-35:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنْ الْمُسْلِمِينَ(33)وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ(34)وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ(35)

Maksudnya:

Dan tiada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam! Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seakan teman yang rapat. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar."

 

Siapa Sepatutnya AJK Masjid

Sepatutnya AJK masjid  dibentuk dengan tujuan untuk memastikan masjid dapat berfungsi seperti yang dikehendaki dalam Islam. Mereka sepatut megepalai golongan yang memakmurkan masjid. Perlantikan mereka adalah atas dasar penghayatan iman bukan kepentingan golongan tertentu.

 

Apakah-apakah yang patut mereka miliki?  Al-Quran secara jelas menyebut mengenai ciri-ciri golongan yang memakmur masjid.

 

Firman Allah dalam Surah at-Taubah ayat 18:

 

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ فَعَسَى أُوْلَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنْ الْمُهْتَدِينَ(18)

 

Maksudnya: “Hanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk”.

 

Ciri-ciri yang disenaraikan dalam di atas ialah

1.     Beriman kepada Allah dan Hari Akhirat

2.     Mendirikan solat

3.     Menunaikan zakat

4.     Tidak takut melainkan Allah.

Kata al-Imam al-Baghawi, menafsir maksud tidak takut melainkan “Tidak takut dalam agama melainkan Allah dan tidak meninggalkan suruhan Allah kerana selainNya”[7]

 

Sayyid Qutb memperincikannya dengan menyebut: “Dinyatakan mengenai ketakutan hanya kepada Allah semata tiada pada yang lain, selepas syarat iman yang batin dan amal yang zahir, bukannya sekadar galakan. Sebaliknya, mestilah hanya menyerah diri kepada Allah semata. Mestilah melepaskan dari segala bayangan syirik dalam perasaan dan perbuatan. Takut selain dari Allah adalah sejenis syirik khafi (tersembunyi) yang di sini diperingatkan oleh nas demi menjadikan iktikad dan amal semua untuk Allah, ketika itu layaklah orang mukminin memakmurkan masjid-masjid Allah”[8]

 

Sementara dalam at-Tafsir al-Munir,  as-Syeikh Dr. Wahbah az- Zuhaili menyebut: “Tidak takut dalam perkataan dan perbuatannya selain Allah sahaja, tidak selainnya sama ada berhala dan para pembesar yang pada hakikatnya tidak memberi manfaat dan mudarat. Sesungguhnya manfaat dan mudarat itu hanya di tangan Allah”[9]

 

Syarat hanya takut kepada Allah sengaja diperjelas dan dipertekankan di sini kerana bimbangkan ramai yang menjadi AJK masjid lebih takutkan manusia melebihi tanggungjawabnya di hadapan Allah. Mereka tidak merasai kegerunan kepada Allah seperti yang disebut dalam ayat 114 dari Surah al-Baqarah tadi dan juga ayat ini, tetapi sebaliknya lebih takut pihak yang melantiknya. Mereka tidak merasakan masjid sebagai rumah Allah yang dibesarkan padanya kalimah Allah, sebaliknya mereka selalu bimbang kedudukan mereka. Lebih buruk lagi ada yang merasakan peranan mereka di masjid adalah menjaga kepentingan parti dan selera golongan tertentu. Mereka sanggup memandul dan mematikan kemakmuran masjid yang dalam istilah al-Qurannya “merobohkan masjid”, semata-mata demi memastikan kehendak golongan atasan mereka dipatuhi.

 



[1] jld. 1, m.s. 51

[2] jld 1, m.s. 144, cetkan Dar Khair, Beirut

[3] Al-`Ibadah fi al-Islam, ” m.s. 233, cetakan Muassasah ar-Risalah, Beirut

[4] m.s. 149 cetakan Dar an-Nafais, Beirut

[5] jld 2, m.s. 3, Dar al-Qalam Damsyik

[6] As-Sirah an-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, m.s. 74-75 cetakan al-Maktab al-Islami, Jordan

[7] Ma`lim at-Tanzil, jld. 2, m.s. 274 cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut

[8] Fi Zilal al-Quran, jld. 3 m.s 1614, cetakan Dar as-Syuruq, Mesir

[9] jld 10, m.s. 128, cetakan Dar al-Fikr, Beirut


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 8 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com