Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Jangan biarkan akhbar dikawal parti kerajaan

Kenyataan KAMI (7/2001)

Jangan biarkan akhbar dikawal parti kerajaan

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) memandang serius cadangan MCA untuk mengambil alih kumpulan akhbar ‘Nanyang Siang Pau’ dan ‘China Press’ seperti dilaporkan akhir-akhir ini.

Di Malaysia, kawalan parti pemerintah terhadap kumpulan-kumpulan akhbar memang bukan lagi rahsia. Malah, cara kawalan ini jauh lebih berkesan -- berbanding tekanan rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) -- untuk melumpuhkan kebebasan akhbar dan menekan kebebasan wartawan membuat laporan dengan adil dan seimbang.

Tekanan KDN lebih terbuka dan rasmi tetapi tekanan pemilik dan pemegang modal terhadap dasar-dasar editorial (kandungan berita akhbar) jauh lebih halus dan sulit untuk diketahui oleh orang ramai. Bagaimanapun, kesannya tetap merugikan pembaca dan kepentingan awam.

Semua kumpulan akhbar, sama ada di peringkat nasional atau di peringkat negeri seperti di Sabah dan Sarawak, secara terang-terangan dikuasai oleh parti-parti pemerintah yang dominan.

Akhbar harian bukan sahaja digunakan untuk mempromosikan suara rasmi pemimpin kerajaan dan parti pemerintah serta memutar-belitkan kenyataan pembangkang, tetapi (apabila diperlukan) digunakan untuk menutup salah guna kuasa dan rasuah pemimpin kerajaan tertentu.

Malah, apabila kem-kem politik berebut kuasa sesama mereka, akhbar-akhbar ini digunakan untuk memburuk-burukkan musuh-musuh politik di dalam parti yang sama.

Selama ini, beginilah sifat akhbar-akhbar harian berbahasa Melayu dan Inggeris akibat kawalan langsung syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan terus dengan pemimpin kroni atau parti pemerintah.

Oleh itu, masyarakat tidak mendapat maklumat sepatutnya bagi memudahkan mereka membuat keputusan-keputusan politik yang penting, misalnya menjelang pilihanraya umum. Ketika pilihanraya, semua jenis media arus perdana bukan sahaja memadamkan (black out) kenyataan parti-parti pembangkang tetapi hilang etika kewartawanan dengan mereka-reka cipta berita-berita karut.

Jelaslah, kawalan syarikat yang ada hubungan dengan parti kerajaan (terhadap akhbar harian) mempunyai kesan buruk kepada semua pihak - sama ada penyokong kerajaan, rakyat biasa atau penyokong pembangkang.

Bagaimanapun, parti-parti politik sepatutnya dibenarkan memiliki dan menerbitkan akhbar mereka sendiri. KAMI tidak mempertikaikan langkah ini, malah memandang sebarang kawalan terhadap akhbar-akhbar parti, misalnya ‘Harakah’, ‘Suara PRM’ dan ‘Berita Keadilan’, adalah satu bentuk penindasan terhadap hak bersuara.

Tetapi KAMI menentang sebarang langkah untuk menyamar dan berpura-pura kononnya akhbar-akhbar harian itu bebas, padahal sebenarnya tidak jauh bezanya suara rasmi (organ) parti-parti kerajaan.

Jika parti kerajaan berminat menerbitkan akhbar, maka wajar diumumkan secara rasmi bahawa akhbar itu organ rasmi (official organ) sesebuah parti.

Cara penguasaan akhbar-akhbar harian – bermula dengan pengambilalihan (take-over) ‘Utusan Melayu’ oleh UMNO pada awal 1960-an lalu – oleh parti-parti politik serta kawalan mutlak media massa awam (seperti Radio Televisyen Malaysia) seharusnya dihentikan.

Kesan buruk kawalan terhadap akhbar dan wartawan seperti ini harus dibantah sekeras-kerasnya. Mendukung semangat perjuangan kebebasan akhbar, KAMI menggesa pemilik Kumpulan Nanyang Press agar tidak menjual kepentingan mereka kepada syarikat-syarikat milik mana-mana parti kerajaan.

KAMI juga menyokong sebarang usaha bantahan yang dijalankan oleh wartawan-wartawan Kumpulan Nanyang dan menggesa semua pertubuhan wartawan memberikan sokongan kepada rakan-rakan wartawan di ‘Nanyang Siang Pau’ dan ‘China Press.’

AHMAD LUTFI OTHMAN,
Jurucakap
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)

Emel: lutfi_detik@hotmail.com atau faomar@yahoo.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 27 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com