Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pertemuan Perpaduan: Apa Disebalik Kesungguhan UMNO?

Pertemuan Perpaduan: Apa

Pertemuan Perpaduan: Apa

Disebalik Kesungguhan UMNO?

Oleh

Ust Zaharuddin Hj Abd Rahman

zaharuddin@yahoo.com

 

Satu persoalan yang sering bermain di pemikiran kita semua, termasuklah para pimpinan PAS serta ahli tidak ketinggalan juga beberapa pimpinan UMNO dan ahli-ahlinya. UMNO sebelum ini terkenal dengan sifat tidak ingin berbicara ( muzakarah ) dengan PAS walaupun telah dijemput berkali-kali oleh PAS samada secara rasmi (dengan jemputan bersurat) mahupun sebaliknya. Semua ajakan dan seruan PAS ditolak mentah-mentah oleh UMNO dengan begitu angkuh dan bersahaja.

 

Tahun 2001 mencatatkan kepelikan dan keajaiban apabila UMNO pula cuba mengambil alih peranan PAS sejak sekian lama, iaitu menjadi pencadang kepada pertemuan (muzakarah ) PAS-UMNO. Berlainan dengan UMNO, PAS sebagai sebuah gerakan Islam bersetuju pada dasarnya untuk mengadakan pertemuan tersebut tetapi juga sebagai sebuah parti politik yang kuat, PAS telah mengambil sikap berhati-hati dan penuh strategi dalam menyahut ajakan UMNO tersebut. UMNO yang menguasai media massa sudah pasti akan mengeksploitasikan seluruh media negara untuk mendapatkan ‘political milage’ dari pertemuan tersebut. Memandangkan perkara strategi pertemuan ini adalah ‘amrun ijtihadiy’ lalu kaedahnya terpulang kepada kebijaksanaan dan penelitian ‘ijtihad’ pimpinan parti Islam SeMalaysia (PAS), lalu kepimpinan PAS telah meletakkan beberapa syarat yang kira-kiranya bertujuan untuk mengelakkan penipuan UMNO. Ini juga perlu bagi menghalacarakan tujuan pertemuan kepada matlamat tertentu serta dimaklumi rakyat umum.

 

Keadaan kelihatan mulai ‘goncang’ apabila Dr. Mahathir dan Tan Sri Khalil Yaakob yang mewakili UMNO dalam Pertemuan Jawatankuasa Teknikal tidak ingin meletakkan SEBARANG AGENDA dalam pertemuan tersebut, keadaan ini mengizinkan ‘percambahan’ andaian-andaian tersirat UMNO dalam minda ahli politik, pengamat politik dan pimpinan PAS terutamanya. Apa yang mudah difahami adalah pertemuan tanpa agenda tentunya tidak terarah dan sukar mencapai sebarang keputusan. Lalu sejak itu, hasrat UMNO tadi perlu dinilai secara tersirat dan tersurat. Tanda-tanda tersirat politik UMNO semakin jelas apabila Dr. Mahathir membocorkan perjanjian antara kedua-dua Jawatankuasa Teknikal PAS dan UMNO apabila beliau menghebahkan kepada media berkenaan keputusan mesyuarat teknikal pertama pada 8 Februari 2001. Perkara ini telah disepakati oleh SU Agung kedua-dua Parti untuk dirahsiakan sehingga masa yang akan ditentukan. Justeru tanda keikhlasan UMNO sudah tercarik dengan tindakan Presidennya sendiri, akhirnya pertemuan ditangguh.

 

Apa yang ingin diperbincangkan dalam tulisan ini sebenarnya adalah ‘MENGAPA UMNO TERLALU BERSUNGGUH DALAM PERTEMUAN INI?’ Kita tidak ingin membaca atau mendengar lagi sebab-sebab tersurat yang dicanangkan UMNO kerana telah beribu kali diulanginya di dalam media tempatan. Justeru berikut adalah beberapa pandangan dan andaian peribadi terhadap asbab tersirat kepada kesungguhan UMNO.

