Memartabatkan
Kepimpinan Gerakan Islam Serantau: Satu Pengamatan
Sejarah dan Unjuran Masa Depan
Ucaputama Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd
Noor di Majlis Dialog Gerakan Islam Serantau' di sebuah
hotel di Kuala Terengganu pada 27 Mac lalu.
1.0 Muqaddimah: Menghimbau Sejarah Gerakan
Islam
Ummat Islam amnya dan Gerakan Islam di seluruh
dunia khasnya, sedang bergelut dengan cabaran yang amat
getir dalam fasa perkembangan yang cukup menarik tetapi
amat mencabar. Setiap pengalaman perjuangan samada di
Timur Tengah seumpama Hamas di Palestin, Ikhwan Muslimin
di Mesir, Jordan atau Syria, An-Nahdah Di Tunis,
Al-Jabahah di Sudan, FIS di Jazair, Fadhilat (Refah) di
Turki, mahupun Jamati Islami di benua Indo-Pakistan,
Kashmir atau Afghanistan; kesemuanya sedang mengharungi
ujian yang mencabar kesinambungan survival dan kedudukan
mereka.
Setiap sebuah perjuangan adalah unik dan
mempunyai kelainan, di segi sejarah dan evolusi
perkembangannnya. Setiap satu mempunyai silsilah dan
tajribah yang tersendiri serta kaya dengan rakaman
sejarah jatuh-bangun dalam jihad dan dakwah untuk
mengembalikan Keagungan Islam dan Pemerintahan Islam.
Perjuangan Gerakan Tajdid ini bermula ketika
terungkainya rantaian terakhir Khilafah Othmaniyah di
Istanbul Turki pada 1924 dan bermula era Kolonialisme
Barat lantas melahirkan perjuangan kemerdekaan
negara-bangsa Islam diserata dunia Islam yang
rata-ratanya dipelopori dan dipimpin oleh golongan ulama
dalam Gerakan Islam.
Juga begitu senario perjuangan yang tidak kurang
hebatnya mewarnai wajah dan pentas politik diseluruh
gugusan kepulauwan Melayu atau Nusantara di rantau Asia
Tenggara. Nama nama seperti Sheikh Muhammad Ibn Abdil
Wahab (Saudi), Omar Mukhtar (Libya), Imam Mehdi (Sudan),
Othman danFodio (Nigeria), Badiuzzaman Syed Nursi
(Turki), Imam Ibn Taimiyah, Al-Imam Al- Ghazali, dan
dekad dekad yang menutupi abad ke 20 Masehi diharumi
oleh peribadi peribadi 'mujaddid' seperti Al-Marhum Abul
A'la Maududi, Al-Imam Hassan Al-Banna atau As-Shaheed
Syed Qutb mengharumi sejarah perjuangan Islam di benua
Afrika Utara, Indo-Pakistan dan tanah Arab. Sementara
itu sejarah juga tidak kurang merakamkan kehebatan
perjuangan tokoh tokoh ulama amilin seperti Wali Songo
di kepulauan Indonesia menentang penjajahan Barat
Belanda sepertimana juga ulama ulama ditanah Melayu
umpama Abdul Rahman Limbong, Toku Paloh, Abu Bakar
Al-Bakir dan seumpamanya.
Kegiatan pendidikan dan tarbiyah di Nusantara
pula menampilkan ramai tokoh tokoh ulama seperti Hamzah
Fansuri, Syeikh Nurudin Al-Raniri dan
seumpamanya.Gerakan Islam seperti Masyumi, Nahdatul Islam,
Sarekat Islam dan Hizbul Muslimin ditanah Melayu
mendahului perjuangan partai politik mutakhir dan
kontemporari.
2.0 Evolusi Gerakan Islam Dalam Pensejarahan
Perjuangan Islam
Kalau Alvin Tofler bercakap tentang Tamaddun
Informasi (Tamaddun Gelombang Ketiga) dari segi
perkembangan tamaddun manusia setelah melalui Revolusi
Pertanian dan kemudiannya Revolusi Industri, perspektif
Gerakan Islam lebih cenderung untuk mengklasifikasikan
tahapan Pergerakan Islam sebagai memasukki Gelombang Ke
Lima selepas mengharungi Gelombang Perjuangan seperti
berikut:
i. Daulah Nubuwwah
ii. Khulafa'
ar-Rasyidin Al-Mahdiyin
iii. Khilafah Islamiyah
Pasca Khulafa' Rasyidin hingga 1924
iv. Harakah
Tajdid di zaman Penjajahan-Pra-Kemerdekaan (sehingga
tahun 50an)
v. Harakah Tajdid Pasca Kemerdekaan
sehingga Alaf ke-3 Masehi. (50 tahun).
