Sesungguhnya kita merasa amat berdukacita di atas
kejadian atau bala' yang berlaku di Taman Medan
baru-baru ini. Kejadian yang seolah-olah menghampiri
sejarah 13 Mei yang berlaku di Negeri Selangor iaitu
Negeri termaju, termoden dan pesat membangun di bawah
pemerintahan UMNO/BN yang diketuai oleh pemimpin muda
Khir Toyo itu amat membimbangkan kita.
Kita samasekali menolak dakwaan bahawa itu satu
kejadian atau rusuhan perkauman dan kita memang
bersetuju dengan kenyataan pihak Polis bahawa keadaan
negara kini terkawal. Memang juga telah dijangkakan,
sepertimana kejadian di Sauk bahawa akhirnya pihak
pembangkang akan terus dijadikan `kambing hitam' oleh
puak-puak tertentu. Media arus perdana sepanjang malam
cuba mengaitkan krisis ini dengan berbagai isu
termasuk isu perpaduan yang cuba menunjukkan bahawa
PAS dan KeADILan sememangnya tidak mahu kepada
perpaduan. Mereka juga menuduh bahawa parti
pembangkang telah cuba menghasut penduduk-penduduk di
kawasan tersebut dengan mengedarkan risalah-risalah
serta khabar-khabar angin.
Mengapa ini berlaku? Ini tidak lain kerana kekacauan
tersebut berlaku di dalam Negeri Selangor yang
dipimpin oleh Kerajaan UMNO/BN. Jika dahulu kita
dimomokkan dengan cerita dongeng bahawa jika PAS
memerintah, akan berlaku huru-hara antara kaum dan
sebagainya. Tapi, apabila PAS telah memerintah selama
beberapa tahun di Kelantan, alhamdulillah, belum lagi
terjadi kejadian seumpama ini. Oleh itu, kita mulai
berfikir bahawa tidak rugi jika kita memilih kerajaan
Islam yang memerintah dan tidak juga menjamin
kebahagiaan jika kita memilih kerajaan yang hanya
mementingkan pembangunan dan kebendaan semata-mata.
Mungkin kita boleh bayangkan sekiranya krisis ini
berlaku di Negeri Kelantan atau Terengganu. Berapa
tahunkah agaknya isu ini akan dimainkan melalui
media-media massa? Tidak mustahil negeri-negeri ini
akan dijadikan contoh betapa kacaunya jika Islam
memerintah. Alhamdulillah, kedua-dua negeri ini tetap
aman, rakyat berbilang kaum hidup rukun damai. Walau
bagaimanapun, sebagai umat Islam kita harus yakin
bahawa bala' Allah itu tidak akan menimpa orang-orang
yang berlaku zalim semata-mata, tetapi juga akan turut
menimpa kita kerana kita gagal menentang kezaliman
tersebut. Ini terbukti apabila berlaku kejadian di
Taman Medan, semua pihak merasa bimbang dan bersusah
hati. Maka, pimpinan Barisan Alternatif telah
menampakkan kesungguhan untuk cuba menyelesaikan
krisis ini meskipun mereka menyedari bahawa tindakan
murni mereka ini akan dipolitikkan.
Marilah kita bersama-sama berfikir dengan jujur dan
memohon kepada Allah agar memberi petunjuk kepada kita
jalan yang sebenar-benarnya yang diredhai. Janganlah
kita menuduh UMNO, PAS atau KeADILan yang menjadi
punca semua ini. Salahkan diri kita yang masih buta
dan pekak kepada peringatan Allah. Semoga Allah
selamatkan rakyat dan negara tercinta ini dan memilih
pemimpin yang akan mendaulatkan Islam agar kita dapat
melihat betapa janji-janji Allah itu benar belaka.
PENCINTA KEDAMAIAN,
MASSURIA NS