|
Di Sabah, terkenal dengan gunung Kinabalunya, orang
Utannya, Pesta Keamatan dan keunikan adat resam serta
budaya suku kaum yang pelbagai. Tetapi Sabah juga
terkenal dengan budaya tukar kerajaan atau parti
pemerintah, ahli politik lompat parti, tukar parti,
politikus berminda/berbudaya katak, bubar parti, tubuh
parti baru dan macam-macam lagi. Untuk kali ini
penulis ingin menyentuh satu budaya politik baru di
Sabah, iaitu mendengar ceramah waktu malam di hotel
tanpa diangkut dengan bas atau upah RM atau diberi
jamuan selepas diberi ceramah. Bahkan mereka akan
diminta seringan hati menghulur derma/sedekah untuk
parti dan perjuangan rakyat melalui wadah parti yang
akar umbi kekuatannya adalah hati rakyat, jiwa rakyat,
tenaga rakyat, sumbangan rakyat dan pemikiran rakyat.
Kesedaran inilah yang mengerunkan UMNO/BN di Sabah
dalam menghadapi rempuhan kesedaran rakyat bagi
mempertahankan kuasa politik mereka di Sabah pada
pilihanraya umum negeri sama ada tahun 2003 atau 2004
nanti.
Inilah satu kelainan tentang kesedaran politik baru
di Sabah, sudah ada dua tiga kali ceramah terbuka BA
diadakan di Sabah, namun penulis hanya sempat
mengikuti satu ceramah YB Saifuddin Ismail di sebuah
Hotel di pusat Bandaraya Kota Kinabalu pada akhir
bulan April, 2001 yang lalu dan kali kedua pada 3 Mei,
2001 pula ceramah YB Haji Mahfuz Omar di Dewan Hongkod
Koisaan, Penampamg, kedua-duanya diadakan waktu malam.
Dari segi sambutan rakyat Malaysia di Sabah cukup
merangsangkan dan meyakinkan bahawa ada kesedaran baru
tentang politik di alaf baru dan di abad ke 21 ini.
Memang banyak maklumat baru yang tidak disiarkan oleh
mana-mana akhbar tempatan atau akhbar perdana yang
dikuasai oleh parti pemerintah, tetapi telah
diperjelaskan secara berhikmah, baik dan meyakinkan
oleh kedua-dua Yang Berhormat dari Barisan Alternatif
itu. Tentang penyelewengan, salah guna kuasa, isu
kroni, nipotisme, kezaliman terhadap DS Anwar Ibrahim
oleh kerajaan pimpinan PM sekarang, keretakan UMNO,
sistem kehakiman yang dikongkong oleh penguasa,
salahguna wang rakyat menyelamat kroni atau tauke
tertentu dan banyak lagi.
Itulah sikap pemerintah sekarang UMNO/BN dibawah
pimpinan Dr Mahathir and Kroni's yang menyorokkan
kebenaran, menimbus kebenaran dengan pelbagai
kepalsuan, penyelewengan dan rasuah. Hampir 20 tahun
dia menjadi PM, budaya politik Sabahpun dia tidak
boleh nilai secara telus dan bertanggungjawab sebagai
seorang PM ketua kerajaan pusat. Ahli-ahli politik
Sabah terutamanya pimpinan UMNO negeri seperti tiada
wibawa melainkan mendapat arahan dari PM baru boleh
buat keputusan, ini termasuklah isu sistem penggiliran
ketua menteri "ayam mati" yang dipetik dari kenyataan
PM kepada akhbar tempatan sebelum keputusan penerusan
sistem giliran itu, ini seperti apa yang dinyatakan
oleh Ketua Perhubungan Keadilan Sabah Sdra. Abdul
Rahman Yakob semasa berucap bersama YB Saifuddin dulu.
Suasana kesedaran baru politik ini, sebenarnya sudah
bermula sejak pemecatan DS Anwar Ibrahim lagi,
umpamanya pada tahun 1999 sebelum pilihanraya umum
ketika isteri DS Anwar, Dr Wan Azizah wan Ismail dan
barisan pimpinan Keadilan pusat mengadakan lawatan ke
Sabah di beberapa buah daerah, satu perhimpunan yang
sempat penulis hadir ialah perhimpunan di Dewan
Hongkod Koisaan Penampang pada hari itu dipenuhi oleh
rakyat marhaein pelbagai kaum datang ingin mendengar
penjelasan pimpinan BA terutama dari Parti Keadilan
cukup menggalakkan. Walaupun, kesedaran dan semangat
itu tidak seperti rakyat di Semenanjung, tetapi secara
senyap rakyat Sabah sudah terpercik oleh kesedaran itu
dan insya-Allah, rakyat Sabah akan merubah lagi parti
pemerintah daripada kerajaan negeri yang ada sekarang
kepada sebuah kerajaan negeri yang lebih telus dan
amanah dibawah gabungan BA dan PBS dalam pilihanraya
umum negeri mungkin pada tahun 2003 atau 2004 akan
datang ini.
