Sdr. Webmaster Tranung Kite,
Saya terpanggil untuk menambah tulisan Ust. Ali Muda, Beberapa pertanyaan asas
(http://tranung.bizaddress.net/mac/alimuda35.htm) yang disiarkan dalam laman web
saudara.
Mohon saya agar surat ini dipanjangkan kepada Ust. Ali Muda untuk disampaikan
pula kepada saudara Khalid yang bertanya. Saya juga mohon agar surat saya ini
tidak disiarkan secara umum dalam laman saudara. Atau jika saudara rasa perlu
juga disiarkan TOLONG padamkan nama saya.
Saya merujuk kepada soalan pertama. Kesukaran untuk menunaikan solat bukan
alasan untuk tidak bersolat. Malah, lagi sukar maka lagi bersungguh kita patut
usahakan. Saya ingin menceritakan masalah saya ketika menuntut di Ameraka
Syarikat dan bagaimana saya cuba atasi.
Kerana ketiadaan biasiswa ketika mengambil ijazah sarjana, saya terpaksa bekerja
ketika menuntut. Oleh itu saya mengambil kelas-kelas yang ditawarkan untuk
mereka yang menuntut “part-time” iaitu waktu malam, dari jam 6:00 ptg hingga 10
malam berterusan 4 jam, satu mata pelajaran untuk satu malam, kecuali rehat
selama 15 minit di tengah-tengah.
Maka di situlah mulanya kesukaran beribadat solat dan berbuka puasa. Bergantung
pada musim, waktu maghrib berubah-ubah bermula dari seawalnya 5:30 petang hingga
selewatnya jam 8:30 malam. Waktu rehat (break) biasanya pada jam 8:00 – 8:15
malam. Apabila sepanjang waktu maghrib tidak termasuk dalam waktu rehat atau
waktu yang boleh saya bersolat, maka ini bermakna – saya tidak akan sempat solat
maghrib.
Apa yang selalu saya lakukan ialah bersedia dengan wudhu sebelum memasuki kelas.
Dan apabila tiba waktu maghrib, saya akan keluar kelas, ke tempat yang sesuai
dalam bangunan itu (yang telah saya carikan sebelum itu), untuk solat maghrib.
Tiga rakaat – cuma memakan masa tiga minit – melakukan yang fardhu sahaja.
Berjalan keluar kelas ke tempat solat mungkin memakan masa satu minit pergi dan
satu minit balik. Cuma lima minit sahaja.
Lagi pun kalau seseorang keluar kelas ke tandas pun lebih kurang lama itu juga.
Dan cara mereka di sana, keluar masuk kelas bukan suatu yang dipersoalkan oleh
mana-mana pensyarah.
Untuk berbuka puasa, saya sediakan sedikit snek seperti air tin dan sebatang
coklat bar berbagai jenama. Makan dan minum dalam kelas di Amerika tidak
bermasalah. Saya hanya dapat makan betul selepas kelas, biasanya jam 10:30
malam.
Semoga pengalaman saya ini berguna untuk saudara Khalid.
WalLahu ‘Alam,
Mohd. Ismail Ali
Bekas penuntut di USA, 1980an.