Hishamuddin Rais lahir di Negeri Sembilan pada 3
Februari 1951. Beliau pernah mendapat pendidikan di
Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Seterusnya beliau
melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam
bidang sejarah.
Hisham kemudiannya terlibat aktif dalam gerakan
mahasiswa. Beliau pernah menjawat kerusi Setiausaha
Agong Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM)
pada tahun 1974.
Gerakan Mahasiswa untuk Rakyat
Sewaktu di zaman kemuncak kebangkitan gerakan
mahasiswa pada tahun 1974, Hisham aktif melibatkan
diri dalam arus perjuangan rakyat. Antaranya adalah
isu perobohan rumah kaum miskin kota di Tasek utara,
Johor Bharu dan isu kemiskinan rakyat petani di
Baling. Serentak dengan kebangkitan kaum mahasiswa
itu, kerajaan telah menggunakan ISA untuk melakukan
penangkapan besar-besaran bagi melumpuhkan gerakan
mahasiswa.
20 tahun dalam buangan
Hisham tidak mahu kebebasannya sebagai seorang manusia
dirampas oleh regim zalim sewenang-wenangnya. Lantas
beliau telah melarikan diri ke luar negara. Hisham
kemudiannya mendapat suaka politik di Belgium. Di
sana, beliau melanjutkan pelajaran ke universiti dalam
bidang bahasa Perancis. Semangat cintakan ilmu
pengetahuan, kebudayaan dan kesenian telah membawa
Hisham ke kota London; beliau belajar perfileman.
Hisham menghabiskan waktunya selama kira-kira 15 tahun
di kota London.
Pulang ke Malaysia
Hisham pulang ke Malaysia pada tahun 1995.
Sekembalinya ke Malaysia, beliau ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk pertama kali
dalam hidupnya, selama dua minggu.
Seorang pembikin Filem
Filem pendek yang telah dibuat:
1. From here to a long yesterday
2. Malaysia werewolf in London
3. Three second of see
Filem panjang-"Dari Jemapoh ke Mancheste"
Semasa dalam tahanan ISA beliau mendapat idea untuk
menulis skrip dan membuat filem ini. Sebuah filem
perjalanan (road movie) yang sarat dengan metafora
kehidupan dan budaya berontak anak muda. Filem ini
telah mengembara ke serata festival filem di serata
dunia, dari Singapura hinggalah ke Rotterdam.
Seorang penulis
Hishamuddin Rais boleh dikatakan sebagai seorang
intelektual rakyat. Beliau menjadi jambatan penghubung
idea-idea dan konsep-konsep yang kompleks ke dalam
bahasa mudah tulisan-tulisannya:
1. Pada tahun-tahun awal kepulangannya, beliau menulis
di pelbagai majalah Melayu-dari Ujang hinggalah ke
dewan Budaya.
2. Penyumbang untuk majalah Men's Review
3. Kolumnis Analog-Berita Minggu
4. Penyumbang untuk Vox di akhbar The Sun
5. Penyumbang untuk penerbitan Alternatif
6. Kolumnis Dot Mai di Malaysiakini.com
Terlibat aktif dalam gerakan Reformasi
Hisham beberapa kali di tahan dan di dakwa di bawah
Akta Polis kerana dituduh berhimpun secara haram.
Namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus
bergelumang dalam perjuangan menegakkan reformasi dan
demokrasi di Malaysia.
Beliau menerima pelbagai tekanan dan ugutan dari pihak
pemerintah. Antaranya beliau diberhentikan daripada
menulis di kolum mingguannya-Analog- di akhbar Berita
Minggu. Oleh kerana tekanan dari pihak pemerintah,
akhbar-akhbar arus perdana tidak lagi berani untuk
menyiarkan tulisan-tulisannya.
Namun demikian, pada penghujung tahun 1999,
Malaysiakini.Com mengundang Hisham untuk menjadi
kolumnis dalam pojok yang dipanggil Dot. Mai. Kolum
ini memberi pengaruh besar pemikiran kepada
pejuang-pejuang reformasi dan demokrasi.
Hisham juga telah dinafikan dokumen perjalanan ke luar
negara (pasport) oleh pemerintah. Penghujung tahun
2000 beliau menerima undangan dari Asia Foundation
untuk mengajar dan membuat penyelidikan tentang budaya
di Jepun. Tetapi oleh kerana ketiadaan pasport, beliau
tidak dapat mengikuti program tersebut.
Di tahan ISA
Tanggal 9 April 2001, kurang lebih jam 5.00 petang
beliau ditangkap oleh sepasukan polis Cawangan Khas di
bawah Seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Pihak pemerintah telah melemparkan fitnah dengan
tuduhan-tuduhan tidak berasas dan tidak masuk akal.
Kini Hishamuddin Rais bersama sembilan lagi pemimpin
dan aktivis pro reformasi dan pro demokrasi berada
dalam tahanan polis. Mereka dinafikan hak untuk
membela diri di mahkamah terbuka yang bebas dan adil.
Bebaskan Tahanan Politik dan Mansuhkan ISA
Setakat ini jumlah aktivis pro reformasi dan pro
demokrasi yang ditahan berjumlah 10 orang. Tiada siapa
tahu bila tindakan kejam pihak pemerintah ini akan
berhenti.
ISA adalah akta kejam yang merampas hak asasi seorang
manusia. Untuk tujuan apapun ISA tidak wajar
digunakan. Sejak ISA digubal pada tahun 1960, terbukti
ianya digunakan melumpuhkan kebangkitan gerakan rakyat
dan menjaga kestabilan politik elit pemerintah. Ribuan
pencinta keadilan dan demokrasi telah dipenjarakan
oleh undang-undang kejam ini.
Mereka yang ditahan ini adalah tahanan politik. Mereka
ditahan untuk menjaga kepentingan politik elit
pemerintah. Mereka adalah mangsa kezaliman regim
pemerintahan Barisan Nasional!
Bebaskan Hishamuddin Rais!
Bebaskan Semua Tahanan Politik!
Mansuhkan ISA!