Kita mengharapkan kepimpinan BA Sabah yang
mengabungkan Keadilan, DAP, PAS dan PRM supaya dapat
menyuburkan dan menyemarakkan terus kesedaran terhadap
politik berwajah baru ini dikalangan rakyat Sabah di
semua peringkat. Walaupun, sebenarnya kita menghadapi
masalah golongan penggerak akar umbi yang berani
menentang arus, berani mengkritik dan menyuarakan yang
benar lagi hak tidak berapa ramai mahu tampil ke
hadapan. Secara senyap pada pandangan penulis rakyat
Sabah sudah mual dengan sikap pimpinan UMNO/BN di
Sabah, sampai ada ketua UMNO cawangan berlagak sehebat
ketua bahagian atau presidennya, cakapnya besar, konon
dia ada kuasa itu ini dan bermacam lagi karenah mereka
yang cukup tidak menyenangkan rakyat terbanyak. Belum
masuk penyakit atau rasukan kebendaan dan RM yang
membarah dalam akal budi mereka. Sampai ada yang
berkata nak pembangunan, nak RM, nak peluang kerja,
biasiswa anak-anak, nak ke universiti, nak dapatkan
projek jambatan kampung, tar jalan, tiang letrik,
atap, tangki air dan sebagainya mesti masuk atau
sokong UMNO/BN. Inilah perangkap pemikiran dikalangan
rakyat, rakyat di kampung-kampung tidak terbuka mata,
hati dan akal untuk berfikir secara lebih terbuka.
Betulkah rezeki itu datangnya dari UMNO/BN, bukan dari
Allah SWT, betulkah harta negara seperti kayu balak,
hasilan tanaman, minyak dan lain-lain ini merupakan
harta benda UMNO/BN atau harta PM, TPM dan
menteri-menteri UMNO/BN, bukan sebagai harta kekayaan
negara dan rakyat.
Dalam sistem demokrasi, hal-hal inilah mesti
dijelaskan kepada rakyat di kampung-kampung, janganlah
selamanya mereka diperbodoh oleh UMNO/BN yang teramat
tamak dengan kuasa, pangkat dan kekayaan negara yang
hanya akan mereka agihkan kepada beberapa kerat
pemimpin dan kroni mereka, sementara rakyat hanya
mendapat serpihan atau hampas-hampas yang mereka tidak
perlukan. Di Sabah, isu ini belum ketara dan tidak
begitu difahami oleh rakyat dan masyarakat. Minda
rakyat Sabah di kampung-kampung masih terbelenggu oleh
cara kerajaan UMNO/BN berfikir, rakyat merasa cukup
mana yang ada selagi yang kerajaan sogokan atau
agihankan itu cukup mengalas dan mengenyangkan perut,
mereka tidak akan menyoal yang lebih dari itu. Kenapa
YB itu boleh dapat rumah besar, mercedes besar baru
dua tiga tahun jadi YB, kenapa se anu kaya dapat itu
ini dari kerajaan, tapi kami hanya dapat sikit, dapat
jalan tanah kuning, jalan aspal dan sebagainya.
Perkara ini jarang dipersoalkan oleh rakyat di
kampung-kampung, walaupun rumah mereka kecil, tinggal
dan makan kais pagi makan pagi kais petang makan
petang, sungguhpun YBnya, ketua menterinya dan
pembantu-pembantu menterinya sana sini banglo, tanah
balak dan kereta dua tiga buah.
Rakyat yang sensitif dan berilmu tidak akan menyoal
kekayaan siapa juga, asal cara mereka jadi kaya raya
itu mengikut jalan-jalan sah, halal dan bukan
merompak. Kita bersyukur ada bangsa dan masyarakat
kita yang kaya, berpangkat dan berkuasa. Tetapi jangan
semua itu menjadikan kita manusia rakus, lupa
kewajiban, lupa daratan, lupa agama dan lupa rakyat
dibawah yang telah mengangkat kita sebagai pemimpin.
Pendek kata, isu-isu ini cukup relevan ke arah
menyedarkan rakyat di Sabah khususnya untuk
membudayakan budaya politik baru, politik rakyat
sejati, bukan lagi politik sogok, politik wang,
politik subsidi, politik rasuah, politik tabur harta
di musim kempen semata-mata pancing undi. Pada hal
yang sewajarnya semasa berkuasa itulah kita agihankan
dan uruskan kekayaan negeri atau negara itu kepada
rakyat secara saksama, berhemat dan lebih bersistem
mengikut lunas-lunas atau semangat demokrasi. Dalam
kepimpinan UMNO/BN terutama zaman Mahathir ini
nilai-nilai dan semangat demokrasi ini tidak begitu
bernilai, mereka lebih banyak amalkan politik dendam
dan peras ugut. Mudah-mudahan orang Sabah akan lebih
sensitif dan sedar terhadap nilai-nilai ketelusan,
beramanah dan demokrasi sebenar, insya-Allah dengan
ini akan melahirkan pula sebuah kepimpinan negeri dan
kerajaan baru yang lebih telus, baik dan amanah.
Sekian dulu, insya-Allah selepas ini penulis akan
mengulas politik baru Sabah untuk pilihanraya akan
datang dengan lebih menarik lagi.
Ibnu Sabah
|