3.0 Gerakan Islam sebagai penerusan perjuangan
para anbiya
Kalau ulama di takrifkan oleh RasulAllah (saw)
sebagai golongan "warisatul Anbiyaa"- yang meniti
kesinambungan dan mewarisi perjuangan penegakan Kalimah
At-Tauhid dan sistem pemerintahan Tauhid, maka
perjuangan Gerakan Islam yang dipelopori dan dipimpin
oleh ulama amilin ini juga adalah sesuai difahami
sebagai memenuhi janji RasulAllah (saw) seperti yang
termaktub dalam satu hadith:
"Akan senantiasa ada dari ummahku satu
golongan (taifah) yang akan beridir teguh dengan titah
perintah Allah. Mereka ini tidak akan dapat dihina oleh
atau ditundukkan oleh musuh mereka sehinggalah Allah
akan memberikan kemenangan kepada mereka" ...Al-Hadith.
Kewujudan golongan ini juga adalah sesuai dengan
anjuran dan gesaan Allah SWT dalam KhitabNya yang
mewajibkan wujudkan satu golongan yang akan menegakkan
perintah " Al-Amr bil Makruf wa AnNahyu anNil
Mungkar" sebagai asas perjuangan mereka seperti
yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam FirmanNya:
" Hendaklah ada di antara kamu ummat yang
menyeru kepada kebaikan, menuruh dengan Makruf dan
mencegah yang mungkar dan mereka itulah yang
menang"...Ali-Imaran:104.
Golongan inilah yang dapat kita saksikan dalam
tarikh Islami dan pergolakn politik ummat Islam
sepanjang zaman sebagai seolah memenuhi janji Allah dan
Rasul Nya seperti yang termaktub dalam banyak ayat ayat
Allah SWT dan juga janji janji Nubuwaah. Kesinambungan
tugasan para anbiya' ini tersu-menerus dimainkan oleh
golongan ulama amilin yang kelaziman didukungi pula oleh
pendukung dan penyokong mereka
(ashaabud-Dakwah) dalam setiap zaman.
Kalau para an-biyaa' disokong perjuangan mereka oleh
golongan "ar-Ribbiyuun" dan ciri-ciri yang
Allah sifatkan dalam beberapa ayat dalam surah Al-Imran
ayat dari 145-148, maka golongan ummat yang menyambut
panggilan dan seruan Allah dan Rasul (saw)Nya sehingga
akhir zaman juga tetap seharusnya memilikki sifat sifat
pendukung agama Allah SWT.
Golongan yang dewasa ini lebih popular dengan
panggilan Gerakan Islam atau Harakah
Islamiyah samada dengan maksud dan pengertian
satu Kebangkitan atau
Nahdah/Tajdid atau
Resurgence/Revival mahupun Harakah
Islamiyah dalam pengertian satu entiti politik Taifah
(hadith), Jamaah (haith) atau Hizb (Al-Maidah:56) yang
mendukungi proses Tajdid atau Nahdah Islami itu sendiri,
yang pentingnya adalah memahami tugasan dan peranannya
masakini. Saya kira polemik perbincangan ciri-ciri
Gerakan Islam ini sudah berlalu dalam dekad dekad yang
menutupi abad ke-20 Masehi.. Kematangan kepimpinan
Gerakan Islam kini lebih menumpu kepada penterjemahan
dan penghayatan perjuangan dalam mendepani cabaran dan
ancaman 'realiti baru atau the new realities"
dalam cabaran dan persaingan globalisasi yang
semakin getir dan gawat.
Pun begitu, yang hendak saya sebutkan adalah
optimisme dan sikap keyakinan Gerakan Islam terhadap
pertolongan dan Nusrah Allah SWT adalah ciri unggul dan
menonjol dalam penghayatan kepimpinan Harakah Islamiyah
ini. Walau betapa hebat serangan dan kelengkapan musuh
bukan sahaja dalam zaman para an-biyaa'i wal mursaliin,
bahkan lebih ketara mutakhir ini, maka sekiranya kita
perhatikan dalam sejarah perjuangan Gerakan Islam
menentang tentera Israel pada 60an dan 70an di bumi
Mesir atau menentang tentara Rusia di Afghanistan,
kemenangan maseh mampu dikecapi justru kerana janji
Allah SWT seperti yang termaktub dalam Surah An-Nur ayat
55:
" Allah telah menjanjikan bagi orang orang
yang beriman di antara kamu,dan yang mengerjakan amal
soleh, bahawa Allah akan mengangkat mereka sebagai
khilafah di bumi, sebagimana orang-orang telah menjadi
khalifah, dan Allah akan menetapkan agama Islam yang
diridhaiNya untuk mereka, dan akan menggantikan
ketakutan mereka denagn keamanan..."
