Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Sengsara ISA, Batu Gajah 1969

Lee Ban Chen

Berikut teks penuh terjemahan kenyataan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Kem Tahanan Khas Batu Gajah 1 Mei 1969 yang bertajuk: “Dengan tegas memboikot pilihanraya dan hari mengundi, menghancurkan penipuan 'demokrasi pilihanraya'.”

Kenyataan ini sangat penting kerana ia merupakan dokumen penderitaan yang mereka alami sendiri sebagai tahanan ISA dan sukar dipertikaikan. Lebih-lebih lagi, dokumen bersejarah ini masih relevan kepada semua pihak, sama ada pihak berkuasa atau mereka yang menentang undang-undang yang antihak asasi manusia itu. Dengan meyakinkan, dokumen ini membuktikan bahawa ISA harus dihapus dengan segera!

“Rakyat semua kaum dan lapisan yang dicintai:

Regim Perikatan (sekarang Barisan Nasional) yang reaksioner (reactionary) telah mewarisi dari penjajah Inggeris penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk memenjarakan kader-kader parti politik dan pertubuhan kiri, pencinta demokrasi yang patriotik, ahli-ahli majlis berkuasa tempatan, wakil-wakil dewan undangan negeri serta Dewan Rakyat buat jangka masa yang panjang tanpa diadili di mahkamah terbuka.

Di samping itu, pendaftaran kesatuan sekerja dan pertubuhan kiri juga dimansuhkan, cawangan dan bahagian parti politik dilarang, kerakyatan pencinta negara dirampas dan sesetengahnya disusuli dengan pembuangan negeri, pekerja yang berpiket atau mogok secara aman ditindas, orang ramai yang berdemonstrasi secara aman ditembak, dan pendidikan dan kebudayaan pelbagai kaum disekat dan digagalkan.

Tidak waras

Ringkasnya, segala hak demokrasi asasi rakyat termasuk kebebasan bersuara, berhimpun, penerbitan, dan kebebasan bergerak telah dimusnahkan secara serius oleh regim Perikatan, dan terdedahlah sifat fasis (fascist) serta wajah hodoh regim Perikatan secara menyeluruh.

Orang ramai harus dimaklumkan bahawa tahanan politik selama ini telah diseksa dan diganasi oleh rejim reaksioner Perikatan, sehingga ramai yang jatuh sakit, mengalami kecederaan luaran dan dalaman, malah menjadi tidak waras. Keganasan Perikatan tersebut harus didedah dan dikutuk!

Segala tipu helah tidak dapat menutup insiden yang telah berlaku. Tidak kira bagaimana regim reaksioner Perikatan cuba menggembar-gemburkan kebaikan amalan dasar-dasar ‘demokrasinya’, dosa-dosa yang telah dilakukannya ke atas tahanan politik seperti berikut tidak boleh dibersihkan dengan apa helah sekalipun:

1. Tahanan politik dikurung keseorangan dalam bilik kecil yang buruk aliran udaranya selama tiga hingga lima bulan, malah setahun lamanya tanpa dibenarkan lawatan peguam atau ahli keluarga dan bahan bacaan. Segala seksaan mental dan siasatan siang malam yang berterusan selama beberapa hari tanpa dibenarkan tidur dan rehat telah menyebabkan ramai tahanan menghidap penyakit jiwa, malah ada yang menjadi tidak waras;

2. Semasa siasatan, tahanan politik digari dan diseksa: perut ditumbuk atau ditendang, rambut ditarik dan kepala dihentak ke tembok bilik siasat dan sebagainya. Ada tahanan terpaksa menjalani pembedahan di hospital kerana berdarah dalam perut;

3. Kesepuluh-sepuluh jari tahanan politik dicucuk dengan jarum atau celah-celah jari dilapis dengan pensil lalu digenggam dengan sekuat tenaga, supaya tahanan politik yang diseksa itu mengalami kesakitan yang tidak terperi;

4. Kemaluan tahanan politik dibakar dengan pemetik api atau dijentik dengan gelang getah, atau lebih dahsyat lagi, dicucuk dan masuki dengan batang besi yang halus;

5. Tahanan politik dipaksa melucutkan seluar dan duduk di atas botol minuman ringan supaya duburnya ditembusi leher botol (bottleneck);

6. Tahanan politik dipaksa melucutkan segala pakaian, supaya kesejukan dalam bilik berhawa dingin atau berkipas, sehingga ia jatuh sakit atau pengsan kerana terlalu sejuk;

Massa revolusioner

7. Banyak tahanan politik yang dibuang negeri di bawah Akta Pembuangan Negeri, mereka yang enggan dibuang negeri dipenjarakan tanpa jangka masa yang ditetapkan di penjara jenayah di merata tempat di seluruh negeri. Di penjara Seremban saja, ada tahanan politik yang patriotik telah dipenjarakan selama 10 hingga 20 tahun, dan masih dipenjarakan terus-menerus;