 

1. Memulihkan Ekonomi Malaysia Yang Semakin Meruncing.

 

Sebagaimana di nyatakan oleh kepimpinan Barisan Alternatif ( BA) bahawa Malaysia mungkin akan menuju kegawatan ekonomi sekali lagi. Dr. Mahathir sebagaimana diketahui ramai begitu menjaga imej pemerintahannya melalui kejayaan-kejayaan ekonomi dan pembangunan material. Lalu sekiranya target ini gagal, lemah longlailah kepimpinan beliau.

 

Secara ringkas, kerumitan ekonomi Malaysia ini dapat dilihat daripada beberapa perkara antaranya:

 

a. Nilai Dagangan Harian (Daily Trade Value) di Bursa Saham KL yang semakin mengecil.

Nilai harian pada 28 Februari hanyalah RM 192 Juta berbanding Singapura RM 334 juta pada tarikh yang sama.

 

Selain itu, Market Capilatization Bursa Saham Kuala Lumpur pula semakin menurun bulan demi bulan. Indikator dari Unit Perancang Ekonomi menunjukkan pada Januari 2000 Market Capilatization BSKL mencecah RM 700 billion (USD 184 B) jatuh kepada RM 505 Billion (USD 133 B) pada Disember 2000 dan jatuh lagi kepada RM 450 Billion (USD 118.4 B) pada Januari 2001. Keadaan ini jelas memeperlihatakan kerapuhan Urus Niaga di BSKL.

 

b. Nilai Pelaburan ( investment ) dan Dana Asing Keluar yang ketara.

 

Laporan Majlis Tindakan Ekonomi Negara memaparkan bahawa jumlah dana pelaburan masuk semakin berkurangan. Ianya seperti berikut :

 

Indicator/Tahun

1998 ( Billion )

1999 ( Billion )

MITI-Kelulusan Pelaburan(approved Investment)

RM 26.4

RM 16.9

Permohonan ( Application )

RM 18.9

RM 14.03

Jadual 1 : Permohonan dan Kelulusan Pelaburan Malaysia

 

Manakala dana keluar pula begitu banyak keluar. Laporan MTEN daripada EPU mencatatkan kira-kira RM 14.1 Bilion telah keluar dari Oktober 2000 sehingga November 2000. Jumlah ini adalah cukup ketara.

 

c. Indikator Ketidakpercayaan Pelabur dan Asing Terhadap Malaysia

 

Imej Malaysia tergugat agak serius apabila begitu banyak media dan pengkaji ekonomi Barat menghentam Malaysia serta kepimpinan Dr. Mahathir. Apa yang terus menyedihkan lagi adalah sehinggakan Kapal Terbang Asing juga terus menjauh daripada singgah di KLIA yang bernilai RM 9 billion. Setakat ini beberapa syarikat penerbangan asing telah membatalkan jadual persinggahan mereka di KLIA iaitu:

a. All Nippon Airways (Mulai Mac 2001).

b. British Airways(Mulai Okt 2000)

c. Qantas Australia Airlines ( April 2000 )

d. Lufthansa German Airlines (September 1999)

 

Menurut laporan MTEN, bilangan penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) menunjukkan penurunan seramai kira-kira dari 1,5 juta orang pada Disember 99 kepada 1,3 juta pada November 2000. Jelas bahawa Lapangan Terbang Malaysia (KLIA) yang bernilai RM 9 Billion tersebut masih tidak berkesan untuk menggalakkan KLIA disinggahi Penerbangan Asing dan para penumpang.

 

Komentar-komentar berikut pula pasti menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

 

 

1. Fund manager di TALCAF Global Asset Management

“We Would like to see (genuine) improvements to corporate governance, tranparency, political stablity and increasing trends of returns on equity “

 

2. Foreign Analyst at Major U.S Investment Bank

“ From my disscussion with the fund managers, I gauge that they are mainly waiting for the old man ( Pirme Ministers Mahathir Mohammad) to go”

 

3. Independet Strategy London

“Malaysia has the potential to set itself aside from the south-east Asian morass. But it won’t until it embraces the drivers of the new economy. That means establishing the rule of law, hand off government and transparency of policy and corporate governance. Right now Malaysia is closer to Jakarta on these issues than To superlative little Singapore. THAT MAKES MALAYSIAN FINANCIAL ASSETS TOO DAMN RSIKY FOR US TO RECOMMEND TO ANYBODY”

