Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Imej dan politik ‘kepala ikan’

Oleh : Lee Ban Chen

Baru-baru ini, Pemuda Umno ‘melenting’ kerana dibidas Naib Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak supaya pergerakan tersebut membuang imej elit dengan memperhebatkan pendekatan turun padang dan mendampingi rakyat luar bandar.

Bidasan Najib itu dibuat setelah lebih daripada separuh ahli exco Pemuda gagal menyertai program ‘Pemuda Umno Masuk Kampung’ yang bermula di Kampung Baru Kuala Abang, Terengganu - makcik dan pakcik telah menyembelih ayam kampung dan menumbangkan lembu untuk menyambut ‘anak-anak angkat’ yang tidak muncul-muncul walau puas menunggu.

Program Pemuda itu nyata sekali untuk membuang imej elit dengan ‘turun padang’ secara beramai-ramai. Namun kegagalannya untuk berbuat demikian dan akibat saling menuding jari lebih menonjolkan imej elit yang cuba disembunyikannya itu.

Pendek kata, semua pihak tahu imej itu penting tetapi menjaga imej yang ‘baik’ bukan dapat dicapai hanya melalui ‘perhiasan’ atau ‘lakonan’ yang direka-rekakan oleh ‘pakar imej’ semata-mata.

Umpamanya Presiden MCA Ling Liong Sik, memang seorang yang ‘mediocre’. Kerana beliau seorang pemimpin besar bagi parti Cina yang ketiga terbesar kononnya di seluruh dunia selepas di China dan Taiwan, maka imej Ling perlu dipertingkatkan seolah-olah beliau seorang yang pandai berfalsafah.

Justeru itu, ‘ikan mulai busuk dari bahagian kepalanya’ yang diketahui semua suri rumah, setelah diucap melalui mulutnya, maka pengetahuan umum itu boleh dikenali sebagai ‘teori kepala ikan’ Ling Liong Sik.

Kepentingan ‘teori kepala ikan’ Ling itu dalam bidang politik MCA boleh diumpamakan tidak kurang hebat daripada teori relativiti tokoh sains terkemuka Albert Einstein dalam bidang fizik!

Busuk ‘kepala ikan’ MCA

Pada kemuncak kecemerlangan teori tersebut, apabila Ling memberikan huraian tentang teori itu kepada seluruh ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat, setiap wakil rakyat MCA dihadiahkan seekor ikan tembikar untuk memperingatkan mereka agar ‘kepala ikan’ masing-masing tidak menjadi busuk.

Yang ironi sekali ialah beliau sendiri terpaksa mengaku dalam ucapan beliau dalam perayaan ulang tahun ke-52 bahawa “(dirinya sebagai) kepala ikan MCA memang telah busuk.” Imejnya sebagai seorang pemimpin besar yang bersih, beramanah dan pandai berfalsafah itu pun dengan sekali gus berkecai.

“Kalau ikan telah busuk di kepalanya,” tanya Ling kepada ahli-ahli MCA, “bagaimanakah kita dapat mencari penyelesaiannya?” Dengan rendah diri Ling meminta bantuan ahli-ahli parti. Rasanya setiap suri rumah juga mengetahui jawapannya: Buang sajalah ikan yang telah busuk itu ke dalam tong sampah!

‘Teori kepala ikan’ yang pernah membantu mencipta imej palsu Ling sebagai seorang pemimpin besar yang pandai berfalsafah kini sebaliknya telah menjadikannya sebagai tukang lawak yang melucukan. Makin hari makin banyak cerita tentang ‘kepala ikan’ yang telah direka penulis tempatan, akibatnya bukan saja imej Ling, malah imej MCA pada keseluruhannya, jatuh ke tahap yang rendah!

Selain ‘kepala ikan busuk,’ satu lagi ‘imej buruk’ baru-baru ini cuba dipahat secara mendalam ke dalam setiap minda orang ialah pemerintah tentera Taleban di Afghanistan yang sedang memusnahkan secara habis-habisan khazanah budaya Buddha di negara itu - termasuk dua patung purba Buddha di lembah Bamiyan yang tertinggi di dunia, masing-masing 53 meter dan 37 meter tingginya; dan 6,000 patung dan kerja seni Buddha yang tersimpan di Muzium Kabul.

Warisan budaya Buddha di negara itu yang terbina pada abad ke-2 hingga ke-5, dan dikekalkan selama ribuan tahun sebagai khazanah budaya Afgahnistan dan dunia itu tiba-tiba hendak dimusnahkan secara mendadak tanpa mengira pelbagai rayuan dan bantahan.

BN ambil kesempatan isu Taleban

Pendek kata pendirian Taleban lebih keras daripada patung purba Buddha di lembah Bamiyan itu. Mereka langsung tidak menghiraukan pendapat umum antarabangsa dan nampaknya badan-badan antarabangsa juga langsung tidak dapat membuat apa-apa! Di manakah kekuatan akal manusia? Kebijaksanaan dan toleransi agama yang digembar-gemburkan? Nilai dan penghargaan umat manusia terhadap khazanah dan warisan budaya dan agama dunia?

Angkara Taleban itu terhadap warisan Buddha itu memang besar dosanya dan patut dikutuk oleh setiap manusia yang memegang prinsip kebebasan beragama. Semua badan agama di negara kita, termasuk pertubuhan Islam, sepatutnya dengan sebulat suara dan tanpa ragu-ragu mengutuk perbuatan tentera Taleban yang antibudaya dan antikebebasan beragama itu!

Tidak dapat dinafikan perbuatan tidak masuk akal Taleban itu sedikit-sebanyak merosakkan imej Islam pada keseluruhannya dan juga telah mengguriskan perasaan penganut Buddha seluruh dunia.

Dan tidaklah hairan sekiranya ada pemimpin politik Barisan Nasional yang cuba mengambil kesempatan ini untuk memberikan amaran kepada sesiapa yang menaruh harapan kepada parti Islam di negara kita, dengan tidak semena-mena terkait dengan Taleban sebagai contohnya!

Oleh itu, pandai-pandailah menjaga imej masing-masing dalam keadaan semua pihak ingin menangguk di air keruh.

Sekiranya jawatankuasa pilihanraya Cina, Suqiu, boleh digambarkan sebagai pelampau Cina yang mencabar hak-hak istimewa dan ketuanan Melayu, media arus perdana sudah tentu berupaya menggambarkan sesebuah parti Islam sebagai fanatik agama ala Taleban sekiranya kita tidak berhati-hati menjaga imej kita yang baik.

Demikian jugalah halnya tentang media-media yang dikuasai kerajaan yang sedang dengan sedaya upaya menggambarkan parti-parti BA yang tertentu sebagai parti anarki yang cuba menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara dan menggulingkan kerajaan melalui tunjuk perasaan jalanan.

..................................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 10 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com