Oleh : Lee Ban Chen
Pertemuan Umno-PAS yang dijadualkan 19 Februari lalu ditangguhkan kerana parti Islam itu telah mengemukakan tiga prasyarat untuk dipenuhi demi mewujudkan ‘suasana yang kondusif’ sebelum pertemuan itu dimulakan.
Tiga prasyarat yang berkenaan ialah:
- Kerajaan Persekutuan mengembalikan bayaran royalti minyak kepada Terengganu;
- Membenarkan penerbitan Harakah dua kali seminggu seperti sebelum Mac lalu; dan
- Umno menarik balik cadangan untuk melarang penggunaan perkataan Islam pada parti politik.
Pendirian PAS itu disifatkan Umno sebagai berdolak-dalik dan tidak ikhlas. Kata mereka, Umno telah bertolak-ansur mengenai permintaan PAS yang pernah meminta skop perbincangan itu diperluaskan kepada perpaduan nasional daripada idea asal ‘penyatuan Melayu.’
Kemudian parti Islam itu mengemukakan pula empat agenda, iaitu pengguguran perkataan Islam, kepincangan sistem kehakiman, penyelewengan pengurusan ekonomi dan jaminan demokrasi. Tiga hari selepas itu, tiga prasyarat di atas ditambah.
Bekas pemimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) Kassim Ahmad dalam rencananya yang bertajuk ‘PAS terjebak propaganda sendiri’ (Utusan Malaysia, 22 Februari) pula menganggap: "Keputusan sebelah pihak yang dibuat oleh PAS ini ada baiknya. Ia mendedahkan PAS sebagai sebuah parti yang terumbang-ambing antara nasionalisme Melayu dan teokrasi 'Islam' yang menjadi ideologinya dan 'liberalisme-humanisme' Barat yang dianuti oleh sekutunya dalam pakatan pembangkang."
Sukar dipercayai Kassim yang dulunya seorang jaguh sosialis saintifik, kini menjurus ke jurang nasionalisme Melayu yang begitu dalam sekali, sehingga ukuran utama beliau tentang Barisan Nasional dan Barisan Alternatif ialah "siapakah yang mewakili atau lebih hampir kepada nasionalisme Melayu-Malaysia ?"
Beliau berpendapat: "Kebanyakan orang Melayu mahu melihat perpaduan yang lebih mantap di kalangan orang Melayu. Ini kerana hanya orang Melayu boleh menentukan sifat dan hala tuju bangsa Malaysia sebagai satu bangsa yang berdaulat."
‘Pendapat umum’ Melayu dijadikan alasan
Kassim malah menempatkan kedudukan bangsa mengatasi kebenaran. Katanya, apabila bangsa kita terus selamat dan berdaulat, bolehlah kita memperjuangkan kebenaran yang diperintahkan oleh Islam. Tetapi tidak sebaliknya.
A Samad Ismail dalam kolum ‘Bila Sauh di Labuh’ (Berita Harian, 24 Februari) juga berpendapat perjumpaan Umno-PAS itu isu orang Melayu - kedua-dua pihak terpaksa mengambil kira ‘pendapat umum’ dalam soal ini, iaitu hasrat rakyat bangsa Melayu agar mereka menyelesaikan sengketa dan menumpukan tenaga bersama untuk kepentingan bangsa Melayu.
Mungkin kerana Umno telah berjaya mewujudkan ‘pendapat umum’ seperti anggapan Samad tersebut, maka Dr Mahathir Mohamad di samping menolak prasyarat PAS, masih menunggu perjumpaan dengan Presiden PAS Fadzil Noor, duduk dan berbincang walau ‘tanpa sebarang subjek.’
Dalam keadaan yang agak kompleks ini, PAS harus berhati-hati supaya tidak terperangkap dalam politik perkauman yang dipasang Umno. Parti Melayu itu telah sedia meniupkan sentimen nasionalisme sempit dan terpesong daripada perjuangan melampaui batasan bangsa untuk kepentingan reformasi menyeluruh dalam bidang politik, ekonomi, kehakiman, pendidikan, sosial dan agama.
Dengan meluaskan skop perbincangan, kemudian menggarikan pula empat agenda dan tiga prasyarat yang konkrit, PAS dengan bijak menangani rasa keraguan dan ketidakpuasan hati di kalangan ahli akar umbi parti itu serta parti-parti komponen BA.