 

“… and Malaysia won’t be ‘tiger’ again either until new political paradigm takes over. THAT’S WHY WE DON’T WANT TO BE INVENSTED THERE UNTIL THEN”

 

 

 

 

 

 

 

d. Rizab Luar Negara (External Reserves ) Yang Berkurangan Setiap Bulan

 

Laporan Majlis Tindakan Ekonomi Negara daripada ( Unit Perancang Ekonomi (EPU) menunjukkan indicator Rizab Negara menurun setiap bulan iaitu daripada USD 34 Billion ( 6 bulan ‘retain Imports’) kepada hanya USD 29 Billion (4 bulan ‘retain imports’). Malah berkurangan setiap bulan.

 

Lalu, persoalan kerumitan ekonomi mesti diselesaikan segera oleh Dr. Mahathir sebelum menjadi semakin parah. Pertemuan antara beliau dengan PAS mungkin ingin dijadikan landasan untuk memulihkan pandangan dan persepsi para pelabur asing dan tempatan. Ini perlu untuk memaparkan keutuhan dan kestabilan politik Malaysia kepada dunia iaitu apabila UMNO dan PAS boleh duduk semeja dan mengadakan perundingan. UMNO tidak mampu menyakinkan para pelabur tetapi PAS dan BA sebagai satu gabungan yang memegang kuasa politik baru Malaysia tentunya berkemampuan. UMNO kiranya ingin menumpang di bawah nama PAS dan BA sebenarnya.

 

2. Membebaskan Anwar Ibrahim Sebelum Parah.

 

Kesihatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ( DSAI ) yang kian parah juga mungkin salah satu sebab Dr. Mahathir/UMNO terlalu bersungguh dan segera mengadakan pertemuan. Andaian menyatakan bahawa berlaku kebimbangan di kalnagan UMNO sekiranya DSAI menjadi lumpuh atau menemui maut di dalam penjara, jika hal sedemikian berlaku seduah tentu rakyat tdiak akan berdiam diri, sokongan golongan atas pagar dsan penyokong mereka juga mungkin akan berpaling tadah dan lebih teruk lagi dibimbangi berlaku demonstrasi terbesar atau lebih buruk dari itu di seluruh Malaysia yang akhirnya akan menjatuhkan Dr. Mahathir secara bukan pilihanraya. Seperti yang berlaku kepada Joseph Estrada dan Suharto.

 

Lalu untuk membebaskan DSAI secara begitu sahaja tanpa keuntungan politik mungkin adalah jalan yang kurang cerdik dalam pertimbangan politik, justeru untuk tujuan tersebut medan pertemuan PAS-UMNO yang segera mungkin boleh digunakan untuk membebaskan DSAI dengan UMNO mendapat ‘political milage’ yang sewajarnya. Bagaimanapun ini hanyalah andaian semata-mata.

 

3. Dr. Mahathir Ketandusan Kepimpinan Pelapis.

 

Sebagaimana yang telah dimaklumi umum, kekayaan segelintir indivdiu yang rapat dengan pimpinan utama negara yang melampau, hal ini bukan sahaja dikecam pimpinan BA bahkan juga Badan Bertindak Melayu (BBM) yang diketuai oleh Dato’ Ibrahim Ali. Terdapat ahli-ahli pemidato Himpunan ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia’ yang terang-terang membidas kautan projek besar melebihi satu oleh individu-individu tertentu dalam UMNO.

 

Untuk mengimbas kembali harta minimum inidvidu terpilih yang biasanya disebut kroni (tinjauan pelaburan di Bursa Saham KL). Antara individu pilihan adalah seperti berikut :

 

Mirzan - RM 825 juta

Mohkzani - RM 210 juta

Mukhriz - RM 11 juta

Tan Sri Halim Saad - RM 5 Billion

Tan Sri Francis Yeoh - RM 3 billion

Tan Sri Tajudin Ramli - RM 2 billion ( Hasil jualan saham MAS

dan nilai saham lain)

 

Demi menjaga kepentingan ini, siapakah yang boleh diharapkan oleh Dr. Mahathir terutamanya menjaga kepentingan anak beliau. Sudah tentu hampir semua pempinan tertinggi UMNO mengetahui hal ini tetapi hanya menunggu masa. Bayangkan individu seperti DSAI yang mengetahui pelbagai kepincangan etika pengurusan semasa menjawat jawatan no. 2 negara disumbat penjara tanpa sebarang peluang menghebahkan berita buruk mereka kepada umum. Lihat sahaja berapa banyak maklumat dalaman yang disimpan oleh Sdr Ezam Md Noor.

