Terpanggil oleh kerana timbul isu yang sebenarnya saya kira sudah lapuk tetapi dek kerana terkeluarnya satu kenyataan yang diutarakan oleh mufti Perak Datuk Harussani yang menyatakan terdapat pelbagai kesan negatif yang telah menimpa umat Islam angkara terpengaruh dengan filem Hindustan, telah menimbulkan pelbagai pandangan dan tentangan yang amat menakutkan kita kepada tertanggalnya Iman dan Islam dalam kita mempertahankan isu yang diketahui banyak unsur kebatilan dan tidak banyak untung dan ruginya kepada umat Islam seluruhnya.
Suka dinyatakan bahawa unsur negatif dalam filem Hindustan telah lama berlaku dan harus diingat bahawa asal usul nenek moyang sebahagian dari kita sebelum kedatangan Islam adalah beragama Hindu. Pengaruhnya amat tebal dan sukar dikikis sampai sekarang misalnya adat bersanding, berinai, bertepak sirih junjung, melenggang perut, adat buka gelanggang silat dan seumpamanya. Ini ditambah pula pengaruh filem Hindu yang sebahagian besarnya menyelitkan unsur keagamaan yang menanamkan sifat pemujaan kepada tuhan mereka. Penggambaran filem tersebut yang dilakukan sebahagian besar tidak dapat lari dari unsur kuil, tokong penyembah berhala, pakaian wanita yang menampakkan sebahagian perut, meratap mayat dan seumpamanya yang amat bercanggah dengan nilai ketimuran apatah lagi dengan hukum Islam. Ianya menjadi santapan rohani dan jasmani semenjak kita baru mengenal apa itu Televisyen sehinggalah sekarang.
Maka kita tidak merasa pelik melihat unsur yang tersebut di atas telah menjadi darah daging dalam sebahagian dari budaya dan cara hidup kita sekarang. Seumpamanya pakaian anak gadis kita sudah berani dan tidak segan silu untuk menampakkan pusat, memakai gelang loceng di kaki, gejala murtad ke agama Hindu dan masyarakat Islam melayu lebih petah dan faham pertuturan Hindu darpada mengenal makna dan perkataan Arab yang menjadi bahasa Al Quran. Lebih mengejutkan hingga ada gadis melayu yang sanggup berpelukan dengan aktor filem Hindustan dikhalayak ramai hanya kerana melayan perasaan minat dan cinta yang mendalam terhadap beliau yang selalu ditonjolkan dalam kebanyakan filen Hindustan.
Masyarakat sekarang baik muda mahupun tua, baik yang berpelajaran ataupun tidak lebih mengenali dan mengagungkan aktor/aktres filem Hindustan daripada mengenali ulama-ulama di tanahair sendiri dan jauh sekali daripada mengenali ulama luar negara terutama ulama silam.
Apa yang menyedihkan ulama tanahair seolah-olah baru menyedari barah ini telah merebak hingga ke akar umbi dan amat sukar untuk diubati dengan hanya mengeluarkan fatwa atau amanat tanpa ada unsur pindidikan, tarbiah, penguatkuasa undang-undang mahupun kesedaran yang sebenar dari masyarakat Islam.
Semestinya para ulama lebih terkehadapan dalam banyak perkara tanpa menunggu akibat dan musibat menimpa baru hendak menyalahkan pihak tertentu. Adalah diperhatikan hanyalah ulama dalam parti politik tertentu yang lantang menyatakan pendapat mereka yang sebenar bagi mengakkan yang haq tanpa mengira ianya menjadi popular ataupun mendapat cemuhan. Sikap dan sifat mereka yang beristiqamah dulu, kini dan selamanya , insyaAllah, perlu diteladani oleh ulama kita yang lain. Harus disedari ulama yang tersebut di atas adalah pengiat politik yang suaranya tidak begitu disenangi oleh masyarakat kita suatu masa dahulu. Oleh itu suara mereka tidak begitu kedengaran dalam masyarakat kita sebelum ini.
Ulama seharusnya berani dan beristiqamah dalam menyatakan Islam dan tidak harus ada rasa takut apabila ingin menjadi golongan tersebut. Teringat saya pada kata-kata Saudara Zainur Zakaria (peguam Dato' Sri Anwar Ibrahim) yang bermaksud," Jawatan yang diamanahkan kepada kita haruslah kita pikul dengan sebaik-baiknya dan sekiranya takut untuk memikul amanah tersebut adalah terlebih baik meletak jawatan daripada kita mengkhianati amanah tersebut".
Saudara Anwar pernah berpujangga, "KALAU TAKUT AKAN RISIKO, USAH BICARA TENTANG PERJUANGAN"
Kepada para ulama yang disanjungi dan dikasihi ,kita berseru atas nama Islam masanya masih belum terlambat menyertai perjuangan menegakkan yang hak dan menjatuhkan yang batil kerana yakinlah pada sabda Rasul kita, "Sebesar-besar jihad adalah berkata benar pada pemerintah yang zalim". Oleh itu jangan biarkan diri kita diperalatkan di dunia dan di pinggirkan di akhirat.Janganlah kepentingan kebendaan menjadi matlamat yang hakiki dan menjadi pak turut dalam apa jua tindakan yang melibatkan keutuhan Islam.Kemurniaan dan kecermerlangan Islam di tangan anda.Jangan dirosakkan sabda Nabi dan titah perintah Allah kerana fatwa anda.Ingatlah ulama adalah pewaris nabi.
Kepada ulama diingati yang masih masih terleka sayugia kita ingatkan dengan sabda Rasul kita "Apabila berlaku suatu kezaliman dan ulama tidak berani menyatakan yang berbuat zalim itu zalim maka perut bumi adalah terlebih baik untuknya" .
Kepada masyarakat yang disayangi sayugia kita berpesan usah bicara dan menentang perkara yang kita tidak tahu halal dan haramnya. Sebaiknya ikutlah Firma Allah dalam Al Quran " Maka bertanyalah kepada yang ahli jika sekiranya kamu tidak mengetahui".
Ayuh ulama semua bimbinglah kami, ajarlah kami agama kami, agar kami dapat merasakan bersama kalian akan kemanisan IMAN dan ISLAM.
Takbir…ALLAHUAKBAR!!
SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA
FSH