Parti Keadilan Nasional [keADILan] memandang berat sikap kerajaan Malaysia yang masih tidak mahu mempertimbangkan atas dasar peri kemanusiaan terhadap permohonan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan rawatan terbaik bagi sakit yang sedang dideritainya.
keADILan amat berharap agar kerajaan Malaysia tidak terus menutup ruang bagi Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjalankan pembedahan di luar negeri atas tanggungan perbelanjaan peribadi semata-mata atas sebab beliau sedang menjalani hukuman penjara. Dato’ Seri Anwar masih belum lagi melalui proses rayuan ke atas hukumannya dan selama ini dinafikan hak untuk diikat jamin.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah melalui pelbagai pengalaman pahit sejak ditahan oleh polis pada malam 20 September 1998. Pembelasahan oleh Ketua Polis Negera pada ketika itu ke atasnya tentu telah meninggalkan kesan ke atas dirinya. Kini pihak berkuasa pula melengah-lengahkan tindakan serta keputusan berkaitan dengan permohonan itu, dan kemudian meletakkan kesalahan ke atas Dato’ Seri Anwar. Ini adalah suatu keadaan yang amat tidak adil.
Dato’ Seri Anwar dan keluarga telah memberikan jaminan bahawa beliau hanya memerlukan pembedahan kaedah endoskopi di Klinik Alpha, Munich dan bersedia segera dibawa pulang ke tanahair setelah semuanya sempurna dilaksanakan. Kalau beliau dianggap sebagai seorang banduan sekalipun; apakah hak asasi beliau untuk mendapat rawatan kesihatan menurut pilihan dirinya harus dinafikan begitu sahaja?
Oleh itu atas nama Majlis Pimpinan Tertinggi keADILan, saya sekali lagi memohon agar kerajaan Malaysia mempetimbangkan permohonan Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas dasar peri kemanusiaan dan hak asasi beliau. Sebagai seorang insan beliau harus diberi peluang untuk mendapat rawatan yang terbaik demi memulihkan kesihatan dirinya kepada keadaan sedia kala. Ketepikanlah soal politik atau sebarang dendam terhadap beliau kerana kita kini berdepan dengan seorang pesakit yang perlu dibedah dan diubati segera dengan sebaik-baiknya.
MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Nasional [keADILan]