Assalamualaikum,
Malam tadi, selepas pulang dari masjid, saya lihat anak-anak saya begitu
khusyuk melukis, melakar dan menggunting kepingan-kepingan Manila Card
membentuk beberapa kepingan kad ucapan yang agak menarik. Pada mulanya saya
tidak berapa perasan apa yang sedang mereka cuba lakukan sehinggalah saya
diberitahu bahawa kad-kad itu adalah istimewa untuk guru-guru dan
teacher/sir
mereka di sekolah sempena Hari Guru pada hari ini 16 hb Mei 2001.
Kerana itu, berkesempatan di sini, sempena Hari Guru ini, izinkan saya
menulis
sedikit di sini suatu isu yang agak berbeza sedikit daripada bab-bab politik
yang pernah saya tulis sebelum ini.
Kita semua tak kira sesiapa tentunya pernah belajar dengan mana-mana guru;
begitu juga dengan saya.
Malangnya, ketika cuba mencari jawapan, menyelami padang pemikiran memori
silam cuba mencari guru pertama dalam hidup saya, mungkin kerana sudah tua
agaknya, saya jadi tidak berapa pasti.
Cuma antara ingat, saya rasa Guru pertama saya itu adalah seorang Pak Haji,
seorang Guru Quran di kampung saya di Ulu sana. Jika tidak salah ingatan, di
tangan beliaulah buat pertama kalinya saya mula mengenali huruf Alif Ba Ta.
Antara ingat, dalam samar-samar, saya rasa pernah dirotan kerana membuat
bising ketika rakan-rakan yang lain yang lebih dewasa sedang membaca
Al-Quran;
ya lah kita yang ketika itu masih merangkak-rangkak menghafal "Alif Tak Dak
Titik, Ba Di Bawah Satu Titik" masih lagi belum mengerti makna takutkan
Guru
dan menghormati majlis Ilmu.
Ya, kini pemikiran saya semakin jelas, saya pasti bahawa Allahyarham Tuan
Haji
Ishak di atas adalah Guru yang pertama dalam hidup saya lebih kurang setahun
sebelum saya melangkah ke alam persekolahan. Maka, sempena hari Guru ini,
ingin saya sedekah Al-Fatihah kepada beliau; moga ilmu "Alif Tak Dak Titik,
Ba
Di Bawah Satu Titik" yang memungkinkan saya khatam Al-Quran itu dan
seterusnya
membolehkan saya mempelajari ilmu-ilmu agama yang lain itu akan menjadi
kiriman pahala yang berterusan untuk beliau di alam sana. Amin!
Melangkah ke alam persekolahan; dalam puluhan cikgu yang pernah saya hadapi
di
sekolah rendah itu; cuma ada dua orang sahaja yang akan kekal dalam ingatan
saya hingga bila-bila. Seorang guru wanita dan seorang lagi guru lelaki,
dua-duanya masih ada lagi hingga sekarang.
Guru wanita ini dulunya cukup menjadi kegilaan budak-budak muda di kampung
saya; apa tidaknya, dengan kulit putih, rambut merebang dan skirt pendeknya
memang menjadi rebutan Saya cukup ingat akan guru ini kerana dua perkara;
pertama kerana saya dan dua orang lagi rakan pernah menjadi posmen karat
membawa surat cinta antara beliau dan seorang jejaka di kampung kami; dan
yang
kedua, guru sekolah rendah saya ini, ketika saya berada di penghujung
sekolah
menengah; saya dimaklumkan bahawa beliau sudah pun bertudung lingkup.
PERUBAHAN BELIAU DARIPADA BERSKIRT KEPADA BERTUDUNG ITU ADALAH LAMBANG
PERUBAHAN MASYARAKAT KITA SECARA KESELURUHANNYA DARIPADA BUDAYA BARAT KEPADA
BUDAYA ISLAM YANG MENANDAKAN ZAMAN AWAL KEBANGKITAN SEMULA ISLAM KETIKA ITU.
[Kerana itu, setiap kali saya mendengar Mat Sabu bercerita mengenai sejarah
perubahan minda/budaya masyarakat kita ke arah Islam daripada tahun-tahun
70an
hinggalah sekarang, tidak dapat tidak, wajah guru saya ini sentiasa bermain
di
padang pemikiran]
Seorang lagi Guru lelaki yang tidak dapat saya lupakan ialah guru darjah
saya
semasa darjah Enam. Tidak perlu saya tuliskan namanya di sini, cukup sekadar
saya tuliskan pesannya yang sampai hari ini masih terngiang-ngiang di
telinga.
Kata beliau:
"Kamu besok, bila sudah besar, jangan buat sesuatu yang memalukan cikgu.
Buatlah sesuatu yang cikgu boleh bangga mengaku yang kamu adalah anak murid
cikgu. Janganlah dok pi curi ayam kat reban sapa-sapa; kemudian kena tangkap
kena balun kaki, tempang dan cacat sampai tua. Buat malu saja"
Yang saya tak lupanya apabila beliau menambah:
"Kalau nak mencuri juga, janganlah dok curi ayam kat reban; pi lah rompak
Bank
berjuta-juta punya, kalau kena tangkap pun puas hati. Sekurang-kurangnya
kalau
muka kamu keluar dalam suratkhabar; bolehlah juga cikgu bangga bagitau kat
orang yang itulah anak murid cikgu!"
