Hari ini, 30hb Mac 2001, Utusan Malaysia berbohong lagi. Ini bukan kali pertama mereka berbuat demikian. Memang sudah menjadi amalan akhbar ini berbohong dan menyebarkan fitnah terhadap parti-parti dan pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif.
Utusan Malaysia hari ini, di bawah tajuk “Bekas Duta Amerika hadiri pertemuan sulit Keadilan” telah melaporkan di muka hadapan kononnya “Pemimpin-pemimpin parti pembangkang termasuk Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, Presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock” menghadiri pertemuan yang dikatakan sulit itu.
Semua pemimpin yang disebut dalam berita itu TIDAK menghadiri pertemuan tersebut. Kami telah menghadiri mesyuarat berkala Majlis Pimpinan BA di bilik lain dalam bangunan yang sama. Apabila kami keluar minum teh, beberapa orang dari pimpinan Keadilan yang menghadiri pertemuan itu ada di situ.
Kami dapati bahawa laporan berita yang sama, kononnya bekas Duta Amerika Syarikat, John R Mallot, menghadiri pertemuan itu juga bohong. Beliau tidak hadir. Saya diberitahu bahawa beliau tidak ada di Malaysia.
Kami menuntut supaya Utusan Malaysia berhenti berbohong dan membuat fitnah.
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM