Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pertembungan Mahathir-Daim Krisis Baru UMNO

Oleh Wartawan Khas Detik

KUALA LUMPUR - Bakal Perdana Menteri Malaysia yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka akan terpaksa dibebaskan oleh kerajaan Dr Mahathir dalam masa empat atau lima bulan lagi, berikutan tekanan yang semakin hebat diterima oleh Dr Mahathir dari dalam dan luar negara.

Perkelahian terbaru Dr Mahathir dengan 'orang kuat' yang paling rapat dengannya, iaitu Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, kini dianggap sebagai salah satu tekanan yang paling berat sedang ditanggung oleh Dr Mahathir.

Misteri percutian Tun Daim selama dua bulan tetapi masih datang ke pejabat dan hadir di Parlimen untuk mendengar Dr Mahathir membentang belanjawan, sebelum ke luar negeri dan hadir satu persidangan rasmi di luar negeri, telah menimbulkan banyak pertanyaan yang tanpa jawapan di kalangan rakyat.

Khabar angin kencang bertiup mengatakan kini kediaman Daim di Taman Melawati sedang dipantau dengan ketat oleh pihak berkuasa keselamatan, khabarnya supaya tidak ada 'harta berharga' atau dokumen penting dibawa keluar.

Pertembungan antara Mahathir-Daim ini, oleh pihak-pihak tertentu dianggap akan meninggalkan kesan yang lebih parah dibandingkan dengan kesan pertembungan antara Mahathir-Anwar.

Pertembungan Mahathir-Daim adalah pertembungan antara kuasa dan duit. Mahathir memiliki kuasa, Daim memiliki duit. Dan hari ini duit adalah kuasa. Manakala kuasa tanpa duit akan hilang kesan kuasanya.

Walaupun dipercayai tidak ada rakyat biasa yang akan bangkit menentang Mahathir sekiranya beliau bertindak menangkap Daim, tetapi dipercayai akan ada segolongan kroni Daim yang akan bertindak menyerang balas ke atas Mahathir, jika Daim ditangkap.

Dan apabila kroni-kroni Daim bersama-sama dengan Daim berbuat demikian, kesannya ke atas pentadbiran Mahathir dan ke atas ekonomi Malaysia dipercayai akan menjadi paling buruk dalam sejarah negara ini. Ekonomi Malaysia akan lumpuh, dan pentadbiran akan menjadi porak peranda.

Soalnya, apakah Mahathir akan sanggup untuk mengambil tindakan tersebut? Atau apakah Mahathir mempunyai pilihan untuk tidak mengambil tindakan tersebut?

Itulah soalan yang sedang dinanti-nantikan jawapannya oleh kebanyakan rakyat Malaysia, khususnya para pelabur di pasaran saham.

"Itu hanya satu daripada beberapa tekanan yang sedang dihadapi oleh Dr Mahathir pada masa ini. Dia ada beberapa tekanan lain lagi yang tidak kurang hebatnya, yang memeningkan kepala dia," kata Naib Ketua Pemuda KeADILan, Hamdan Taha, dalam satu pertemuan dengan wakil kami di sini.

"Pergolakan dalam Umno sekarang paling teruk dalam sejarah. Politik wangnya tak boleh dibendung lagi. Khalil Yaakob akan terpaksa diganti dengan orang lain sebagai Setiausaha Agung. Mungkin Mahathir akan lantik Syed Hamid. Umno sekarang di ambang kehancuran," kata Hamdan lagi.

Baru-baru ini pula Dr Mahathir pergi ke Johor, mengadap Sultan Johor. Ada khabar angin mengatakan ia ada hubungan dengan tindakan yang akan diambil ke atas Menteri Besar Johor, Ghani Othman, yang dikatakan menjadi "orang Daim" yang akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Mahathir dalam perhimpunan agung Umno Jun nanti.

"Bukan," tegas Hamdan. "Sumber saya mengatakan Mahathir mengadap Sultan Johor kerana sudah mula terdengar yang sultan-sultan mulai bercakap tentang kemungkinan untuk memberi pengampunan kepada Anwar. Jadi, Mahathir terpaksa berjumpa dengan sultan. Kita percaya selepas ini dia akan mengadap sultan lain pula, untuk mempengaruhi mereka supaya jangan memberi pengampunan."

Selain itu Hamdan juga menyebut peristiwa rumah Khalid Jefri (penulis buku 50 Dalil) yang digeledah oleh polis dan diambil pelbagai dokumen.

"Keadaan hari ini sudah terbalik," kata Hamdan. "Kalau dulu polis menahan Khalid Jefri untuk mendapatkan maklumat bagi mendakwa Anwar, sekarang mereka menahan Khalid Jefri untuk mendapatkan maklumat juga, tetapi bukan untuk mendakwa Anwar.

"Keadaan sudah terbalik," tegasnya lagi.

"Saya percaya dalam sedikit masa ini satu perkara besar akan berlaku di negara ini. Banyak tanda-tanda yang menunjukkan ke arah itu. Dan itu belum lagi diambil kira tekanan yang diterima oleh Mahathir dari negara-negara Arab, yang mendesak supaya Anwar dibebaskan," kata Hamdan lagi.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 26 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com