assalamualaikum wrt. wbt.
kehadapan ustaz semoga dikurniakan kesihatan yang berpanjangan
hendaknya......
ustaz....
di sini ana ada sedikit kemusykilan berhubung dengan perhiasan diri oleh
seseorang Islam... apakah maksudnya mengubah kejadian Allah oleh seseorang
yang menghiaskan diri?
apakah hukum seseorang wanita mencabut bulu keningnya sama dengan seorang
lelaki yang mecabut bahagian tertentu pada misai atau janggut dengan
tujuan menghiaskan diri atau supaya kelihatan lebih menarik?
apakah hukumnya seseorang itu menyamakan susunan gigi yang tidak sama?
adakah itu juga termasuk dalam mengubah kejadian Allah?? apakah boleh kita
kiaskan dengan "mengikir gigi" seperti yang terdapat dalam hadis
Rasulullah saw?
apakah hukum kita mengubah warna rambut?
apakah hukumnya kita mengubah warna kulit (memutihkan kulit)??
ana harap ustaz dapat memberi penjelasan berkenaan persoalan ana ini.
berikutnya, ustaz memberi penjelasan secara umum.
sekian, terlebih dahulu JAZAKALLAHU KHIRAN KATHIRA atas penjelasan ustaz
nanti.
wassalam..
...........................................................
JAWAPAN:
Wa`laikumussalam warahmatuLlah.
Maksud mengubah ciptaan Allah s.w.t. ialah membuat perubahan pada ciptaan
Allah s.w.t. yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar
tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau
memulihkan kecacatan.
Dalil haramnya hukum mengubah ciptaan Allah s.w.t. atas sebab yang
tersebut di atas ialah ayat 118 dan 119 daripada surah al-Nisa' yang
bermaksud:
"Allah telah melaknatinya (syaitan), dan berkatalah (bersumpah) syaitan,
"Akan ku ambil sebahagian yang tertentu (tipu daya) ke atas hamba-Mu.(118)
Dan akan ku sesatkan mereka, ku panjangkan angan-angan mereka dan akan ku
perdaya mereka sehingga mereka memotong telinga-telinga binatang ternakan
mereka (amalan ini dilakukan oleh Arab jahiliyyah sebagai tanda ibadat
kepada berhala), dan akan ku perdaya mereka sehingga mereka mengubah
ciptaan Allah, dan sesiapa yang mengambil syaitan sebagai teman setia
selain Allah maka dia telah rugi dengan kerugian yang nyata"(119).
Jadi, sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan
anugerah Allah yang sempurna adalah sikap yang terhasil daripada tunjuk
ajar syaitan. Sesiapa yang mengikuti ajaran syaitan, maka dia berada dalam
kesesatan yang nyata, walaupun dia tidak merasai kesesatan itu.
Demikianlah secara kesimpulannya, maksud mengubah ciptaan Allah s.w.t.
Berkenaan soalan sdr, di bawah dinyatakan jawapannya, semoga Allah s.w.t.
memberi taufik:
Hukum mengubah ciptaan Allah s.w.t. pada bulu kening, gigi, warna rambut
dan warna kulit:
Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah s.w.t. yang
sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu,
agar menepati cita rasa seseorang wanita itu supaya kelihatan lebih
cantik, menawan dan bergaya (seperti yang dipamerkan oleh kebanyakan artis
dan personaliti-personaliti wanita hari ini); adalah satu perbuatan yang
terlaknat kerana si pelaku itu terpedaya dengan tunjuk ajar syaitan.
Hukumnya adalah HARAM berdasarkan ayat di atas.
