Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


BELIA PENJANA PERUBAHAN

PERUTUSAN HARI BELIA (15 MEI 2001)

BELIA PENJANA PERUBAHAN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan jutaan tahniah kepada seluruh warga belia di atas sambutan Hari Belia Kebangsaan hari ini. DPP Pusat mengharapkan semoga sambutan hari belia pada tahun ini menjadi titik tolak kepada sebuah gerakan belia yang agresif, bermaklumat dan berobjektif menggarap keadilan untuk semua. Bagi DPP Pusat, tenaga dan pemikiran golongan belia sangat penting untuk masa depan negara terutama dalam menggagaskan suatu pembaharuan yang bermakna kepada sistem-sistem di negara ini.

Sejarah telah merakamkan kepada seluruh dunia bagaimana peranan golongan belia yang sangat besar dalam melakukan pembaharuan akibat daripada kezaliman, penyelewengan, kerakusan dan penindasan pemerintah. Lihat sahaja peranan Ashabul Ukhdud, Ashabul Kahfi, Ali bin Abi Talib, Usama bin Zaid dan sebagainya yang menjadi pelopor pembaharuan pada tempat dan era masing-masing atas nama seorang pemuda dan belia. Kita juga menyaksikan bagaimana kebangkitan rakyat di Iran, Korea, China, Filipina dan Thailand yang dipimpin oleh para belia terutamanya para mahasiswa. Kerana itulah, di negara kita peranan belia dalam menjana perubahanan sangat penting lebih-lebih lagi ketika golongan tua yang tidak begitu cekap mengakses maklumat masih memberikan taat setianya kepada pemimpin-pemimpin yang zalim.

Dalam konteks negara ini, pergerakan belia agak lemah lemah terutamanya di luar bandar. Satu perubahan yang mesti dicipta oleh golongan belia ialah menghentikan pandangan buruk masyarakat terhadap belia yang selama ini sering disinonimkan dengan masalah sosial. Golongan remaja dan belia mestilah meletakkan tekad untuk membersihkan nama mereka dengan berubah daripada penjana masalah sosial kepada penjana perubahan sistem pemerintahan negara. DPP Pusat sangat menyedari bahawa para belia hari ini sedang berhadapan dengan satu persaingan baru dalam menangani masalah social kerana persoalan social hari bukan lagi tertumpu kepada gejala lepak, bohsia, buang anak, penagihan dadah, zina, arak, hedonisme dan sebagainya, tetapi gejala social yang baru ini ialah fitnah, kezaliman, penindasan, tipu daya, sekatan minda, ancaman terhadap hak asasi dan sebagainya.

Berbeza dengan gejala lama yang dikaitkan dengan kegiatan liar para belia, gejala baru ini sebenarnya dicetus oleh pemimpin negara yang membebani masa depan para belia. Kerana kesedaran inilah, DPP Pusat menyeru seluruh belia supaya menjadikan hari belia pada tahun ini sebagai penggarap mesej untuk melakukan perubahan bagi menjamin masa depan negara yang lebih berdaya maju. Jika kemelut yang dicipta oleh pemimpin BN hari ini tidak segera diruntuhkan oleh para belia, DPP Pusat sangat bimbang sekiranya masa depan negara akan bertambah malap sehingga peluang para belia untuk menikmati kemajuan menyeluruh pada 2020 tidak menjadi kenyataan.

YB HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 23 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungdaily.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com