4.0 Wajah dan Realiti Cabaran Alaf
Baru
Dunia alaf ketiga Masehi membawa erti dan
perubahannya tersendiri. Pastinya tahadiyat (cabaran dan
ancaman) fikri dan perancangan jahat musuh yang didepani
gerakan ulama silam sudah bertukar wajah dengan
perubahan gelombang tamaddun yang berlaku. Perubahan ini
membawa dengannya satu muatan yang sarat dengan cabaran
yang meliputi seluruh tatacara perhubungan sesama
manusia bahkan tamaddun manusia itu sendiri.
Dunia Islam dan Pergerakan Islam juga sedang
berada dalam Tamaddun Informasi cetusan dari perkahwinan
dan 'konvergen' teknologi satelit dan telekomunikasi
dengan komputer. Alaf baru ini meletakkan pentas
persaingan dunia semakin sengit. Dunia tanpa sempadan
bukan hanya sekadar mewujudkan perdagangan global yang
menyaksikan keluar masuk dana antarabangsa, pengurusan
dagangan, kewangan dan perkhidmatan secara elektronik
dan siber. Sekaligus cabaran globalisasi membawa
beberapa penampilan baru disegi pendemokrasian
dan liberalisasi politik, ide, nilai dan
'budaya tanpa sempadan' (global culture) yang
seluruhnya mencari pengaruh, penyokong dan pendukung.
5.0 Gerakan Islam Dalam Persaingan Alaf
Baru
Kita sedang berdepan dengan ujian besar yang akan
mengukur keupayaan dan daya juang Gerakan Islam sehingga
kenafasnya yang terakhir. Pastinya Gerakan Islam sudah
tidak mampu hidup dengan romantisme dan nostalgia silam
kegemilangan sejarah Islam. Gerakan Islam juga telah
memasuki persaingan Alaf Baru. Negara-bangsa terus
bersaing untuk merebut kepemimpinan dunia. Apa yang
disebut sebagai teori sosiologi "Sira'al-Hadhari atau
Clash of Civilization" oleh Samuel Huntington samada
benar atu pun tidak, terus-menerus menentukan percaturan
kuasa dunia selepas tatacara dunia pasca "Perang
Dingin".
Simbol kekuatan Barat yang kini diikonkan oleh
Kuasa Unipolar Amerika Syarikat serentak telah
mengambil senario kuasa hegemoni 'dunia tanpa
tandingan'. Tergantung kepada kesediaan dan
keupayaan Gerakan Islam, akan ditentukan samada ia akan
terus terkesamping dan tersudut, ataukah sebaliknya akan
mampu menampilkan dan mengarusperdanakan satu Paradigma
Alternatif (Alternative Paradigm) kepada kebangunan
semula "Satu Paradigma Politik Baru" - (A New Political
Paradigm) dan "A New Social Order" bagi menandingi
paradigma Sekularisme-Liberal Barat yang semakin pincang
dan sedang mengalami keruntuhan.
Inilah realiti baru yang mesti didepani oleh
Gerakan Islam.
6.0 Gerakan Islam Dalam Pengalaman Politik dan
Pemerintahan.
Fasa keempat pergerakan pembebasan dari
penjajahan Barat menyaksikan Gerakan Islam mengambil
peranan yang utama atau 'centre-stage'. Bagaimanapun,
perancangan jahat penjajah telah memastikan bahawa
kemerdekaan dan kuasa pemerintahan seterusnya tidak
diberikan kepada pimpinan Gerakan Islam. Penerusan
pemerintahan diserata negara Islam diteruskan oleh
golongan nasionalis-sekularis yang telah dipastikan
acuan pemikirannya menepati kehendak penjajah. Ramai
dikalangan pimpinan Gerakan Islam dipenjara, disiksa,
dibuang negera atau dibunuh Gerakan Islam digambarkan
sebagai golongan ekstremis, fundamentalis,
anti-pembangunan, ganas dan disamakan dengan golongan
komunis-atheis. Tajribah dan mehnah ini berlaku samada
di Algeria, Sudan, Libya, Mesir mahupun di Nusantara
sendiri.