 

Justeru kemungkinan jika BA memerintah selepas Dr. M, BA mungkin tidak dapat membongkar seluas-luasnya penyalahgunanaan kuasa dan penyelewengan berbanding sekiranya jatuh ke tangan pimpinan UMNO yang menyimpan perasaan marah kepada Dr.M serta menunggu masa bertindak. Kerana itulah Dr.M terlalu bersungguh ingin menaikan imej BA untuk memerintah Malaysia, biarlah asalkan bukan pimpinan UMNO yang dimaklumi menyimpan marah terhadap Dr.M. Sekali lagi, ini hanyalah pandangan bebas yang andaian yang mungkin benar dan mungkin tidak.

 

4. Meredakan Demonstrasi dan Kempen Berkesan BA.

 

Demonstrasi-demontrasi aman dan ceramah-ceramah umum BA terutamanya PAS dan KeAdilan begitu merisaukan Dr.M dan UMNO. Dr. M sememangnya benci kepada sebarang perhimpunan yang menghentam beliau serta mendedahkan kelemahan kerajaan pimpinannya. Demonstrasi aman kembali segar terutamanya dengan kejayaan perhimpunan 100,000 rakyat di Jalan Kebun. Demonstrasi ini cukup menggentarkan Dr.M. Sambutan kakitangan kerajaan semasa Majlis Penyerahan Memorandum Royalti Minyak Terengganu serta Perhimpunan Raya 100,0000 sudah tentu sangat mencemaskan UMNO. Kebangkitan rakyat amat sukar dibendung dan setiap kali perhimpunan diadakan maka semakin kurang kepercayaan pelabur asing terhadap keutuhan kepimpinan Dr.M.

 

Lalu, demi mengurangkan Demonstrasi Aman BA ini berkemungkinan Dr.M /UMNO mengharapkan, mereka boleh menggunakan platform pertemuan PAS-UMNO untuk menghentikan sebarang demonstrasi dan kempen ceramah-ceramah perdana BA terutamanya PAS. Mereka sangat mengetahui bahawa orang muda terutamanya ‘orang muda intelek’ seperti Mahasiswa/I IPTA dan Swasta semakin menolak mereka serta begitu celik melihat kepincangan mereka. Justeru, perkara ini juga mungkin menjadi penyebab kesungguhan UMNO dalam pertemuan PAS-UMNO yang dicadangkan.

 

5. Menagih Kepercayaan Masyarakat Melayu Yang Telah Hilang.

 

Perkara ini mungkin sudah ramai yang membuat andaian. Ia berikutan UMNO hanya mampu memungut undi Melayu sebanyak 40 % di seluruh Negara. Lalu sesuatu yang agung dan kelihatan ’jaguh’ Melayu perlu dibuat selepas kesilapan menghentam Melayu dahulu. Orang Melayu sentiasa ingat penghinaan Dr.M dan UMNO terhadap Melyau dengan mengatakan Melayu Lembap, Prof Melayu tidak mempunyai kelayakan sebenar, Prof. Melayu bak Kangkung, Mahasiswa Melayu tidak bijak dan hanya pandai berdemonstrasi, Usahawan Melayu lemah dan manja kerana hanya mengharapkan bantuan kerajaan dan pelbagai lagi.

