Oleh : Hishamuddin Rais
Untuk membolehkan sistem demokrasi berparlimen dan pemilihan kerajaan melalui undi berjalan lancar dan berwibawa, lembaga yang paling penting untuk menopang sistem itu adalah media yang adil dan bebas.
Media merupakan satu perkataan baru dalam peristilahan bahasa Melayu. Tetapi konsep ini telah lama wujud dalam budaya manusia Melayu.
Pada zaman kesultanan Melayu kuno, media sebagai satu konsep terbukti wujud. Siak, hulubalang dan bentara boleh dianggap contoh-contoh apparatchik media kuno Melayu. Watak-watak fuedal ini telah ditugaskan oleh sultan atau bendahara untuk mencanang dan melaungkan perutusan, hukum-hakam dan maklumat dari istana.
Dalam masyarakat Melayu kampung praindustri; ketua kampung atau tok siak telah menggunakan pukulan gong, tabuh, rebana atau tetuang untuk mengumpulkan penduduk.
Pengumpulan ahli kariah kampung ini bertujuan menentukan masa bergotong-royong jika musim bersawah. Atau bersepakat untuk bantu memindahkan rumah jiran atau kenduri-kendara. Di kawasan pedalaman, tabuh juga dipukul sebagai isyarat mengumumkan kematian, ancaman atau kemalangan.
Semua ini proses komunikasi media - permulaan konsep penyampaian maklumat daripada satu punca kepada orang ramai. Konsep ini telah bermula pada awal tamadun manusia. Berkomunikasi memang menjadi keperluan hidup manusia sejak zaman berzaman.
Media moden di depan kita hari ini, televisyen, akhbar, iklan, radio dan Internet, semuanya berasaskan konsep keperluan menyampaikan maklumat ini.
Justeru, kemodenan (modernity) tidak memansuhkan konsep ini, tetapi mengukuhkan dan melengkapkannya dengan peralatan moden bersama teknologi terkini. Hari ini media telah menjadi satu seni dan cabang kajian ilmu.
Wakil rakyat ‘barangan berjenama’
Selaras dengan perkembangan tamadun manusia yang berasaskan demokrasi, suara ramai sebagai pembuat keputusan, peranan media semakin bertambah penting. Media menjadi jambatan utama untuk menyampaikan maklumat, berita atau propaganda.
Jangan salah anggap, media moden hari ini tidak mungkin dan tidak berupaya untuk menyampaikan ilmu pengetahun secara terperinci. Ilmu wajib didapati daripada membaca buku. Tidak ada jalan pintas untuk mencari ilmu melainkan melalui kaji selidik, menyimpul pengalaman terkumpul atau melalui percubaan ilmiah.
Bagaimanapun tidak berupaya menyampaikan ilmu secara terperinci tidak pula bermakna media tidak penting. Kehidupan moden dalam budaya konsumer (consumer) telah menjadikan media cetak dan elektronik sebagai aksesori wajib sebagai panduan kehidupan.
Kehidupan moden dan budaya konsumer itu memaksa manusia berdepan dengan seribu satu macam pilihan. Sebagai contoh, manusia moden menghadapi ratusan jenama-jenama baju, kaca mata, kereta, tempat percutian, rokok atau minuman untuk dipilih.
Media hari ini berlumba-lumba mempropagandakan barang-barang ini agar menjadi pilihan individu. Konsumer atau orang ramai diberikan maklumat sebanyak mungkin kenapa jenama ini lebih baik daripada jenama itu.
Keupayaan memilih, membeli dan memiliki sesuatu jenama barangan tertentu adalah proses demokrasi. Proses ini membenarkan konsumer (pengguna) menikmati kebebasan dan kemerdekaan diri. Pemilihan barangan oleh para konsumer didasarkan pada maklumat yang dibaca di akhbar atau propaganda iklan di kaca televisyen.
Tidak salah, sebagai metafora, jika kita melihat parti-parti politik dan calon-calon wakil rakyat di negara kita sebagai ‘barangan berjenama’. Mereka juga wajib dipilih ( dibeli) oleh orang ramai (konsumer) melalui pilihanraya; sama ada untuk menjadi wakil rakyat atau untuk menubuhkan kerajaan.
Justeru di sini terletak peranan media bebas, cetak dan elektronik, untuk menyampaikan maklumat dan propaganda kepada orang ramai sebelum mereka membuat pilihan. Tidak mungkin individu dapat membuat pilihan yang baik tanpa maklumat yang tepat, bebas dan pelbagai. Pilihanraya bukannya bermain ‘tikam ekor’ atau bermain dadu. Pilihan yang dibuat oleh seseorang semasa membuang undi akan melibatkan kebajikan orang ramai.
Pilihan tepat
Perlu diakui bahawa media di negara kita dimiliki oleh individu, taukeh, parti atau syarikat perniagaan yang berkepentingan. Beberapa buah akhbar sahaja di dunia ini yang benar-benar bebas dan tidak dimiliki oleh seseorang individu atau parti politik yang berkepentingan. Justeru, hak dan isu pemilikan ini tidak perlu dipertikaikan di negara ini.
Hak Umno atau MCA untuk menjadi pemilik media tidak pernah dinafikan. Organisasi media seperti Kumpulan Utusan Melayu, Kumpulan NSTP, The Star, The Sun, TV3 atau NTV7 tidak dipertikaikan untuk dikawal oleh kerajaan atau parti memerintah.
Kemarahan rakyat berpusat pada (dan wajib terus dipertikaikan) adalah kerajaan atau parti pemerintah itu tidak pula membenarkan pihak lain - sama individu, parti atau NGO - memiliki akhbar, stesen radio atau stesen TV mereka sendiri.
Konsep kebebasan media memang diakui tidak wujud di negara ini. Membincangkan agenda ini hanya akan meletihkan gusi atau melemahkan jari untuk memetik papan kekunci komputer. Rakyat Malaysia telah bijak dan menyedari hakikat ini.
Apa yang wajib diperjuangkan dan diterangkan kepada orang ramai ialah hak individu, parti politik atau kumpulan NGO untuk bebas menerbitkan akhbar atau mendirikan stesen-stesen radio serta TV mereka sendiri.
Untuk menjadi pemilih, penggguna atau pemakai yang baik orang ramai wajib disedarkan bahawa mereka berhak mendapatkan sebanyak mungkin maklumat sebelum membuat sebarang pilihan.
Dalam sistem pilihanraya ‘satu kepala, satu undi’, pilihan yang tepat hanya boleh dibuat melalui maklumat yang telah disampaikan oleh pelbagai sumber maklumat dan pelbagai punca media.
Orang ramai harus menerima hakikat bahawa - dalam suasana budaya politik hari ini - media yang ‘benar-benar bebas’ tidak lagi diperlukan. Malah ketika ini, media bebas hanyalah bayangan mimpi yang akan melambatkan proses perubahan.
Tidak wajar dan tidak perlu rakyat jelata dipaksa mendengar bunyi tabuh dan canang yang dipukul juak-juak Mamak Bendahara. Apa yang diperlukan kini ialah hak dan kebebasan untuk mendirikan jaringan media kita sendiri.
Maklumat berjenama alternatif wajar disampaikan melalui jaringan media yang juga datang daripada kumpulan-kumpulan alternatif, selain media tradisional yang sedia dibolot oleh parti-parti pemerintah dan taukeh-taukeh mereka.
...............................................
Petikan Malaysiakini.com