Kini dalam fasa kelima, Gerakan Islam sedang
mempamirkan satu penampilan dan pengalaman yang cukup
menarik. Setelah beberapa dekad menyaksikan Gerakan
Islam mengambil pendekatan yang dilihat dan
dipersepsikan sebagai golongan yang hanya mengkritik dan
membangkang dan diberi label yang negatif dan ekstrim,
Gerakan Islam kontemporari merobah pendekatan dan uslub
siasahnya kepada satu yang bersifat "Muwajahah Silmiyah"
(peaceful confrontation) hatta terkadangkali mengambil
beberapa pendekatan inovatif yang syar'e seperti
mengadakan "Tahalluf as-Siyasi" atau "Political
Alliance" sehingga kepada kepada peringkat "Power
Sharing" atau "Musharaqah bil-Hukumah" sekaligus
memberikan ruang dan peluang Gerakan Islam terlibat
dalam pemerintahan dan dilihat oleh rakyat sebagai mampu
memerintah.
7.0 Senario Serantau - Asia
Tenggara
Asia Timur (East Asia) secara amnya dan Asia
Tenggara secara khususnya merupakan satu rantau yang
paling pesat membangun dalam dekad yang terakhir sebelum
menutupi alaf kedua masehi. Sekaligus ia menunjukkan
kepentingan kedudukan strategik rantau ini bukan hanya
di segi perdagangan dan pasaran bahkan dari segi
perhitungan 'geopolitik'. Dalam beberapa dekad yang
mengakhiri alaf kedua, negara negara Asia Tenggara
khususnya Indonesia dan Malaysia, mengecapi pertumbuhan
KDNK melebihi 7-8%. Pacuan pembangunan yang seolah-olah
tidak ada batasan ini mengukuhkan lagi tamaddun Maddiyah
dan pemikiran Sekularisme-Liberal Barat yang seolah-olah
telah berjaya membawa kesejahteraan manusia sejagat.
Agama dan nilai dikesampingkan sementara sanjungan
kepada nilai hidup hedonisme-antiagama semakin membudaya
dan melebar. Keajaiban ekonomi Asia Tenggara ini
akhirnya runtuh dengan sekerdipan mata bermula bulan
Julai 1997 dengan matawang Baht Thailand serta diikuti
oleh negara negara jiran diseluruh rantau
ini.
Di satu segi "Asian Debacle" atau Malapetaka Asia
ini adalah satu yang baik bagi Gerakan Islam. Sekaligus
juga ia telah membawa kepada satu Pembebasan kepada
negara dan khasnya ummat Islam di Indonesia dan
mengembalikan Demokrasi dan Kebijaksanaan pada tempat
yang sewajarnya sebelum penyempurnaan Gerakan Reformasi
atau Islah atau Pembaikan dapat terus dimantapkan.
Begitu juga senario yang disaksikan di Malaysia.
Sekaligus Keruntuhan Ajaiban Ekonomi Asia Tenggara
mendedahkan segala kebobrokan dan kejelekan amalan KKN
kerajaan Umno/Barisan Nasional serta segala siri angkara
politik kezaliman dan pembaziran mereka.
Serentak dengan itu juga berlaku perubahan besar
dalam psikologi ummat dan rakyat yang selama kini
menyangkakan bahawa hanya Umno/BN yang mampu memerintah.
Kelompok pembangkang bersatu dalam satu pakatan tindakan
politik yang tidak pernah disaksikan dalam sejarah
dengan panggilan "Barisan Alternatif" - atau singkatan
BA yang juga menyaksikan satu formula baru dalam wajah
dan landskap politik Malaysia. BA menggemblengkan Partai
Islam SeMalaysia (PAS) dengan rakan rakan dalam Parti
Keadilan Nasional (PKN), Democratic Action Party (DAP)
dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Maka lahirlah disana
satu formula baru dalam politik yang sudah tidak lagi
berteraskan perkauman bahkan berteraskan Prinsip
Keadilan Islam dan Sejagat sebagai "common denominator"
atau dasar pengikat bersama.
8.0 Gerakan Islam Serantau : Menyongsong Satu
Senario Baru
Telah sampai masanya untuk Gerakan Islam di
rantau Asia Tenggara memerhatikan secara lebih serius
dan terancang satu bentuk pakatan dan sinergi yang lebih
erat dan bermakna. Dunia tanpa sempadan dan pengurusan
yang lebih berteraskan networking dan rangkaian
seharusnya dan pertama-tamanya mesti diamalkan dan
dibudayakan dahulu oleh Gerakan Islam. Ketika dunia yang
telah semakin mengecil dengan telekomunikasi semakin
canggih dan pantas, Gerakan Islam masih jauh dari
mengagendakan satu Pelan Tindakan yang menstrategikan
networking secara paling berkesan, ekstensif dan
menyeluruh. Kalau Al-Afghani bercakap dengan retorika
Pan-Islamisme dalam dekad 50an berdasarkan kemaslahatan
negara orang Islam, maka hari ini, Kepimpinan Gerakan
Islam tidak ada alasan untuk merealisasikan visi ini
dengan pendekatan yang wajar dan paling
realistik.