 

Harapan mereka sebelum ini hanya kepada kaum Cina, lalu pujian kepada kaum Cina diungkap sehingga dikatakan boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia, Orang Cina pintar berniaga serta sangat banyak membantu pemulihan ekonomi Malaysia dan pelbagai lagi. Hasilnya amat mendukacitakan Dr.M iaitu BN kalah di Kawasan Cina di Pilihanraya Kecil Telok Kemang ( DUN Lukut ), kalah pula di Lunas. Ini bermakna Cina yang diharapkan pun sudah enggan maka terpaksalah berpatah balik menagih kepercayaan Melayu dengan membawa isu perpaduan Melayu. Lebih malang apabila retak di dalam MCA kian membesar dengan konflik dalaman Ling Liong Sik dan Lim Ah Lek dan penyokong-penyokong mereka.

 

Kaum India yang berpegang dengan mereka juga retak apabila MIC tidak boleh bersama IPF dibawah pimpinan Datuk M. Pandhitan.

 

Mungkin Dr.M/UMNO sudah sedar pergantungan mereka kepada undi Melayu tidak boleh dipandang enteng lagi, undi Cina dan India yang diharapkan juga semakin merosot. Sebab itulah Dr.M beriya-iya benar membuktikan beliau sangat percaya kepada kekuatan Melayu dan beliau adalah ‘Jaguh Perpaduan Melayu’ yang perlu diundi terus!. Melayu tidak bodoh !!

 

6. Memecah belahkan Barisan Alternatif.

 

Ini juga satu andaian yang telah dipopularkan oleh para pendokong dan penyokong BA. Apa yang diharapkan, DAP, PRM akan merasa tidak senang dengan jemputan UMNO terhadap PAS dan KeADILan kerana berlaku peminggiran kedua-dua parti tersebut. Usaha mereka ini gagal. Lalu kemudian mereka mengharapkan pula boleh melaga-lagakan pimpinan PAS dan KeADILan akibat kelihatan berlainan pendirian. Ternyata percubaan tersebut juga gagal.

 

Apabila gagal memecahkan BA, mereka cuba pula untuk melaga-lagakan kepimpinan PAS terutamanya Dato’ Fadzil Mohd Noor dengan Hj Mahfuz Omar. Apa yang ingin saya nyatakan ‘Statement’ Ketua Pemuda PAS yang menghentam sikap ‘penyamun’ dan ‘pembohong’ UMNO dalam keadaan PAS Pusat bersetuju tidak lain seperti kisah pencuri yang telah dikenali ramai dengan Ketua Kampung bersama anaknya yang cerdik.

 

Suatu hari, si Pencuri menziarahi Ketua Kampung. Ketua Kampung mempunyai anak yang bijak. Lalu ketika si Pencuri tersebut berada di muka pintu, sebagai Ketua Kampung yang beretika, beliau terpaksa menyambut kedatangan si pencuri walaupun beliau mengetahui yang datang tersebut adalah ‘seorang pencuri’. Bagi memastikan si pendcuri tidak mencuri di rumah beliau, Ketua Kampung telah menyuruh anaknya berteriak kepadanya di hadapan si pembohong tadi, dengan kata ”Ayah mengapa kita jumpa orang yang suka mencuri ni ayah?

 

Kata-kata tersebut bukanlah bercanggah dengan si ayah yang membenarkan si pencuri masuk ke dalam rumah tetapi hanya ingin mengingatkan si pencuri bahawa beliau sudah dikenali dengan sifat jahatnya lalu janganlah cuba-cuba ingin mencuri semasa kedatangannya ke rumah Ketua Kampung.

 

Begitulah bentuk sikap dan ayat-ayat Ketua Pemuda PAS pada hemat saya, yang tidak lain hanyalah memberi ‘warning’ kepada UMNO supaya menjaga kejujurannya dalam pertemuan dengan PAS.

 

Demikianlah beberapa pandangan bebas yang mungkin boleh dinilai dari pelbagai dimensi dan perspektif. Penulis mengandaikan, kerana sebab-sebab yang tersebut ditambah pula dengan sebab-sebab yang telah pun diulas oleh pelbagai pihak, maka Dr. M tiada pilihan kecuali mesti segera membuat ‘political movement’ yang bijak agar beliau tidak tersungkur dalam waktu terdekat ini.

 

Ust. Zaharuddin Hj Abd Rahman

zaharuddin@yahoo.com

2 Mac 2001

 

 

 


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 8 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com