Walau pun apa yang beliau cakap itu sebenarnya adalah cuma satu ucapan
sinis;
tapi saya ertikan ucapan beliau ini sebagai bermaksud; kalau nak buat
sesuatu
itu biarlah sampai tinggal kesan yang mendalam; tambah-tambah pula dalam
suasana kegelutan politik negara hari ini yang menyaksikan bagaimana
orangramai termasuk pembesar2 negara sudah begitu berani menghantam dan
mempermainkan hukum hakam Islam dan kredibiliti Ulamak secara terbuka; dalam
keadaan ini mungkin pesan beliau di atas masih boleh digunapakai:
"Alang-alang nak perjatuhkan puak-puak ini, biarlah sampai kena ISA!!"
CUMANYA SAYA TAK PASTI SAMA ADA GURU SAYA AKAN BANGGA ATAU TIDAK KALAU
TIBA-TIBA WAJAH ANAK MURIDNYA INI MUNCUL DI MUKA DEPAN UTUSAN MALAYSIA KENA
CEKUP DEK ISA!!
Melangkah ke alam Menengah; dalam ratusan guru di sekolah itu, cuma ada
seorang sahaja yang sering menghantui hidup saya; apa tidaknya 'ajaran'
beliaulah menjadi akar umbi yang menyebabkan saya tersasul sesat ke lembah
sekular UMNO sebaik sahaja melangkah keluar ke alam Universiti.
Saya masih ingat cuma tidak pasti dalam Tingkatan berapa, guru saya
(aktivist
UMNO Bahagian) ini ada berkata:
"Alah, yang kamu pi tutup kepala pakai tudung itu buat apa? Rambut itu
adalah
anugerah Tuhan. Rambut itu sebagai Mahkota Wanita. Hiaslah cantik-cantik,
kalau pakai tudung siapa nak nampak?"
Tak ada siapa yang berani lawan beliau termasuklah saya, tambah-tambah pula
saya terpengaruh dengan kata-kata "keramat" beliau:
"Alah, kubur lain-lain; siapa tahu apa jadi dalam kubur saya, apa jadi dalam
kubur a_kasbi (dia sebut nama saya); gelapkah terang kah, siapa tahu?"
Kata-kata beliau ini walaupun nampak ringkas tetapi ia memberi kesan
mendalam
kepada minda saya pada ketika itu; kesannya untuk beberapa tahun selepas
melangkah keluar dari alam menengah itu, saya kurang memberi penekanan
kepada
persoalan hidup mati dan permasalahan akhirat. Kerana itu, di awal-awal
penglibatan politik saya bersama UMNO, saya begitu lantang menghentam PAS
seperti kata-kata yang keluar sendiri dari lidah saya ketika bertangkar
dengan
pakcik saya seorang hardcore PAS di kampung halaman; kata saya 'PAS itu
makna
dia ialah Parti Ajaran Sesat, Penyeleweng Agama Sendiri" dan lain-lain lagi.
Namun, dengan kuasa Allah yang membolak-balikkan hati manusia; selepas
melihat
siaran langsung Persidangan Agung UMNO live di kaca TV (lama sebelum kes
Anwar
Ibrahim meletus) di mana Dr Mahathir dengan nada sinis seperti nada guru
saya
di atas; memperlekehkan mereka yang bertudung, berjanggut, berseban atau
berjubah; mungkin kerana pengalaman hidup agaknya dan mungkin juga kerana
faktor usia, saya sudah tidak boleh lagi menerima lawak berkenaan walaupun
nadanya serupa sahaja dengan lawak Guru Tingkatan saya tempoh hari.
Entah dari mana, tatkala mendengar ucapan Dr Mahathir itu, saya seperti
mendengar ada bisikan seseorang ke dalam telinga saya seolah-olah berkata:
"Yang hang dok pi perleceh orang pakai jubah, simpan janggut, pakai serban
atau pakai tudung tu buat apa? Kalau hang tak mau pakai jubah sudahlah, tak
payah dok perleceh orang yang nak pakai. Kalau hang tak mau simpan janggut
sudahlah, yang dok kacau janggut orang buat apa, bukannya janggut hang. Dia
punya jangggut, dia punya sukalah; yang hang dok kacau buat apa!!"
Waktu itu, oleh kerana darah UMNO yang masih pekat mengalir dalam diri saya
itu beserta kedangkalan ilmu yang ada, saya masih belum boleh mengaitkan
ucapan Dr Mahathir tersebut dengan isu menghina Sunnah. Lama selepas itu,
terutamanya seteleh mendengar ceramah Tuan Guru Haji Hadi di sebuah kampung
di
Bandar Bharu, Kedah beberapa tahun selepas itu, baru saya mula tersedar
tentang peri perbezaan yang ketara antara perjuangan PAS dan UMNO. Cerita
seterusnya, adalah sejarah.
Terimakasih Tuan Guru Haji Abdul Hadi; terimakasih kerana menyedarkan saya
daripada tidur yang panjang. Jazakallah Khairan Kathira.
Maka itu, tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa Ucapan Hari Guru ini
selain saya tujukan kepada guru-guru saya di atas yang bertanggungjawab
mewarnai zaman kanak-kanak dan pentas remaja saya itu, saya tujukan juga
ucapan "Selamat Hari Guru" ini untuk seorang Guru yang cukup saya hormati
dan
kagumi walaupun beliau sendiri tidak pernah mengenali diri saya, iaitu Tuan
Guru Haji Abdul Hadi Bin Awang. Moga Allah merahmati dan melindungi Tuan
Guru
dalam apa jua tindakan.
SELAMAT HARI GURU
Wassalam,
Ahmad Baharudin Kasbi
a_kasbi@MailAndNews.com