Peluasan skop perbincangan itu telah menjauhkan PAS daripada politik perkauman yang sempit, dan lebih sesuai dengan matlamat perjuangan BA yang menitikberatkan hak sama rata dan keadilan untuk semua bangsa.
Empat agenda yang konkrit juga dapat mengelakkan perjumpaan itu nanti daripada ‘menjadi hanya sekadar majlis minum teh’ (kata Nasharudin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS) atau menjadi majlis sosial untuk sekadar ‘duduk dan berbincang walaupun tanpa sebarang subjek’ (kata Dr Mahathir). Oleh itu, kedua-dua inisiatif PAS tersebut terpaksa diterima Umno.
Tentang prasyarat, mengikut Nasharuddin: "PAS memberi syarat kerana ingin tahu keikhlasan Umno.’ Umno sebaliknya menuduh PAS tidak ikhlas kerana mengenakan prasyarat yang sebenarnya boleh dikemukakan dalam pertemuan peringkat teringgi nanti.
Bukan syarat Puteri Gunung Ledang
Namun, agenda dan prasyarat memang ada perbezaan, prasyarat mesti dipenuhi terlebih dahulu sebelum pertemuan, walhal sebanyak manapun agenda boleh jadi tidak berhasil dan mensia-siakan saja akhirnya.
Juga tidak dapat dinafikan sekiranya ketiga-tiga prasyarat yang dikemukakan PAS itu dapat dipenuhi terlebih dahulu, maka ‘suasana yang kondusif’ sudah barang tentu akan tercapai.
Sekiranya PAS mengemukakan prasyarat yang sukar atau tidak mungkin dipenuhi ibarat tuntutan Puteri Gunung Ledang (tidak akan berkahwin dengan Sultan Melaka kecuali raja itu berjaya menunaikan hajat-hajatnya membina sebuah jambatan emas dari istana ke Gunung Ledang, dan tiga mangkuk hati nyamuk, hati kuman, dan darah putera Sultan Melaka).
Prasyarat PAS sebenarnya permintaan yang wajar dan senang ditunaikan sekiranya Umno ikhlas. Royati minyak Terengganu memang hak rakyat negeri itu mengikut kontrak yang ditandatangani pada 1975. Wang royalti telah dibayar bermula 1978. Hingga 1999, setelah PAS berjaya mengambil alih pemerintahan Terengganu, baru timbul ‘masalah.’
Penerbitan Harakah seminggu dua kali merupakan amalan biasa, bukan suatu yang baru. Sekiranya dulu boleh, sekarang kenapa pula tidak boleh? Perkataan Islam digunakan PAS juga bukan dimulai sekarang, tetapi berpuluh-puluh tahun lamanya, kenapa sekarang baru dipertikaikan?
Memang benar bidang kuasa kerajaan bukan bidang kuasa Umno, tetapi jika Umno ingin memenuhi prasyarat PAS seperti tersebut di atas, parti kerajaan itu tentu mampu berbuat demikian kerana kerajaan BN bertunjangkan Umno - bukan rahsia lagi.
Ia mungkin memerlukan masa, tetapi PAS tentu sudi menunggu berita baik sekiranya Umno memerlukan masa untuk memenuhi tiga prasyarat berkenaan. Andainya bukan kepentingan parti yang diutamakan seperti dilaung-laungkan Umno, apakah ruginya jika beberapa ‘keuntungan’ (atau keadilan?) diberikan kepada PAS bagi menjayakan pertemuan yang sangat-sangat dipandang berat oleh Umno dan ‘pendapat umum’ orang Melayu itu?
Atau kepentingan Melayu - seumpama juga kepentingan Cina, India dan kaum-kaum lain - memang mitos yang diperalatkan sahaja oleh parti-parti politik perkauman demi kepentingan parti, atau dengan lebih tepat kepentingan segelintir manusia dan kroni-kroninya!
Dengan kata-kata lain, kepentingan Umno untuk menyekat penerbitkan Harakah dan menghalang royalti minyak, serta merampas perkataan Islam daripada nama PAS dan pertubuhan Islam lebih penting daripada kepentingan orang Melayu!
...................................................................
Petikan Malaysiakini.com