Dialog Gerakan Islam Serantau ini, dengan
mengangkat agenda "Memartabatkan Kepemimpinan Gerakan
Islam Serantau" adalah satu titik lonjakan ke arah
mengisi aspirasi ini. Gerakan Islam perlu mengenalpasti
bentuk persefahaman yang mampu dicapai pada tahapan
tertentu. Mengappresiasi realiti dan cabaran ummat di
negara negara samada di mana kita majoriti atau
sebaliknya minoriti adalah wajar dan perlu. Pastinya
pendekatan dan juga bentuk permaslahan yang dihadapi
dalam dua suasana orang Islam ini adalah juga berbeza.
Perkara ini mungkin lebih dekat dan asas dan perlu
ditangani segara serta mendapatkan sokongan moral dan
ide kawan kawan dari negara lain.
Ancaman kerajaan sekularis dan anti-agama
mengambil pendekatan yang berbeza-berbeza tergantung
pada tahap kekuasaan dan amalan demokrasi mereka.
Disamping itu saya mengharapkan Dialog ini juga perlu
untuk menyongsingi beberapa aspek visi dan misi yang
bersifat 'strategik' dan konsepsual, supaya seluruh
peserta mampu menghayati bersama tasawur yang lebih umum
dan besar yang dikongsi bersama. Bentuk kerjasama di
antara Gerakan Islam dirantau ini dikirakan tidak
terbatas kepada mana mana bidang tertentu. Menelah
secara sepintas lalu, saya kira agenda agenda berikut
boleh disusuli kemudian secara terperinci. Namun,
sentuhan awal perlu dilakukan secara prinsip dan tasawur
dahulu dalam Dialog ini.
i. Politik dan International/Regional
Relation: Memenafaatkan sepenuhnya yang sedia ada
dan menubuhkan yang baru seandainya perlu bagi memenuhi
keperluan baru bagi memperbaiki imej dan penampilan
Gerakan Islam. Kegiatan promosi dan i'lam yang saling
memperkukuhkan satu sama lain adalah yang paling minima
sementara mewujudkan persefahaman polisi dan strategi
serantau adalah terpaling baik.
ii. Pendidikan: Mewujudkan MOU diantara
institusi institusi pendidikan Gerakan Islam supaya
saling mengukuhkan antara satu sama lain di bidang
kajian Agama, Perubatan, Pengurusan, Teknologi dsbnya.
iii. Penyelidikan dan Pembangunan di segi
aspek strategik seperti geo-politik, kejuteraan sosial,
alam sekitar, sinergi penyelidikan dalam teknologi
mapping dan forecasting kepakaran ahli gerakan islam.
iv. Kerjasama dalam bidang ekonomi dan
perdagangan dua hala diantara syarikat usahasama untuk
saling mempromosikan dagangan kedua-dua pihak.
v. Kerjasama dalam bidang kewangan Islam
perbankan dan pembiayaan aktibiti ekonomi dalam
usaha Gerakan Islam mengarusperdanakan Fiqh Muamalat
dirantau ini seperti memperkukuhkan Investment-Banking
dengan menguruskan kewangan dan pelaburan ummat Islam di
rantau bahkan di seluruh dunia.
vi. Kerjasama dalam menubuhkan syarikat
untuk memajukan perladangan contohnya kelapa sawit dan
juga eksploitasi sumber alam seperti pembalakan dan
minyak dan gas dsbnya.
Telah sampai waktunya Gerakan Islam mesti
memecahkan kerangka lama dan paradigma berfikir hanya
untuk negara-bangsa sendiri. Bahkan dengan cabaran
globalisasi dan dunia tanpa sempadan di alaf baru kini,
keupayaan persaingan dan potensi ummat Islam dapat
diserlah dan dimenafaatkan dengan lebih berkesan lagi
dengan cara dan uslub sinergi dan networking sesuai
dengan tuntutan Allah SWT dalam Surah Al-Maidah
:2:
"Dan bekerjasamalah kamu dalam berbuat
kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu
bertolong-tolongan berbuat dosa dan permusuhan dan
takutlah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat keras
siksaan-Nya."