Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Mokhzani Nafi Terima Kontrak Kerajaan

Mokhzani Nafi Terima Kontrak Kerajaan
(Mokhzani Denies Getting Government Projects)

Anak lelaki PM yang kedua, Dato Mokhzani Mahathir telah memberikan penjelasan kenapa dia mengundurkan diri daripada dunia korporat. Dia berkata: “Kebelakangan ini terlalu banyak fitnah membabitkan saya dengan projek-projek kerajaan. Tohmahan itu adalah palsu dan saya rasa ini adalah satu usaha yang tidak bertanggungjawab untuk mencemar nama saya dan juga ayahanda saya.” Sepatutnya dia sanggup bercerita sedikit bagaimana Tongkah diberikan penswastaan khidmat sokongan di hospital. Ketika tender dibuka, tiga syarikat telah disenaraikan untuk dipertimbangkan ke atas tiga buah kontrak-- bahagian utara, tengah dan selatan: Faber, Readycare, Hicom.

Hicom telah mengemukakan tawaran yang terbaik. Tetapi, secara tiba-tiba berlaku pula penilaian semula dan beberapa criteria ditukar oleh Unit Perancang Ekonomi negara yang ketika itu diketuai oleh satu nama yang cukup terkenal: Tan Sri Ali Abul Hassan (yang kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Gabenor Bank Negara dan kini menjadi penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri). Hicom telah digugurkan dan Tongkah telah terpilih sebagai pengganti. Pada waktu itu ‘turnover’ perniagaan Tongkah hanya RM12juta, setelah diberikan kontrak khidmat sokongan hospital itu turnover Tongkah melonjak menjadi RM175juta.

Mokhzani mengaku sudah keluar daripada kegiatan syarikat yang tersenarai dengan BSKL, dengan terjualnya segala saham pegangannya dalam Tongkah dan Pantai. Tetapi dia tidak pun menyebut nama syarikat lain di mana dia masih memegang sahamnya. Kenapa tidak? Dia telah memberikan wawancara kepada New Sunday Times (dan juga Autasan Mingguan – penterjemah) yang mencetuskan lebih banyak soalan berbanding jawapannya. Dia bertegas supaya rakyat Malaysia menghormati tindakannya. Tetapi tidak pun memberi ruang untuk kehormatan itu diberikan kepadanya apabila dia bercakap dengan penuh angkuh mahukan penghormatan kepada segala tindakannya. Dia berbohong apabila mengatakan ayahandanya tidak pun tahu akan perbuatannya itu. Orang yang membeli sahamnya yang bersamaan 32.9 persen saham syarikat, ialah seorang tuanpunya kilang sabun bernama Mr.Lim Tong Yong. Tauke ini telah mengaku betapa dia telah menghabiskan masa yang agak lama, berbulan lamanya, untuk membeli semua pegangan saham Mokhzani itu. Tetapi, secara tiba-tiba pula Mokhzani mencuba menelefon si bapa untuk memberitahu apa yang dilakukannya.

Dia mengungkit kisah anak-anak Suharto yang menjadi kaya raya. Mereka menerima kekayaan itu kerana ayah yang sungguh sayang dan memanjakan mereka. Dalam kisah Mokhzani, beliau mempunyai seorang ayah yang garang yang melarang anak-anaknya terlibat dalam urusniaga kerajaan. Inilah cerita yang beliau hamburkan kepada para wartawan yang mudah dimanjakan dan mengharapkan kita semua mempercayainya. Kalau dia dan semua malaun yang setongkang dengannya tidak membenarkan orang luar menyelongkar muslihat putar-belitnya, sudah tentu segala motif tindakannya boleh diragukan. Masanya tindakan itu dilaksanakan adalah memang amat bertepatan. Dia masih tidak memberikan penjelasan kenapa dia angkat kaki daripada projek kontrak hospital yang bernilai RM350 juta setahun.

Apakah tindakannya itu ada kaitan dengan peristiwa yang berlaku semasa dia mengambil-alih Pantai yang sudah menjadi satu isu perbalahan? Dia pernah meceritakan kepada seorang bekas wartawan ‘The Sun’ bagaimana pengambilan Pantai dilakukan menerusi sebuah syarikat di Hongkong di mana semua pihak adalah pemegang saham syarikat Hong Kong itu. Inilah pendedahan yang menjerat kaki Mokhzani sekarang. Wartawan itu sudah pun disingkirkan oleh majikannya kerana menulis cerita itu. Tidak lama lagi, Mokhzani akan muncul sebagai seorang saksi di Mahkamah Arbitration Industri (Industrial Arbitration Court) pada bulan hadapan.

Terlampau banyak benang-benang halus yang tidak jelas dalam rentangan kain kelentongan korporat ini. Mokhzani ialah sebiji bidak dalam percaturan peperangan politik antara ayahandanya dan menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin. Seperti yang berlaku kepada keluarga Suharto, kabilah Bin Mahathir akan terhumban di tepi jalan keaiban sebaik sahaja muncul satu regim yang baru menggantikan Dr. Mahathir. Seperti juga dengan perniagaan Darulboleh, para kroni, juak, anak-pinak dan sukusakat golongan ningrat, telah naik kaya raya dan menjalin empayar jaringan niaga yang mendapatkan bantuan pegawai kerajaan mengikut arahan. Sistem perbankan negara adalah satu contoh bagaimana mereka berjaya bertindak secara gelojoh. Begitu juga dengan Danamodal dan Danaharta. Pada satu ketika tiga-tiga anak lelaki perdana menteri in menanggung beban hutang di Malaysia dan Singapura bernilai berbilion ringgit, banyaknya.

Alangkah peliknya apabila hanya Mokhzani yang sibuk-sibuk mengenai maruah ayahandanya. Tidak pun ada cerita daripada abang dan adiknya yang cuba mencontohi tindakannya. Kalau mengikut undang-undang yang disebutkan Mokhzani, dia boleh menganggotai lembaga pengarah kepada lima syarikat sahaja. Bagaimana pula kisah 88 syarikat swasta lain yang dikuasainya? Kalau dia mahu keluar daripada sinario korporat apakah dia akan menjual habis keseluruhan empayar perniagaannya? Apa cara pun Mokhzani harus dilihat bersih dan telus. Tetapi, janganlah dia mengharapkan rakyat Malaysia mengalu-alukan tindakannya itu dengan tangan terbuka. Sebenarnya ada muslihat terselindung di mana juga. Kalau anda bersenang lenang dalam rumah kaca, anda mesti bersedia menerima lontaran batu ataupun bata.

-MGG Pillai-
Ahad 29/4/2001

....................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 11 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com