Jangan kita tertipu dengan perangai orang yang suka menuruti hawa
nafsunya, bila dibacakan ayat al-Quran, dia cuba membuat takwilan yang
jauh, umpamanya mempersoalkan "Di mana perkataan 'haram' atau larangan
dalam ayat itu?" Sedangkan hukum syariat bukan hanya berdasarkan perintah
suruhan atau larangan sahaja. Ada hukum yang terhasil dengan 'perkhabaran'
seperti dalam ayat tadi, di mana Allah s.w.t. mengkhabarkan bahawa
perbuatan mengubah ciptaan-Nya adalah kerana termakan dengan tipu daya
syaitan dan perbuatan mengikut ajaran syaitan akan menjerumuskan seseorang
ke dalam kesesatan yang nyata. Seseorang Islam yang telah diberi hidayat
oleh Allah s.w.t. adalah diHARAMkan menjerumuskan diri ke dalam kesesatan.
Maka segala perbuatan yang telah termaklum hasil tipu daya syaitan adalah
haram hukumnya. Apatah lagi di sana terdapat banyak hadis yang melarang
perbuatan seumpama itu, seperti yang akan disebutkan di bawah.
Ada pun jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh
berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka pada pandangan saya,
tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah s.w.t. jika yang
dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang
dipanggil kening, serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini
dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri, bukan kerana tidak puas hati
dengan ciptaan Allah s.w.t. Ia samalah juga dengan lelaki yang mengemaskan
janggut dan misainya, tidak jatuh haram perbuatan itu, kerana Allah s.w.t.
itu cantik dan sukakan kecantikan. WaLlahu a`lam bis sowaab.
Namun, bagi seseorang yang warak, dia amat berhati-hati terhadap hal
seumpama itu, terutama bila ada nas yang sahih melarang perbuatan mencabut
bulu kening. Walaupun niatnya hanyalah untuk menjaga kekemasan diri,
tetapi dia amat berhati-hati kerana khuatir termasuk dalam perkara haram
seperti perbuatan menghaluskan bulu kening yang agak lebar (bukan yang
tumbuh berselerak di dahi).
Di sini saya ingin menyebutkan beberapa buah hadis sahih pada darjatnya
yang tertinggi (riwayat al-Bukhari dan Muslim) yang melarang perbuatan
mengubah ciptaan Allah s.w.t.:
i. Daripada `Aisyah r.a. bahawa seorang wanita bertanya Nabi s.a.w.: Wahai
Rasulullah, anak perempuanku yang baru berkahwin terkena penyakit kulit
sehingga rambutnya keguguran dan terputus-putus. Apakah boleh ku
sambungkan rambutnya? (memakaikan rambut lain yang palsu). Lalu Rasulullah
s.a.w. bersabda: "Allah s.w.t. melaknat al-Waasilah (orang yang memakaikan
rambut palsu kepada orang lain) dan al-Mawsuulah / al-Mustawsilah (orang
dipakaikan rambut palsu).
ii. Daripada Humayd bin `Abdir-Rahman bahawa beliau mendengar Mu`awiyah
bin Abi Sufyan berkata dari atas mimbar pada satu musim haji tentang
rambut palsu yang dibawa oleh seorang pengawal: "Wahai penduduk Madinah,
di manakah ulama kamu? Sesungguhnya aku mendengar Nabi s.a.w. melarang
perbuatan seperti ini (memakai rambut palsu) dan baginda bersabda:
"Sesungguhnya Bani Israel rosak binasa apabila wanita-wanita mereka
mengamalkan pemakaian benda ini (rambut palsu)"
iii. Daripada `Abdullah bin `Umar bin Al-Khattab bahawa Rasulullah s.a.w.
melaknat al-Waasilah, al-Mustawsilah, al-Waasyimah (pembuat tatu) dan
al-Mustawsyimah (orang yang meminta supaya dibuat tatu).
iv. Daripada `Abdullah bin Mas`ud r.a. bahawa beliau berkata: Allah s.w.t.
telah melaknat al-Waasyimah, al-Mustawsyimah, al-Naamisah (orang yang
memberi khidmat mencabut bulu kening supaya kelihatan lebih cantik ),
al-Mutanammisah (orang yang meminta khidmat itu), al-Mutafallijah (orang
yang mengasah/mengikir giginya supaya tersusun rapi) dan semua orang yang
mengubah ciptaan Allah s.w.t. Seorang wanita bangun lalu menyanggah beliau
(Ibn Mas`ud). Beliau menjawab: Kenapa aku tak boleh melaknat orang yang
dilaknat oleh Rasulullah s.a.w. dan demikian juga dalam Kitab-Nya,?
