Pada 3 Mei depan, seluruh dunia akan menyambut ‘Hari Kebebasan Akhbar’. Hari ini telah diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mulai 1993 tetapi sambutannya di peringkat antarabangsa telah dimulakan sejak 1991.
Menurut PBB, 3 Mei adalah hari untuk:
1. menggalakkan dan membina usaha bagi menyokong kebebasan akhbar
2. menilai kebebasan akhbar di seluruh dunia
3. mengingatkan kerajaan masing-masing agar menunjukkan iltizam untuk menghormati kebebasan akhbar
4. menyedarkan orang ramai betapa pentingnya akhbar itu bebas
5. mengingatkan petugas-petugas media dan menggalakkan debat di kalangan mereka betapa pentingnya kebebasan akhbar dan etika kewartawanan
6. mengenang jasa wartawan yang terkorban di seluruh dunia
7. menyatakan sokongan kepada media dan petugas media yang menjadi mangsa tindakan-tindakan menghalang, atau usaha menghapuskan, kebebasan akhbar.
Memandangkan pencabulan dan kawalan semakin meningkat terhadap media bebas (cetak), penerbit dan pengedarnya, media web (Internet), media luar negara dan juga media pembangkang di negara ini, KAMI menggesa supaya sambutan ‘Hari Kebebasan Akhbar’ pada 3 Mei 2001 (Khamis) diadakan secara besar-besaran.
Sambutan ini – sejajar dengan matlamat yang telah digariskan oleh PBB dan juga perjuangan organisasi-organisasi wartawan peringkat antarabangsa seperti UNESCO (sebuah agensi PBB), WAN (Persatuan Akhbar Sedunia) dan IFEX (Rangkaian Kebebasan Bersuara Antarabangsa) – adalah untuk:
(a) mengingatkan kerajaan Malaysia agar menunjukkan iltizam untuk menghormati kebebasan akhbar, dan
(b) menyatakan sokongan kepada media dan petugas media yang menjadi mangsa tindakan-tindakan kerajaan Malaysia untuk menghalang, atau menghapuskan, kebebasan akhbar.
Keputusan untuk menegaskan kepentingan perjuangan kebebasan media telah dicapai di kalangan aktivis media bebas KAMI dengan kumpulan-kumpulan penerbitan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada pertengahan bulan ini.
Oleh itu, KAMI menggesa semua syarikat penerbitan bebas di negara ini, penulis-penulis sambilan, laman-laman web reformasi dan biro-biro penerangan (serta penerbitan) parti-parti politik agar menyiarkan berita, rencana, wawancara, surat, pandangan dan kenyataan ke arah memupuk dan mempertahankan kebebasan akhbar di negara ini mulai hari ini hingga 3 Mei, 2001.
KAMI juga menggesa parti-parti politik Barisan Alternatif dan anggota-anggota Dewan Rakyat BA membawa isu ini dalam ceramah-ceramah mereka di seluruh negara dan juga dalam sidang dewan yang sedang berlangsung sekarang.
Sebagai sekumpulan wartawan bebas, KAMI sedar parti-parti pembangkang dan NGO negara ini telah dinafikan hak untuk bersuara dan mendapat liputan media yang adil dan saksama daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akhbar-akhbar arus perdana.
Oleh itu, kepada segenap lapisan rakyat sebagai pengguna maklumat, KAMI menggesa rakyat agar bersatu tenaga bagi menyekat tindakan-tindakan anti-demokrasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
AHMAD LUTFI OTHMAN
Jurucakap KAMI,
d/a 24-G Jalan 4/21 D, Medan Idaman,
Gombak 53100 Kuala Lumpur
Tel: 03-4023-0175
Fax:03-4023-0175
Emel: lutfi_detik@hotmail.com
FATHI ARIS OMAR
Jawatankuasa teknikal sambutan ‘Hari Kebebasan Akhbar’ 2001
Tel: 03-2283-5567
Emel: faomar@yahoo.com atau fathi@malaysiakini.com