Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kenyataan sokongan JK Memo Rakyat 14 April

(Kenyataan ini ditaip semula daripada risalah yang diedarkan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur sempena pelancaran Gerakan Pemansuhan ISA [Abolish ISA Movement] pada 30 April, 2001. Harap Maklum.

KENYATAAN PRIHATIN
JAWATANKUASA MEMORANDUM RAKYAT 14 APRIL
MENYOKONG PELANCARAN GERAKAN MANSUHKAN ISA

Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April mengalu-alukan pelancaran rasmi Gerakan Mansuhkan ISA (BEBAS) yang dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang Parlimen merangkap Presiden Parti Islam SeMalaysia, Dato’ Fadzil Mohd Nor. Kami menyokong aktif kehadiran BEBAS yang menghimpunkan pelbagai pertubuhan dan parti politik dengan objektifnya yang jelas untuk membebaskan semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan memansuhkan akta zalim itu sebagai peningkatan kepada perjuangan rakyat yang cintakan keadilan, kebenaran dan kebebasan bagi menentang kezaliman, kebatilan dan penindasan kerajaan pimpinan Diktator Mahathir Mohamad.

Sejak Diktator Mahathir berkuasa, negara ini kian dimusnahkan dengan rakusnya. Nilai dan martabat kemanusiaan rakyat diperkosa. Hak asasi manusia dicabul dengan sewenang-wenangnya. Suara rakyat yang dahagakan perubahan nilai dan dasar pemerintahan yang lebih baik dipukul kejam. Amalan rasuah, kronisme dan nepotisme semakin kebal dilindungi. Kehidupan sosio-ekonomi rakyat kian tertindas. Tidak dapat dinafikan bahawa di bawah pemerintahan Diktator Mahathir negara Malaysia sedang mengalami bencana kehancuran nilai kemanusiaan melalui pencabulan berleluasa hak asasi manusia, sekatan kebebasan bersuara, pembantaian hak perhimpunan aman, kerakusan penggunaan ISA dan undang-undang zalim yang lain serta pengaiban sistematik tanpa perikemanusiaan terhadap pengasas dan pemimpin ulung Gerakan Reformasi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Gementar dengan kerahan kebangkitan rakyat menuntut keadilan dan menentang kezaliman, Diktator Mahathir menggunakan ISA berkali-kali sebagai perisai dan senjata untuk melindungi kepentingan diri, kerabat, sukusakat dan talibarutnya.

Dalam episod terkini penggunaan ISA, kerajaan Diktator Mahathir bertindak menahan Mohd Ezam Mohd Noor, Hishamuddin Rais, Tian Chua, Saari Sungib, Raja Petra Raja Kamaruddin, Gobala Krishnan Nagapan, Abdul Ghani Harun, Dr. Badrul Amin Baharom, Lokman Nor Adam dan Badaruddin Ismail. Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Diktator Mahathir menangkap mereka dan mendesak mereka dibebaskan segera tanpa syarat. Simpati kami bersama dengan ahli-ahli keluarga mangsa tahanan tersebut.

Operasi terbaru ISA ini belum berakhir. Berdasarkan kenyataan-kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai, masih terdapat beberapa sasaran lagi untuk ditangkap. Tidak cukup dengan penangkapan, para aktivis Reformasi telah difitnahkan tanpa peluang membela diri. Dalam kenyataan pertamanya, Norian memfitnah kononnya kegiatan Reformasi merancang menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan secara besar-besaran dan bersiap-sedia untuk bertindak secara militan dengan melaksanakan langkah-langkah tertentu untuk mendapatkan bahan letupan termasuk bom dan ‘grenade launcher’, menggunakan ‘molotov cocktail’, ‘ball-bearing’ dan berbagai-bagai senjata untuk menyerang pihak keselamatan bagi menimbulkan huruhara semasa demonstrasi. Kenyataan Norian berbau fitnah, berniat jahat dan tidak berasas. Segala tuduhan beliau gagal dibuktikan sehingga kini. Sewajarnya ia ditolak tegas oleh pelbagai parti dan lapisan masyarakat. Malah ia adalah satu pembohongan yang tersangat nyata sekaligus menempelak kewibawaan pasukan polis yang sudah tercemar dan begitu mudah diperalatkan demi kepentingan politik Diktator Mahathir.

