Saya mengandaikan perbincangan Melayu PAS-UMNO hampir pasti akan gagal kerana
UMNO tidak akan memberi ruang kepada PAS dan BA untuk mendapat manfaat daripada
perbincangan tersebut. Syarat-syarat yang ditetapkan PAS pasti tidak akan
dipenuhi UMNO bahkan UMNO memang tidak terlintas langsung mahukan sesuatu
membawa hasil yang baik kepada orang Melayu keseluruhannya melainkan untuk
kepentingan UMNO semata-mata.
Seperti sebagaimana banyak pendapat penganalisis politik, perbincangan tersebut
dianjurkan kerana kegawatan yang dihadapi UMNO dan strategi Dr M ingin
mengukuhkan kedudukannya ketika UMNO sedang menghadapi pemilihan Bahagiannya
seluruh negara ketika ini. Pada UMNO, gagal atau berjaya perbincangan tersebut
bukan untuk orang Melayu keseluruhannya tetapi untuk UMNO semata-mata. Sekiranya
perbincangan tersebut gagal untuk diadakan, maka ia akan dijadikan “prelude”
dan “justification” kepada tindakan yang dirancang akan diambil terhadap BA
terutama PAS. Jadi, ada atau tidaknya perbincangan tersebut, BA terutamanya PAS
akan dipastikan tidak akan mendapat manfaat atau akan dipersalahkan. UMNO sedar
bahawa untuk mengatasi BA adalah dengan memecahbelahkan parti-parti dalam BA.
Beberapa perancangan telah dibuat dan keadaan tertentu telah dieksploitasi namun
BA semakin bersatu dan menjadi semakin matang. Keadaan ini lebih menggerunkan
UMNO dan BN. Perancangan dilakukan untuk menakutkan !
orang ramai terutama kaum Cina terhadap BA namun gagal juga. Perancangan
mengadakan skandal di dalam parti BA terutama PAS telah dihebahkan seperti
di-Kelantan (small scale attack melalui “audit report”) tetapi juga gagal
mempengaruhi sokongan terhadap BA dan PAS. Ketidakberkesanan BA terutama PAS
untuk memerintah dan mengurus juga telah dibongkar dengan memaparkan berita
kerugian anak-anak syarikat PKINK dan baru-baru ini saman sebuah syarikat
terhadap Kerajaan Kelantan tetapi masih tidak juga dapat mempengaruhi orang
ramai. Media massa bekerja habis-habisan untuk memburukkan BA terutama PAS namun
keadaan sokongan terhadap BA tetap tidak berubah malah bertambah seperti
keputusan di Lunas dan meluasnya pengaruh BA dengan bertambahnya cawangan
Keadilan dan PAS.
Jadi, apa lagi yang tinggal pada Dr. M dan kuncu-kuncunya? Tangkap dan Simpan?
Faktor-faktor di bawah adalah indikasi menggambarkan bahawa “grand design” Dr.
M masih dan sedang berjalan:
1. Saudara Ezam sudah ditangkap dan reaksi orang ramai, penyokong BA serta
momentum program dan tindakan BA dikaji kini. Awas Ezam dalam perbicaraan.
“Implication” strategi akan terus cuba digunakan untuk membabitkan seluruh BA.
2. PAS mesti dilemahkan. Untuk melemahkan PAS, pemimpin atasan mesti ditangkap
tetapi terlalu sensitif. Orang Melayu dan penyokong PAS tidak akan membiarkan
begitu sahaja. Sesuatu mesti dilakukan untuk menggambarkan BA terutama PAS
adalah tidak rasional, ganas dan tidak boleh dibawa berbincang. Fasa pertama
sedang berjalan kini – “Perbincangan Melayu PAS-UMNO”.
3. Sokongan pihak luar terutamanya sokongan kerajaan kuasa besar sedang diagih.
Perancis sudah menyatakan kegusarannya terhadap pengaruh Islam di Malaysia
melalui seorang Menterinya.
4. Media yang kuat mengkritik BN/UMNO mula ditekan dan ditakutkan dan operasi
besar-besaran mengesan identiti sudah dan sedang berjalan. Yang tinggal berkesan
kini media internet. Serangan “hacking” sudah bersedia. “Jamming” akan
dilancarkan bila berlaku operasi. Mengesan Webmaster masih berjalan. Awas
Webmaster.
5. Kekuatan sumber kewangan BA terutama PAS akan cuba dibendung dengan menahan
pemberian projek dan ruang perniagaan kepada mereka-mereka yang menyokong BA
terutama PAS. Mereka dijangka masih tidak dapat menyekat dan menangani sumber
ini kerana sumber kewangan adalah dari pelbagai sumber dan BA terutama PAS masih
mampu mengumpul sumber kewangannya dan mampu bergerak dengan pengalaman yang
sedia ada.
6. Mereka masih mencari “inside figure” yang boleh dibawa berunding yang
mempunyai kelemahan peribadi untuk memecah belah dari dalam. Awas BA terutama
PAS.
Bagi Dr. M sememangnya perjuangannya belum selesai sehingga musuh politiknya
kecundang dan hancur hayatnya dikandung badan.
…..Warga KL