Tengah duduk berborak-borak dengan mak dan adik-adik di meja makan, tercakap
pasal sekolah-sekolah zaman British dulu. Mak cakap dalam buku Sejarah dia
dulu Dato' Bahaman, Tok Janggut dan pejuang-pejuang Tanah Melayu yang lain
digelar pemberontak. Mereka ganas dan tidak patut diikuti atau disokong.
Selepas merdeka baru kita dapat mengetahui perkara sebenar. Tok Janggut dan
yang lainnya adalah pejuang bangsa dan agama. Mereka cuba mempertahankan
kawasan setempat mereka dari jajahan British.
Ketika saya berada menengah rendah saya telah diajar dan ditanamkan ke dalam
minda saya Munsyi Abdullah adalah Bapa Persuratan Melayu. Sekarang saya
mendapat maklumat mengatakan Munsyi Abdullah mengalih Kitab Injil (Bible)
kepada Bahasa Melayu. Allah menyuruh kita untuk tidak buruk sangka tetapi
persoalannya untuk apa? Butir ini tidak ditulis di dalam mana-mana buku
Sejarah sekolah!
Naik tingkatan 4 saya didedahkan Kamal Attartuk adalah bapa pemodenan Turki.
Saya diberitahu dengan terperinci siapa Kamal Artartuk sebenarnya. Antaranya
perempuan dibolehkan memakai tudung tetapi hendaklah memakai skirt, menyuruh
lelaki menari dengan wanita dikhalayak ramai dan Kamal Attartuk sendiri
menari bersama-sama perempuan di Turki. Sebenarnya Kamal Artartuk adalah
bapa kemusnahan Turki. Namun begitu apa yang tertera di dalam buku Sejarah
tingkatan 4 adalah yang sebaliknya. Perkara yang dilakukan oleh Kamal
Attartuk juga tidak ada di mana-mana buku Sejarah sekolah! Neraca siapakah
dipakai yang menggelarkan Kamal Attartuk bapa pemodenan Turki?
Dari apa yang dipaparkan ini jelas pendidikan juga menjadi satu bahan
penjajahan minda. Perkara ini telah dilakukan oleh British dan UMNO sendiri.
UMNO adalah orang bersalah kerana mereka mempunyai kuasa dari merdeka untuk
mengubahnya tetapi gagal untuk berbuat demikian. Telah tiba masanya kerajaan
benar-benar memikirkan tentang kandungan fakta sejarah yang mengelirukan.
Janganlah sampai satu masa tercatat didalam buku Sejarah Saudara Ezam,
Anwar Ibrahim, Tian Chua, Gobalakrisnan, Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji
Hadi dan ahli-ahli Barisan Alternatif dilabelkan sebagai pemberontak,
penderhaka dan pengganas negara dan dibaca oleh anak-anak dan cucu-cucu kita
di masa akan datang kerana merekalah sebenarnya pejuang sejati.
Nia Iskandar