8. Ramai tahanan politik yang telah ditahan selama empat hingga lapan tahun dan ke atas, kini masih terus ditahan secara sewenang-wenangnya;

9. Pasukan antirusuhan sering dihantar ke tempat tahanan untuk menindas tahanan politik secara kekerasan, termasuk mereka yang enggan digari apabila hendak dihantar keluar dari tempat tahanan, dan mengakibatkan kecederaan;

10. Layanan, kebajikan dan kesihatan tahanan politik masih belum diperbaiki. Misalnya tahanan yang sakit digari apabila dihantar ke hospital; selepas pukul 9 malam, semua tahanan politik dikurung dalam bilik kecil yang panas dan kotor serta basah udaranya; harga pembelian barang harian lebih mahal daripada harga di pasaran luar sebanyak 20 peratus hingga sekali ganda.

Fakta-fakta tersebut telah membuktikan secara tegas bahawa regim reaksioner Perikatan menggunakan perdamaian dan demokrasi sebagai tipu helah, untuk melaksanakan dasar-dasar yang lebih biadab dan zalim daripada keganasan fasis yang dilaksanakan oleh imperialis tentera Jepun ketika pencerobohan dan pemerintahannya. Rakyat jelata telah mendapat didikan politik yang mendalam melalui penderitaan-penderitaan yang menyayat hati dan dosa-dosa yang mendedahkan sifat fasis dan wajah hodoh regim reaksioner!

Justeru itu, menjelang pilihanraya umum yang akan datang, kami - tahanan politik di kem tahanan Batu Gajah, Perak dengan tulus ikhlas menyeru kepada rakyat semua kaum dan lapisan supaya dengan tegas memboikot pilihanraya umum dan hari mengundi. Janganlah kita memperhiasi ‘demokrasi pilihanraya’ yang wujud pada nama saja, tapi telah mati pada hakikatnya. Marilah kita bersama-sama mengambil tindakan yang praktikal dan berkesan, dengan giatnya melakukan perjuangan massa yang revolusioner (revolutionary) untuk mengebumikan secara habis-habisan penipuan ‘demokrasi pilihanraya’, demi melaksanakan Malaya yang benar-benar merdeka, demokratik dan bersatu!”

Dari kenyataan tersebut, kita dapat mengambil beberapa iktibar yang berguna untuk menjadi rujukan kepada masalah yang kita hadapi pada masa sekarang.

Pertama, pada tahun 1960-an, ISA telah digunakan secara meluas dan sewenang-wenangnya untuk menindas parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan yang menjadi musuh politik Perikatan. Keadaan ini telah menyebabkan mangsa-mangsa ISA kehilangan kepercayaan terhadap ‘demokrasi pilihanraya’, lama-kelamaan mereka menjadi lebih militan dan makin bersandar kepada ‘perjuangan massa” yang revolusioner.

Lebih radikal

Dengan kata-kata lain, dasar-dasar Perikatan yang antihak asasi manusia dan tidak demokratik masa itu telah menyumbang secara langsung kepada fahaman dan cara perjuangan yang lebih radikal dan militan parti-parti pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Kedua, kezaliman dan penganiayaan memang telah berlaku secara meluas dan tanpa sebarang kawalan yang berkesan oleh mana-mana pihak. Keadaan ini telah menyebabkan seksaan fizikal dan mental yang meluas dan keterlaluan terhadap hampir setiap tahanan politik masa itu.

Tradisi ini telah menyebabkan kejadian ‘mata lebam’, dan juga tidak dapat menjamin kejadian-kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi terhadap 10 orang tahanan ISA yang hingga kini masih belum dibenarkan sebarang lawatan (kecuali lima orang, setakat ini - editor) oleh peguam atau ahli keluarga mereka, dan juga oleh wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ketiga, polis menyatakan bahawa selepas siasatan, tahanan ISA akan dibenarkan berjumpa dengan keluarga dan peguam. Tetapi ancaman keselamatan tahanan politik wujud ketika proses siasatan. Sekiranya sesuatu kejadian tidak diingini telah berlaku seperti didedahkan oleh kenyataan tahanan politik tahun 1960-an (di atas), ibaratnya nasi sudah menjadi bubur dan wakil Suhakam sendiri tidak dapat mengesan sebarang kejadian buruk itu (jika ada).

Jika polis jujur, semua tahanan ISA harus dengan segera dibenarkan berjumpa dengan peguam, ahli keluarga dan wakil Suhakam agar pihak-pihak ini dapat melihat dengan mata mereka sendiri jaminan keselamatan tahanan.

Maaflah, daripada pengalaman lepas yang pahit, kita masih belum yakin bahawa polis dapat menjamin keselamatan mereka!

....................................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 11 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com