Aman Rais
Setelah setahun setengah tidak menghadiri ceramah politik, dua hari lalu penulis menghadiri ceramah ijtimak PAS Selangor di markas Taman Melewar, Gombak - dan terkejut besar!
Ceramah politik terakhir yang penulis hadiri adalah dua hari sebelum pilihanraya umum ke-10 pada November 1999 di Hulu Kelang. Suasana ketika itu panas, mood pilihanraya sedang memuncak dan tidak hairan lebih 30,000 orang berhimpun untuk mendengar celoteh Mohamed Azmin Ali, Zainur Zakaria dan peguam Zulkifli Noordin.
Bagaimanapun suasana sekarang berbeza, pilihanraya umum masih jauh. Publisiti untuk majlis itu ala kadar sahaja - tiada kain rentang besar di seluruh penjuru Lembah Kelang, tiada hebahan di radio atau televisyen dan tiada Siti Nurhaliza, Erra Fazira atau KRU tetapi kehadiran pada malam Ahad lalu itu amat mengejutkan.
Dewan dua tingkat markas PAS itu penuh sesak, sementara di luar ribuan manusia duduk bersila mendengar ceramah Abdul Hadi Awang, Hassan Shukri, Mohamad Sabu serta celoteh pengerusi majlis Datuk Dr Hassan Ali.
Sepanjang jalan - di luar dewan - dipenuhi gerai-gerai menjual makanan, ubat tradisional dan herba, kaset dan video cakera padat (VCD) politik, buku-buku agama, majalah dan akhbar-akhbar alternatif. Orang ramai bersesak-sesak - dianggarkan antara 10,000 hingga 15,000 orang berada di sekitar kawasan majlis itu.
Jalan masuk ke Taman Melawar sesak, hadirin terpaksa meletakkan kereta beberapa kilometer jauhnya. Mujurlah tiada sekatan jalan raya atau kenderaan meriam air (water connon) FRU menunggu. Penulis langsung tidak menyangka suasana yang sebegini rupa selepas pelbagai larangan dikenakan terhadap ceramah-ceramah politik di seluruh negara.
Barangan tidak laku
Senario ini mengimbau nostalgia sebelum pilihan raya umum ke-10. Keadaannya sama - rakyat begitu bersemangat memberikan sokongan kepada parti-parti Barisan Alternatif, bagaikan kelkatu yang mengejar cahaya selepas senja, begitu mereka menghadiri majlis-majlis ceramah setiap malam, tanpa jemu.
Mengapa mood rakyat masih tidak berubah - sebaliknya hasrat untuk melihat perubahan dalam negara semakin membuak-buak? Pelbagai usaha telah dibuat oleh Umno untuk memenangi hati orang Melayu. Dibangkitkan isu ketuanan dan perpaduan Melayu, ditubuhkan Puteri Umno, dimain-mainkan isu perkauman serta agama dan isu terbaru, dibuka keahlian Umno kepada sekumpulan orang Cina di Sabah.
Tidak cukup dengan segala usaha itu, artis-artis popular digunakan pula untuk menarik orang ramai ke majlis-majlis Umno. Erra Fazira, Azza, Raja Azura dan Siti Nurhaliza dipikat menyertai Puteri Umno sebagai usaha menarik golongan muda.
Bagaimanapun semua usaha itu gagal. Mohamad Sabu dalam ceramahnya pada malam itu menyifatkan Umno dan presidennya sebagai ‘barang yang tidak laku.’ Lantas terpaksa menumpang populariti Siti Nurhaliza untuk menarik rakyat menghadiri majlis-majlisnya.
Begitulah keadaan di peringkat akar umbi, semakin dilarang ceramah politik, semakin diancam dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), lagi ditekan dengan pelbagai ugutan dan amaran - rakyat sebaliknya makin menjauhi Umno dan berjinak-jinak dengan politik pembangkang.
Seperti kata Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang, penceramah terakhir pada malam itu, ancaman ISA jangan dilihat sebagai halangan perjuangan untuk menegakkan kebenaran, sebaliknya ia hendaklah dilihat sebagai ‘tanda-tanda kejatuhan Umno dan kerajaan.’
Beliau berpesan kepada seluruh rakyat khususnya ahli-ahli Parti Keadilan Nasional bahawa tekanan ISA yang dikenakan ke atas pemimpin-pemimpin parti itu sekarang hanya satu dugaan kecil jika dibanding dengan kekejaman Firaun yang mengarahkan semua kanak-kanak lelaki dibunuh bagi mengelakkan lahirnya Nabi Musa (a.s).
“PAS telah melalui saat-saat getir ini. Allahyarham Dr Burhannuddin Helmi keluar-masuk penjara kerana ISA. Beliau mati dalam syarat-syarat ISA. Tragedi Memali dan Operasi Lalang pada 1987, semuanya memerangkap pemimpin PAS, kini giliran pemimpin Keadilan... Semua ini tidak akan melumpuhkan semangat kita,” tegasnya.
Goreng pisang panas
Sambutan hangat terhadap majlis PAS itu menunjukkan orang Melayu terus memberontak dan makin meminggirkan Umno. Seperti kata pengerusi majlis, segala yang dilakukan oleh Umno serba tidak menjadi!
Suasana di markas PAS itu jelas menunjukkan pendirian sebenar rakyat. Walau media arus perdana ‘menggelapkan’ keadaan sebenar daripada laporan harian mereka, namun realiti sebenar tetap tidak boleh disembunyikan.
Sebaliknya tindak-tanduk media perdana itu menyebabkan media-media alternatif - terdiri daripada majalah dan tabloid tidak berkala - tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Walau kredibiliti dan profesionalisme bahan-bahan penerbitan ini masih diragukan sesetengah pihak, namun ia tetap menjadi sumber mendapatkan maklumat dan buah fikiran yang kritis dan seimbang.
Pada malam itu, akhbar-akhbar seperti Harakah, Suara PRM, Berita Keadilan dan majalah-majalah politik semasa dijual di setiap penjuru. Di celah-celah kesesakan ribuan hadirin itu, keluaran sulung akhbar tabloid Cabaran laku bagaikan goreng pisang panas.
Kematian akhbar dan majalah Eksklusif, Detik, Al-Wasilah, Gossip dan Semasa tidak mematahkan semangat wartawan alternatif untuk terus berjuang. Patah tumbuh hilang berganti.
................................................
Petikam Malaysiakini.com