Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Jati Diri menghadapi gerakan Kristianisasi di Malaysia

Setelah tulisan saya tentang Lina Joy, gadis Melayu yang murtad tersiar di beberapa mailing list, beberapa hari lalu, ada seseorang yang mengirimkan semacam 'peringatan'. Bahawa kini gerakan Kristianisasi di Malaysia -- dan belahan dunia lainnya -- seolah-olah tidak terbendung lagi. Lina Joy hanyalah salah seorang di antara sekian ramai remaja Melayu yang sudah terjerumus ke lembah kekufuran. Saya tidak tahu apakah gelombang kristianisasi itu disedari oleh para pemimpin utama negara ini, atau memang mereka tahu tetapi tidak berdaya untuk membendungnya. Setidaknya sehingga saat ini masih belum nampak bagaimana mereka berusaha untuk menangani gejala tidak sihat tersebut. Atau memang sengaja dibiarkan masalah tersebut terselesaikan secara alamiah. Sekiranya mereka sedar, sekurang-kurangnya kita sudah dapat merasakan bagaimana produk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah kita tidak lagi buta al-Qur'an. Dengan penguasaan fardhu 'ain yang amat sangat terbatas. Bahkan sebahagian besar pelajar Melayu yang masuk IPT tidak sempat khatam muqaddam. Apalagi menghafalnya. Baca al-Qur'an tergagap-gagap. Kalau ada yang menguasai lebih dari itu, pasti ianya diperolehi melalui usaha di luar ruang kelas.

Semakin hari kian tidak asing di telinga kita orang membicarakan tentang kemajuan seseorang hanya pada pencapaian kebendaan. Seperti orang itu mendapat projek itu dan ini, dan keuntungan perniagaan sekian ratus ribu ringgit setahun. Wangnya dihambur-hamburkan untuk melancong ke mancanegara bersama keluarga. Orang hampir lupa mau bertanya, apakah orang kaya itu mengeluarkan zakat mal (harta)-nya atau tidak? Apakah korporat itu 'menyantuni' orang-orang yang kurang bernasib baik atau tidak? Apakah pengusaha jaya itu menyisihkan sebahagian dari keuntungan dagangnya untuk membela nasib jirannya yang hidupnya sangat daif? Dulu kita hanya mendengar atau mengetahui bahawa di Barat para orangtua harus menelefon terlebih dahulu sekiranya mahu bertandang ke rumah anak-menantunya. Mesti minta kebenaran terlebih dahulu sebelum berangkat ke rumah anak-menantunya. Mesti ditanyakan apakah ada hotel yang dekat dengan rumah anak-menantunya untuk menginap, kalau terpaksa bermalam kerana tidak sempat pulang.

Kini budaya seperti itu sudah menjalar ke dalam kehidupan masyarakat kita. Datuk dan nenek tidak lagi dapat sewenang-wenang menggendong cucunya kalau tidak mendapatkan kebenaran daripada anak-menantunya. Ada sesetengah anak-menantu memandang 'jijik' pada orangtua atau mertuanya sendiri. Dalam hal ini tidak membenarkan bayinya dipangku oleh datuk atau neneknya. Takut terjangkiti 'virus' kerana tidak steril. Ada sesetengah anak-menantu yang pulang ke rumah orangtua atau mertua -- kerana rasa 'jijik' itu pulalah -- tidak mau makan di rumah. Lebih memilih makan dan menginap di hotel. Apa yang saya perkatakan itu, boleh jadi terlalu tidak penting bagi sesetengah orang. Khususnya yang berpendapat bahawa agama -- dalam hal ini Islam -- tidak boleh dibawa dalam urusan pemerintahan atau politik. Orang-orang yang beranggapan seperti itu mungkin tidak akan pernah merasakan prihatin apabila mengetahui masih terdapat ribuan Lina Joy di Malaysia.

Mereka tidak ambil pusing berapa banyak anak Melayu yang akan murtad, selama periuk nasinya tidak terancam. Mahathir boleh jadi tidak punya formula untuk menyelesaikan masalah kristianisasi di Malaysia. Sebab selama ini dia nampak lebih berbangga dengan pencapaian pembangunan fizikal, tanpa mempedulikan tentang gejala hakisan moral. Kegagalan Mahathir dalam menangani masalah remaja 'buta agama', tentunya, tidak 100 peratus dipikul oleh Mahathir seorang diri. Sebab di sekelilingnya terdapat sejumlah penasihat yang harus ikut bertanggungjawab. Sepatutnya para penasihat ini tidak membiarkan Mahathir hanyut dan tenggelam dengan faham sekular yang dianutnya sejak masih muda belia sehingga tua bangka seperti sekarang ini.

Sampai bilakah Mahathir akan sedar bahawa Islam bukan hanya mengatur tentang rukun Islam yang lima, tetapi juga mencakupi seluruh peraturan hidup berbangsa dan bernegara yang lengkap, sebagai ad-dien. Selama belum menemukan rumusan bahawa Islam adalah ad-dien, maka selama itu Melayu yang mengaku menganut agama Islam belum menemukan jati dirinya. Dan sampai bilakah umat Islam Malaysia akan terbebas dari rasa khuatir anggota keluarganya akan terpedaya dengan dakyah Kristian dan ajaran sesat lainnya?


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 20 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungdaily.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com