Kenyataan Media Biro Buruh PRM
PRM Sokong Mogok Pekerja Hualon Corporation di Melaka
Kira-kira 200 pekerja Hualon Corporation Sdn Bhd di Tangga Batu, Melaka
telah melancarkan mogok pada pagi 21 Mac lalu. Para pekerja memprotes
terhadap penekanan yang berterusan pihak majikan ke atas kesatuan
sekerja mereka. Pekerja-pekerja kilang tersebut telah cuba mengorganise
penubuhan sebuah kesatuan sekerja sejak dua atau tiga tahun lalu. Usaha
mereka sengaja dihalang oleh pihak majikan.
Pada tahun lalu, permohonan pekerja untuk mendaftarkan kesatuan mereka
telah digagalkan atas alasan Hualon Corporation memiliki dua kilang yang
beroperasi di dua tapak yang berasingan. Satu di Tangga Batu, Melaka dan
satu lagi di Nilai, Negeri Sembilan. Walaupun Jawatankuasa Penaja di
kilang Tangga Batu telah berjaya mendapat sokongan lebih 60 peratus
pekerja, tetapi ia tidak dibenarkan memasuki kilang di Nilai untuk
mendaftar ahli. Pendaftar Kesatuan Sekerja akur dengan dengan tafsiran
pihak majikan bahawa kilang di Nilai adalah beroperasi secara
berasingan. Kerana itu Kesatuan Sekerja untuk pekerja-pekerja Hualon
Corporation Sdn Bhd bagi kedua-dua kilang itu tidak dibenarkan
didaftarkan.
Pihak majikan terus menekan pemimpin-pemimpin kesatuan pekerja. Pada 16
Mac 2001, pihak pengurusan kilang di Tangga Batu telah mengeluarkan satu
surat pemberhentian kerja ke atas Pengerusi Penaja Kesatuan, Encik
Rohani Ali. Beliau telah diberhentikan serta merta atas alasan gagal
menjalankan tugasnya kerana didapati bercakap-cakap semasa kerja pada
9.30 pagi 1hb Mac lalu. Tuduhan itu dibuat secara sewenang-wenang kerana
sengaja mahu menghukum pemimpin pekerja tersebut.
PRM mendesak pihak pengurusan Hualon Corporation Sdn Bhd supaya
menghormati hak-hak pekerja untuk menubuhkan kesatuan. Pemimpin-pemimpin
kesatuan tidak patut dianiaya. Jangan jadikan mereka mangsa penekanan
pihak pengurusan atau majikan. Seterusnya, PRM juga mendesak supaya
Pendaftar Kesatuan Sekerja dan Kementerian Sumber Manusia mengambil
langkah mempermudahkan proses mendaftar kesatuan-kesatuan sekerja. Untuk
itu, Akta Kesatuan Sekerja perlu dipinda supaya lebih adil dan
demokratik terhadap pekerja.
Akhirnya, PRM ingin menegaskan bahawa menubuhkan kesatuan sekerja juga
merupakan satu hak asasi pekerja untuk berpersatuan. Ia adalah satu hak
yang diakui dan dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh Hassan Karim
Penyelaras Biro Buruh PRM
22 Mac 2001