Sedangkan Allah s.w.t. berfirman (maksudnya): "Dan segala apa yang dibawa
kepada kamu oleh Rasul maka hendaklah kamu terima dan segala apa yang
dilarangnya hendaklah kamu meninggalkannya" (Surah al-Hasyr: 7)
Semua hadis di atas adalah hadis muttafaq `alayhi (disepakati riwayatnya
oleh al-Bukhari dan Muslim) dan berada pada darjat kesahihan yang
tertinggi tanpa sebarang keraguan. Semua hadis ini dapat dirujuk dalam
kitab Riyadhus Salihin (himpunan Imam al-Nawawi) dalam bab 'Pengharaman
Pemalsuan Rambut, Bertatu dan Mengasah Gigi'. Orang yang meragukan atau
menafikannya tidak bergantung selain kepada hawa nafsunya sendiri yang
lebih diutamakan ke atas hukum Allah s.w.t. Dalam pada itu, hadis-hadis
sahih ini adalah sebagai huraian dan penjelasan terhadap maksud 'mengubah
ciptaan Allah' dalam ayat di atas (al-Nisa':119)
Setelah jelas maksud ayat dan hadis-hadis tersebut, maka antara bukti
keimanan ialah kita menyahut seruan hukum itu dan mematuhinya seperti ayat
yang dibaca oleh Ibn Mas`ud di atas tadi dan juga ayat 36 surah al-Ahzab
yang bermaksud:
"Tiadalah lagi pilihan lain bagi orang beriman lelaki dan perempuan
apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu perkara/hukum (melainkan
mereka hendaklah mematuhinya)c" (al-Ahzab: 36)
Berdasarkan hukum di atas, maka jelaslah hukum mengubah ciptaan Allah
s.w.t. pada gigi, warna rambut, warna kulit (seperti yang sdr sebutkan)
juga adalah haram. Maksud mengubah di sini ialah mengasah/mengikir gigi,
menghitamkan rambut yang uban atau memerangkan rambut yang hitam dan
seumpamanya, dan juga menukar warna kulit asal yang dicipta Allah s.w.t.
supaya lebih putih umpamanya.
Ini sama sekali tidak di atas tujuan rawatan penyakit yang tidak boleh
sembuh dengan sendiri. Ada pun penyakit yang menyebabkan kecacatan yang
boleh sembuh dengan sendirinya, TIDAK diharuskan membuat pengubahan dan
pemalsuan padanya, seperti larangan Nabi s.a.w. terhadap seorang wanita
yang meminta kebenaran untuk memakaikan rambut palsu ke atas anaknya yang
baru berkahwin yang terkena penyakit kulit sehingga gugur dan putus
rambutnya. Ini kerana rambut yang gugur dan putus itu akan sembuh seperti
sedia kala apabila pulihnya penyakit kulit itu. Maka rawatlah penyakit
kulit itu dahulu dan tidak perlu memalsukan rambut.
Tetapi setakat manakah had rawatan yang diharuskan itu? Ini persoalannya.
Kita telah katakan tadi bahawa hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak
boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan dibuat pembikinan
semula (bukan mengubah ciptaan), seperti memasang gigi palsu di tempat
gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang
lain), mengatur susunan gigi yang berserakah (tapi bukan
mengasah/mengikir), memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat yang botak
(bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang daki dan jeragat
pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia
untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau
janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat
atau spray menurut warna yang diingini oleh tuannya), dan demikianlah
seterusnya sebagai perbezaan antara merawat/menjaga keaslian ciptaan Allah
s.w.t. dan mengubah ciptaan-Nya. Merawat/menjaga HARUS dan me!
ngubah HARAM.
