Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia
sangat bersimpati dengan tragedi yang berlaku kepada
jemaah haji di Mina yang baru-baru ini berlaku
kejadian rempuhan ketika melontar jamrah yang telah
menyebabkan 35 orang terkorban. Tragedi seumpama itu
adalah merupakan tragedi yang ketiga dalam tempoh 10
tahun.
Presiden PMIUPM, Misri Haji Bohari berkata, perasaan
simpati dan ucapan takziah adalah perlu yang bukan
sahaja daripada individu malah dari umat Islam seluruh
dunia hasil dari pegangan akidah yang satu.
" Umat Islam perlu mendoakan mereka semua agar mereka
tergolong dalam golongan hamba-hamba yang syahid di
jalan Allah swt " kata beliau.
Menurut beliau, gugur ketika melaksanakan perintah
Allah adalah merupakan suatu kelebihan dan akan
dikurniakan kedudukan yang tinggi di sisi Allah swt.
Disamping itu PMIUPM mengharapkan agar aspek-aspek
keselamatan perlu ditingkatkan dari masa ke semasa
dengan kerjasama dan sumbangan negara-negara Islam
seluruh dunia. Negara-negara Islam bukan sahaja perlu
prihatin terhadap keselamatan jemaah haji di Mina
malah perlu membentuk kebersamaan bertindak
mempertahan keselamatan dan keamanan umat Islam di
Palestin, Iraq dan Kalimantan.
"Mungkin juga tragedi di Mina baru-baru ini merupakan
suatu isyarat dari Allah swt yang menunjukkan bahawa
keselamatan umat Islam kian terancam sekarang dan
memerlukan pembelaan" katanya lagi.