Norain Mai diperingatkan agar tidak terjebak mengulangi kesilapan bekas ketuanya Tan Sri Abdul Rahim Noor. Kami menggesa beliau memberi perhatian serius terhadap pelbagai lapuran polis mengenai salahlaku Diktator Mahathir bersama kuncu-kuncunya dan bertindak tegas secara profesyenal menangkap, menyiasat dan mendakwa mereka. Apakah Norain masih punya wibawa bertindak demikian demi kepentingan rakyat? Jika tidak, Norian disaran supaya mengambil langkah terhormat dengan meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara.

Sekalipun beberapa pemimpin dan aktivis ditahan ISA, agenda Reformasi untuk menuntut perubahan kepimpinan dan dasar negara akan diteruskan. Dalam konteks ini, kami mempertegaskan pendirian untuk terus mara menggempur kediktatoran Mahathir, memperjuangkan pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta teman-teman seperjuangan Reformasi yang ditahan melalui perhimpunan dan protes rakyat secara aman. Dalam pada itu, putarbelit Diktator Mahathir akan terus mengganas dengan memberi gambaran buruk terhadap Gerakan Reformasi yang kononnya bertindak ganas. Namun siapa sebenarnya yang bertindak militan, ganas dan melampau?

Bermula dengan operasi ala Gestapo menangkap Dato’ Seri Anwar yang disusuli dengan serangan fisikal ke atas Anwar oleh Ketua Polis Negara sendiri semasa dalam tahanan polis dan selanjutnya pembantaian rakyat dalam siri-siri perhimpunan aman oleh pasukan polis dengan bedilan meriam air beracun, tembakan gas pemedih mata, serangan belantan, tindakan buas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan berbagai bentuk keganasan polis ke atas rakyat sudah cukup menjadi bukti nyata dan hujjah kukuh bahawa kerajaan Diktator Mahathir yang sebenarnya bertindak secara militan, ganas dan melampau.

Tindakan militan, keganasan dan melampau bukan budaya Gerakan Reformasi. Kerana itu, acara tahunan perhimpunan Black 14 yang dianjurkan baru-baru ini bagi memperingati hari kezaliman Diktator Mahathir dan hari jatuh hukum Dato’ Seri Anwar berjaya dilangsungkan dalam suasana aman dan terkawal. Ribuan rakyat yang hadir berhimpun ketika penyerahan Memorandum Rakyat yang diketuai oleh Presiden Parti Keadilan Nasional Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada SUHAKAM pada 14 April itu memperlihatkan kematangan tinggi dan kemampuan rakyat mengawal perasaan semata-mata untuk memastikan perhimpunan bermula dan berakhir dengan aman. Rakyat bijak bertindak dengan memberi kepatuhan terhadap arahan pimpinan pelbagai parti, badan-badan bukan kerajaan dan Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April agar tidak terperangkap dengan sebarang provokasi untuk menggagalkan perhimpunan aman itu.

Kejayaan perhimpunan aman Black 14 itu merangsangkan lagi kami untuk mengatur penentangan berterusan terhadap dasar-dasar dan undang-undang zalim Diktator Mahathir. Dengan iltizam ini, Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April bersedia memikul peranan aktif untuk merealisasikan objektif BEBAS di tengah-tengah arus deras kebangkitan rakyat untuk melawan kezaliman, kebatilan dan penindasan serta menghumban Diktator Mahathir dalam tong sampah sejarah bumi Malaysia yang tercinta.

Abdul Malek Hussin.
Ahli Jawatankuasa Memorandum Rakyat 14 April.


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 3 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com