Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Bangga ayah ditahan ISA

Bangga ayah ditahan ISA
Emelia Badaruddin

2:06pm, Thu: Pada 26 April lalu, ayah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sebelum itu beliau pernah ditahan 24 Oktober 1998 di Kampung Baru. Tangkapan kali ini, saya langsung tidak mempunyai perasaan sedih.

Malah saya berasa sangat bangga - ayah adalah seorang daripada 10 wira yang gigih memperjuangkan keadilan demi negara, bangsa dan agama.

Lebih dikenali di kalangan reformis sebagai Pak Din, ayah dilahirkan pada 30 Julai 1945 di Kampung Kassim, Tapah Road, Perak. Badaruddin Ismail, begitul nama ayah, adalah anak sulung daripada 11 adik beradik, sembilan lelaki dan dua perempuan. Ayah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur sehingga Tingkatan 5.

Selepas tamat persekolahan, ayah menganggotai pasukan tentera laut dan bertugas selama 17 tahun bersama KD Malaya - pada masa itu berpangkalan di Singapura.

Beliau mempunyai seorang isteri, iaitu Fatimah Abdul Majid, 51, dan tiga orang anak; Erwan, 28, saya sendiri, 24, dan Edura, 20. Selepas menamatkan perkhidmatan di KD Malaya, ayah bekerja di beberapa syarikat pembinaan sebelum memulakan perniagaan sendiri pada 1984.

Di kalangan keluarga kami, ayah dikenali seorang yang pendiam dan penyayang. Kebanyakan masanya dihabiskan dengan membaca tiga atau empat jenis akhbar (membaca setiap halaman dan berita) setiap hari, selain buku-buku berkaitan isu-isu politik dalam dan luar negara.

Ayah akan meneliti senario politik yang berlaku dan bertukar-tukar pendapat dengan rakan-rakannya. Ayah juga bukan seorang yang terburu-buru membuat sebarang keputusan. Setiap keputusan akan dipastikan terlebih dahulu baik-buruk dan kesannya.

Ayah juga amat prihatin tentang masalah dan kebajikan, bukan sahaja di kalangan keluarga sendiri tetapi juga masalah dan kebajikan orang lain. Pada pandangan saya, walau ayah tidak berpelajaran tinggi tetapi buah fikiran, pengalaman dan segala tindakannya menggambarkan beliau seperti seorang yang well-educated. Bukan berniat memuji ayah sendiri tetapi itulah hakikatnya.

Walau ayah tidak menganggotai mana-mana parti politik dan tidak begitu terkenal di kalangan penyokong-penyokong reformasi tetapi beliau cukup dikenali di kalangan OKT (orang kena tahan) dan ahli keluarga mereka.

Sudah 28 hari ditahan

Pak Din, begitu panggilan untuk ayah, memang cukup sinonim di kalangan mereka kerana ayah tiba-tiba menjadi seorang yang begitu sibuk jika ada penyokong reformasi yang ditangkap semasa siri perhimpunan reformasi yang diadakan sejak penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim September 1998.

Ayah secara sukarela membantu keluarga OKT. Beliau membuat pengesahan tentang tangkapan dan kemudian memaklumkan ahli keluarga OKT. Ayah memberikan penerangan atau kaunseling agar mudah keluarga mereka mengambil tindakan selanjutnya yang patut diambil.

Ayah juga menolong menguruskan hal-ehwal guaman serta ikat-jamin tahanan. Ayah juga dengan senang hati menghulur sedikit minuman serta makanan kepada OKT dan keluarga mereka sementara menunggu untuk diikat jamin, selalunya pada sebelah.

Pada hemat ayah, memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan atau ditindas menimbulkan kepuasan yang tidak terhingga. Beliau tidak mengharapkan apa-apa balasan dan tidak pula meminta sebarang penghargaan. Sekadar ucapan ‘terima kasih’ sudah boleh membuatkan ayah tersenyum gembira.

Sehingga hari ini, sudah 28 hari ayah ditahan di bawah akta zalim ISA. Tiada lagi senyum kepuasan dari wajahnya, tiada lagi bicara bangga yang dapat didengar, dan tiada lagi gurau senda Pak Din bersama cucu-cucunya. Semua itu dirampas dalam sekelip mata.

Tetapi kehilangannya ini tidak sekali-kali menyebabkan saya dan keluarga berdiam diri dan menangisi takdir. Memang peristiwa ini takdir untuk ayah dan keluarganya tetapi takdir itu boleh diubah jika kita manusia berusaha untuk mengubah, bersabar dan bertawakkal kepada-Nya. Sememangnya itulah janji Allah.

Saya berjanji kepada diri sendiri akan meneruskan perjuangan untuk membebaskan ayah dan mengembalikannya semula ke pangkuan keluarga tercinta, khususnya kepada cucu-cucunya dan juga rakyat (pada pandangan saya) yang memerlukan seseorang sepertinya.

Atas nama kemanusiaan, beliau sanggup berkorban apa sahaja demi membebaskan negara ini dari cengkaman pemerintah yang zalim, insya Allah.

Allah-u-Akbar! Bebaskan 10 tahanan ISA! Mansuhkan ISA!






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com