Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perutusan Hari Pekerja Dari Biro Buruh Parti Rakyat Malaysia (PRM)

Hari ini, 1 Mei adalah Hari Pekerja yang disambut di seluruh dunia serentak. >Lebih seratus tahun yang lalu iaitu pada 1 Mei 1886, seramai 350,000 pekerja Amerika Syarikat telah melancarkan mogok. Peristiwa itu dianggap bersejarah lalu tarikh 1 Mei itu dipilih sebagai Hari Pekerja Sedunia.

Apakah keistimewaan perjuangan 1 Mei itu? Sejak 1 Mei 1886, maka satu prinisip umum telah ditetapkan iaitu dalam sehari pekerja hanya bekerja selama 8 jam. Lebih dari itu dianggap kerja lebih masa. Tetapi prinsip waktu bekerja 8 jam sehari itu bukan secara automatik diterima oleh majikan di seluruh dunia secara mudah. Banyak perjuangan telah dilakukan oleh para pekerja untuk mendapat hak tersebut. Hanya pada tahun 1919 waktu kerja 8 jam itu dijadikan piagam sejagat oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Di Malaysia, pengiktirafan 1 Mei sebagai Hari Pekerja bukan datang menggolek begitu sahaja. Kerajaan Barisan Nasional(BN) (dulu Perikatan) telah menentang keras sambutan Hari Pekerja 1 Mei. Hanya pada tahun 1972 kerajaan Malaysia bersetuju mengisytiharakan sebagai Hari Pekerja.

Sejarah ringkas di atas menunjukkan bahawa hak-hak pekerja perlu diperjuangkan. Kerajaan BN yang telah memerintah negara ini sejak Merdeka terbukti sebuah kerajaan yang pro-majikan dan menekan pekerja. Pelbagai undang-undang buruh dan dasar-dasar BN sentiasa memihak kepada kepentingan kaum majikan atau pemodal. Ini lebih ketara apabila dasar penswastaan dilaksanakan dengan besar-besaran dalam sektor ekonomi sejak Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, selama 20 tahun ini.

Banyak perkara yang perlu diperjuangkan oleh kaum pekerja di negara ini. Antara yang utama ialah mendesak supaya Akta Gaji Minima dilaksanakan. Keputusan kerajaan dan majikan memberi gaji bulanan kepada pekerja estet baru-baru ini dialu-alukan. Tetapi jumlah gaji bulanan itu tidak berpatutan kerana ia lebih rendah daripada paras garis kemiskinan di Malaysia.

Kerajaan dan majikan perlu mengiktiraf bahawa pembangunan dan kekayaan yang dihasilkan di negara ini adalah hasil dari usaha dan kerja keras para pekerja. Pekerja menuntut "Lima Hari Bekerja Seminggu". Tuntutan ini adalah adil. Begitu juga tuntutan cuti bersalin 90 hari bagi pekerja-pekerja wanita.

Sekarang banyak rasa tidak puas hati para pekerja di seluruh negara terhadap tindakan-tindakan kerajaan berhubung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Sejak kegawatan ekonomi pada tahun 1997 hingga tahun 2001 ini, berbilion wang pekerja di dalam tabung KWSP telah digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat besar milik kroni para pemimpin negara.

Akibatnya dividen yang diterima oleh para pekerja setiap tahun semakin merosot. Dividen bagi tahun 2000 hanya enam peratus sahaja. Kini kerajaan mengadakan cadangan memotong dua peratus lagi caruman para pekerja ke dalam KWSP. Alasannya ialah untuk mencergaskan ekonomi yang lembab.

Apabila ekonomi berkembang dan tumbuh selama beberapa tahun dulu, tuntutan pekerja untuk naik gaji ditolak dengan pelbagai alasan. Tetapi apabila ekonomi di dalam krisis, merosot atau lembab segala tabung dan dana wang pekerja disalahgunakan untuk kepentingan golongan pemodal atau swasta yang bermasalah.

Sehari sebelum sambutan 1 Mei tahun ini, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad membuat pernyataan bahawa kerajaan berusaha untuk membebaskan negara ini daripada penempatan setinggan. Untuk pengetahuan Perdana Menteri sebahagian besar penduduk setinggan itu terdiri daripada para pekerja yang berpendapatan rendah. Oleh yang demikian, kerajaan perlu mengambil daya usaha proaktif untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat. Soal mengadakan rumah-rumah kos rendah dan sederhana perlu dipikul oleh agensi kerajaan sendiri, bukan diserahkan kepada pihak swasta seperti sekarang ini.

Bersempena sambutan Hari Pekerja ini, kerajaan juga perlu menitikberatkan soal perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada para pekerja. Ramai para pekerja yang terdedah kepada masalah kesihatan kerana pencemaran dan keadaan yang tidak sihat dan selamat di tempat bekerja.

Di samping itu, kita tidak mahu anak-anak pekerja golongan berpendapatan rendah juga akan mengikuti jejak ayah dan ibu mereka sebagai pekerja tidak mahir dan bergaji rendah. Justeru itu peluang-peluang pendidikan perlu disediakan bukan sahaja terhadap para pekerja untuk memajukan kemahiran mereka, tetapi jaminan peluang pendidikan yang luas mesti disediakan kepada anak-anak mereka.

Hal ini semua penting kerana kerajaan yang ada sekarang begitu mengutamakan pembangunan ekonomi yang dipandu oleh dasar penswastaan yang mementingkan keuntungan daripada kebajikan pekerja. Justeru itu adalah tepat jika para pekerja di seluruh negara menuntut supaya segala penswastaan yang membebankan rakyat dimansuhkan.

Dalam keadaan sekarang di mana seramai 10 orang aktivis reformasi sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA, termasuk antaranya tokoh-tokoh yang memperjuangkan kepentingan pekerja selama ini, maka satu perkara yang amat penting ditegaskan bersempena Hari Buruh 1 Mei ini ialah pengiktirafan akan hak kaum pekerja di Malaysia untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Kesimpulannya yang perlu difikirkan oleh kaum pekerja di Malaysia ialah masa depan mereka adalah terikat sama dengan perubahan yang hendak dibawa di negara ini dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Gerakan rakyat yang dipanggil reformasi itu perlu disambut dan diperjuangkan bersama dengan penuh iltizam atau komitmen oleh kaum pekerja yang merupakan golongan terbesar di negara ini, yang sepatutnya sedar akan hak dan tanggungjawab mereka memimpin perubahan masyarakat.

Hassan Karim
1 Mei 2001


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 3 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com