Bagi rambut yang uban keputihan sebagai tanda usia yang semakin lanjut,
selain larangan mewarnakannya menjadi hitam, mencabut helaian rambut yang
uban juga adalah dilarang. Ini berdasarkan hadis `Amr bin Syu`aib daripada
bapanya (Syu`aib bin Muhammad) daripada datuknya (Muhammad bin Abdillah
bin `Amr bin al-`Aas r.a.) bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Jangan kamu mencabut uban, sesungguhnya ia menjadi cahaya bagi seseorang
muslim di hari Kiamat" (Hadis Hasan, riwayat al-Turmudzi, Abu Dawud dan
al-Nasai).
Memang uban di kepala akan mengingatkan seseorang kepada usia yang semakin
meningkat dan hayat semakin singkat serta mati semakin dekat. Amalan
mengingati mati akan meningkatkan iman seseorang dan memberi motivasi
kepada diri untuk bertaubat atas dosa yang dilakukan sebagai persediaan
menghadapi maut. Kerana itu baginda amat menggalakkan amalan mengingati
mati seperti dalam hadisnya yang bermaksud:
"Perbanyakkanlah kamu mengingati penghancur segala kelazatan (maut)"
(Riwayat al-Turmudzi dan katanya, Hadis Hasan).
Sekira uban boleh mengingatkan akan kematian, kenapa uban itu ditukar
warna atau dicabut? Sepatutnya kita bersyukur dengan kedatangan uban
sebagai peringatan daripada Allah s.w.t.
Berbalik kepada persoalan larangan mengubah ciptaan Allah s.w.t., apakah
hikmah Islam mengharamkan perbuatan itu, sedangkan anggota kita adalah hak
kita. Demikianlah sangkaan orang kafir dan orang yang ingkar kepada Allah
s.w.t. sehingga mereka mendabik dada mendakwa diri mereka sebagai hak
mutlak mereka. Sedangkan hakikatnya, diri manusia dan segala makhluk di
alam ini adalah hak mutlak Allah s.w.t., Dia yang berhak untuk mengenakan
apa sahaja peraturan-Nya kepada makhluknya yang dijadikan bermula daripada
tiada. Sedangkan manusia yang mencipta benda baharu (daripada bahan-bahan
asas yang Allah s.w.t. jadikan) mempunyai status hak cipta yang tidak
boleh ditiru atau dipinda oleh orang lain.
Tentang hal ini Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi menulis, "Islam datang untuk
membuangkan tanggapan yang terdapat dalam sesetengah agama terdahulu
kononnya sebarang bentuk perhiasan adalah melalaikan, lalu ia menyeru
kepada bentuk perhiasan yang seimbang dan sederhana, sebagai bantahan
kepada orang yang mengharamkan perhiasan yang Allah keluarkan untuk
hamba-Nya. Kerana itu, Allah s.w.t. memerintahkan supaya kita mengambil
perhiasan ketika hendak menunaikan solat di masjid (maksud al-A`raf: 31)."
"Islam mensyariatkan/mengharuskan perhiasan untuk lelaki dan perempuan,
namun sebagai meraikan fitrah kewanitaan yang amat cenderung kepada
perhiasan, maka diharuskan bagi wanita untuk memakai sutera dan emas,
tidak bagi lelaki."
"Walau bagaimanapun Islam tetap mengharamkan beberapa bentuk perhiasan
yang melampaui kesederhanaan, fitrah semula jadi dan perubahan ke atas
ciptaan Allah s.w.t. yang merupakan jalan syaitan menyesatkan manusia."
"Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. menamakan perbuatan mengubah
ciptaan-Nya untuk kelihatan cantik sebagai 'al-Zuur' iaitu penipuan atau
pembohongan. Islam mengharamkan sebarang bentuk penipuan sama ada dalam
hal muamalat atau tingkah laku. Baginda juga pernah bersabda maksudnya, "
Sesiapa yang menipu kami, bukanlah di kalangan kami." (al-Qaradawi, Fatawa
Mu`asirah, jilid 1, m.s: 426-428)
Sekian jawapan saya, waLlahu a`lam bis sowab, wabiLlahi al-tawfik.